Wednesday, February 17, 2010

Mahkamah Dunia VS Mahkamah Akhirat

Apabila membacakan novel ‘Ayat-Ayat Cinta’, saya cukup terkesan pada adegan heronya difitnah sehebat-hebatnya. Bahkan, seorang pekerja di kilang saya menceritakan kepada saya bahawa dia menangis-nangis apabila menonton filemnya. Seolah-olah tidak terdapat kecacatan pada heronya yang membolehkan dia difitnah sebegitu rupa. Itulah fenomena ‘Ayat-Ayat Cinta’.

Apabila kita kaitkan kisah tersebut dengan realiti hidup kita di Malaysia, justeru itu, kadang-kadang saya hendak tergelak dengan pelbagai kes yang dibicarakan seperti pertuduhan yang tidak logik, saksi palsu dan jalan cerita yang seolah-olah dirancangkan. Seperti cerita kartun Popeye (kartun yang saya cukup minat ketika masih kecil), seteruk-teruk dia dibelasah, dapat jua dia bangkit mengalahkan lawannya hanya dengan memakan bayam. Justeru itu, begitu banyak cerita Popeye ketika ini hinggakan seorang yang tua, uzur dan sakit tulang belakang sebagainya boleh saja dituduh melakukan perbuatan yang cukup luar biasa kepada seorang muda yang tegap tetapi bodoh dan tidak tahu melawan. Adakah si tua itu mempunyai kekuatan yang luar biasa seperti Popeye (disebabkan terlebih makan bayam) atau si muda itu terlalu lemah (tidak pernah memakan bayam)?

Pengajarannya, sebaik mana pun seorang itu, tidak dijamin dia terlepas dari sebarang fitnah. Begitu juga kita yang sentiasa hendakkan kebaikan. Hatta, Rasul-Rasul terdahulu, difitnah bermacam-macam seperti tukang sihir, gila dan sebagainya. Tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin baik Ikhwah dan Akhwatnya juga difitnah dan diperlakukan seteruk-teruk dan seaib-aibnya.

Sebagai contoh, kisah Zainab al-Ghazali al-Jubaili yang merupakan Ketua Jama’ah Muslimat yang menjadi sayap kepada Ikhwan muslimin di Mesir. Beliau diperintahkan oleh pemerintah Mesir supaya diseksa seperti seksaan ke atas seorang lelaki. Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai lagi seksaan yang berlaku ke atas dirinya. Namun, beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin janji Allah: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”

Membacakan kisah hidupnya, saya terasa seperti hendak menitiskan air mata. Bukan apa, sekiranya saya diperlakukan seperti beliau, adakah saya mampu bertahan seperti beliau walaupun saya seorang lelaki? Begitu zalim sekali seksaan yang dilakukan ke atasnya tetapi bagi para pejuang Islam, ini adalah hanya sedikit ujian atau dugaan kepada mereka.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu (merasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.” (Ali – Imran, 3: 139)

Semoga kisah-kisah ini menjadi motivasi kepada diri kita. Mana mungkin untuk menggapai syurga Allah dengan laluan yang cukup mudah tanpa sebarang ujian melanda.

Firman Allah: “Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang diaalami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, ‘Kapankah datang pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” (Al-Baqarah, 2 : 214)

Justeru itu, betapa ramai pejuang yang tetap mendaulatkan agama Islam meskipun difitnah sedasyat-dasyatnya. Hukuman penjara bertahun-tahun, dibunuh, ditembak dan digantung sampai mati adalah antara perkara normal yang sering dihadapai. Mereka begitu yakin, hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Dunia tidaklah sedahsyat Mahkamah Akhirat. Ternyata, Mahkamah Akhirat adalah seadil-adil perbicaraan yang tiada keraguannya, seadil-adil hakim yang mengadilinya dan 100% kebenaran saksinya.

Firman Allah: “Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukannya dan mereka tidak dizalimi (dirugikan).” (Al-Baqarah, 2: 281)

Firman Allah: “Bukankah Allah hakim yang paling adil.” (At-Tin, 95: 8)

Firman Allah: “Pada hari, (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (An-Nur, 24: 24)

Firman Allah: “Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Yasin, 36: 65)

Kesimpulannya, kita harus berfikir semasak-masaknya dalam segala amal perbuatan kita. Mampukah kita berdepan Mahkamah Akhirat atau pun sediakah kita didakwa di Padang Mahsyar kelak tanpa sebarang pembelaan untuk membela kita. Di saat itu, kekayaan berjuta-juta, pangkat setinggi mana pun dan berbuih-buih sumpah dilafazkan tidak ada gunanya dan tidak mampu mengeksploitasi sebarang pendakwaan. Seharusnya, siap sediakanlah persiapan kita menuju ke Mahkamah Akhirat dan Pendakwaan di Padang Mahsyar. Moga-moga pendakwaan kita di Padang Mahsyar kelak memberi kebahagiaan kekal abadi sebagai orang beriman.

No comments:

Post a Comment