Tuesday, October 20, 2009

Pengembaraan Ke Jepun - 1001 Kenangan

Pada November 2008 (setahun yang lepas), saya telah diberi peluang untuk mengikuti latihan sambil belajar bersama dengan dua orang technician di Jepun selama seminggu. Kami menjalani latihan di ibu pejabat Taitsu Electronics di Kawasaki dan kilang di Hitachi Ohmiya, Ibaraki. Selalunya, setiap tahun, beberapa pekerja akan dihantar mengikuti latihan di sana.

Pengembaraan yang cukup dinanti-nantikan untuk menimba pengalaman di negara orang. Sudah tentu apabila mengetahui kemajuan Negara Jepun yang jauh mendahului Malaysia. Sehinggakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 telah melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur untuk memberikan impak kepada Malaysia. Meskipun impak dasar tidaklah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju namun setidak-tidaknya kita melangkah ke arah itu dengan wujudnya Wawasan 2020.

Bagaimana kalau kita masih ingat dengan matapelajaran Sejarah Tingkatan 3, Jepun mengalami perubahan dari segi ekonomi, sosio-politik dan kemasyarakatan sebaik sahaja Perang Dunia Kedua. Gerakan Pemulihan Meiji yang sudah pasti telah merubah kondisi masyarakat Jepun menjadi sebuah negara yang maju.

Ketika mula menjejakkan kaki ke sana, antara perkara yang cukup dirisaukan ialah tentang pemakanan di sana. Alhamdulillah, sebelum berangkat ke sana, Assistant Manager wanita di syarikat saya berbangsa Jepun memberikan saya sehelai kertas yang tertulis makanan yang kami tak boleh dimakan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Jepun. Maknanya, sebelum hendak memesan makanan, saya akan menunjukkan kertas itu kepada pelayan atau bos saya yang hendak memesan makanan. Sebab, bukan mudah hendak berkomunikasi dengan mereka walaupun dengan Bahasa Inggeris sebab mereka begitu mengagungkan bahasa mereka. Meskipun tidak menguasai Bahasa Inggeris, mereka mampu melangkah lebih maju berbanding bangsa lain. Tak perlulah heboh sangat nak mengajar dan diajar Bahasa Inggeris dalam subjek lain seolah-olah melebih-lebihkan bahasa lain dari bahasa ibunda sendiri. Kalau di sebuah negeri di utara pula, heboh nak buat papan tanda (signboard) dalam pelbagai bahasa yang merangkumi bangsa-bangsa di Malaysia yang seolah-olah tiada jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Selama seminggu berada di sana, banyak perbandingan yang telah saya buat di antara Jepun, Malaysia dan Islam. Meskipun sebelum ini hanya mendengar dari perbualan orang, tetapi dapat juga dibuktikan dengan penglihatan. Dari segi sistem pengangkutan yang canggih dan teratur seperti keretapi, monorail dan bullet train, jelas sistem pengangkutan di sana cukup memuaskan hati. Waktu ketibaan dan pergerakan keretapi juga tepat mengikut jadual. Ketepatan waktu cukup amat dihargai oleh masyarakat Jepun terutama ahli perniagaan yang memerlukan perkara tersebut untuk bertemu pelanggan. Pernah sekali ketika menunggu keretapi yang lewat 5 minit di atas sebab-sebab tertentu, General Manager saya cakap, “You’re lucky to see this condition. This is not always happened.”





“Janji Melayu” adalah istilah yang agak sinonim dengan orang Melayu yang tidak tahu menepati janji seolah-olah perbuatan yang tidak menepati masa mungkin menjadi budaya orang Melayu.

Firman Allah: “Demi Masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.” (Al-Asr, 103: 1-3)

Setiap kali permulaan sesuatu majlis, seringkali dibacakan ayat ini, tetapi di mana impaknya? Adakah sekadar ucapan tetapi tidak sampai ke hati dan perbuatan? Bagaimana masyarakat di Jepun boleh mengaplikasikan perkara ini tetapi tidak bagi kita? Bekerja di syarikat Jepun ini juga menjadikan diri ini selalu mementingkan soal disiplin. Lewat datang kerja walaupun 1 minit, tetap ditolak gaji RM 20 walau apa pun alasannya. Meskipun kadang-kadang tertekan dengan disiplin ini, bagi saya mungkin ini satu cara untuk saya mendisiplinkan diri di samping seringkali muhasabah diri ini. Alangkah sedihnya, kadang kala para aktivis Islam sendiri pun gagal mematuhi masa atas pelbagai alasan termasuklah diri saya. Sama-sama lah kita muhasabah diri ini.

Di Malaysia, seringkali terhidang di dada akhbar akan kemalangan jalan raya saban hari. Buatlah apa pun kempen sama ada Ops Sikap dan lain-lain tidak menjadikan perkara ini menjadi lebih baik bahkan menjadi lebih buruk. Sikap pemandu yang panas baran, suka berlumba-lumba dan gagal untuk berlapang dada di antara sesama pengguna jalan raya adalah faktor – faktor berlakunya kemalangan. Keadaan jalan raya yang tidak selamat dan teruk juga perlu diberikan perhatian. Tidak perlulah menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), baru hendak diperbaiki jalan-jalan tersebut. Berlainan apabila menaiki kereta, teksi dan limosin melalui jalan raya di Jepun, betapa disiplinnya mereka membawa kereta. Tidak nampak mereka berlumba-lumba sesama mereka dan mengikut had laju yang ditetapkan serta mematuhi lampu isyarat. Meskipun tiada kereta di jalan tersebut, pejalan kaki tetap mematuhi lampu isyarat. Kalau di Malaysia atau Indonesia, membawa laju itu perkara biasa dan bunyi hon yang menyakitkan telinga. Kalau menurut GM saya, setiap kereta di Jepun akan dibuat major inspection setiap 2 -3 tahun sekali untuk mengenal pasti kondisi sesebuah kenderaan dan major inspection bukanlah servis yang biasa dilakukan. Itulah sebabnya, jarang-jarang kelihatan kereta breakdown di tepi-tepi jalan.


Kebersihan bandar dan alam sekitar cukup mengagumkan. Saya teringat apabila melalui jambatan yang merentasi sebatang sungai. Saya tidak pernah menjumpai sungai sebersih ini di Malaysia. Bahkan dapat kelihatan ikan-ikan berenang dengan bebas di sungai tersebut.



Rasulullah bersabda: “Kebersihan itu separuh daripada iman”

Kempen ‘Cintailah Sungai Kita’ gagal mencapai matlamat menurut pengamatan saya. Apa gunanya pelbagai kempen dilaksanakan tetapi jiwa setiap masyarakat gagal ditarbiyah mengikut Islam. Tarbiyah dalam diri ini lah yang memberi pedoman kepada manusia. Alangkah malunya, jika orang kafir dilihat lebih cenderung kepada Islam bahkan majoriti mereka tidak mengenali Islam sedangkan kita yang Islam sejak lahir makin jauh dari ajaran Islam.

Apabila berurusan dalam perniagaan, bagaimana mesranya pekedai tersebut melayani pelanggannya dan ini didapati hampir semua kedai yang saya pergi. Bahkan apabila membuat bayaran, keluar dari mulut mereka lafaz akad jual beli seperti yang disyorkan dalam Islam, ‘Saya jual barang ini kepada kamu dengan harga.....’ Pada mulanya saya tidak tahu dan tidak faham lafaz apa yang dilafazkan, tetapi apabila berhubung dengan seorang Sensei Bahasa Jepun di UPM, barulah saya tahu, itulah lafaznya.

Alhamdulillah, walaupun pengembaraan ke Jepun ini hanya seminggu dan sudah hampir setahun berlalu, namun kenangannya masih segar di dalam hati. Saya banyak berceritakan kisah-kisah ini kepada keluarga saya dan sahabat karib saya. Berbezanya sebuah negara Islam dengan sebuah negara bukan Islam. Apabila berada di sana, terasa berada di sebuah negara Islam yang hebat dari segi tamadun, meskipun umat Islam adalah segelintir kecil tetapi pengamalannya mengenai Islam adalah hampir keseluruhannya.

Teringat kata-kata Syeikh Muhammad Abduh: “Aku menjumpai Islam tanpa Muslim di Barat, Aku menjumpai Muslim tanpa Islam di Timur.”

Mendengar kata-katanya, saya pun berkata: “Aku menjumpai Islam tanpa Muslim di Jepun, Aku menjumpai Muslim tanpa Islam di ........”

No comments:

Post a Comment