Sunday, January 19, 2014

Usah Jadi Seperti Abu Jahal

Apabila tibanya tarikh 12 Rabiul Awal, ramai yang sedia maklum tentang Maulidur Rasul iaitu hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Sejak saya kecil, saban tahun ianya disambut di peringkat kebangsaan, negeri atau daerah dengan perarakan sambil berselawat ke atas nabi dan ada nama-nama yang diangkat menjadi Tokoh Maulidur Rasul. Maknanya, di mata rakyat Malaysia, sambutan Maulidur Rasul agak tinggi standardnya atau agak meriah selepas Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.

Sambutan Maulidur Rasul ini adalah ruang yang terbaik untuk berdakwah dan menyampaikan cinta kepada Rasulullah. Semua lapisan masyarakat berpeluang merasainya. Tetapi, seharusnya kecintaan kepada Rasulullah tidaklah bermusim atau sentiasa di'program'kan hingga menampakkan seperti formal. Sepatutnya kecintaan kita kepada Rasulullah menjadikan kita mengikuti apa jua sunnahnya. Bukan hanya bergembira dengan hari keputeraan baginda saja tapi apa jua yang ditonjolkan dari segi sunnahnya turut diamalkan.

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Ali-Imran, 3: 31)

Abu Jahal juga antara manusia yang bergembira ketika baginda dilahirkan tetapi akhirnya Abu Jahal lah yang menjadi penentang kuat dakwah Rasulullah s.a.w..

Oleh itu...
Apa guna kita menyambut Maulidur Rasul saban tahun tapi menolak untuk bersama-sama melakukan dakwah yang merupakan sunnah terbesar baginda. 
Apa guna kita menyambutnya jika kita berterusan mengiktiraf sistem-sistem Barat yang jelas menyeleweng dari apa yang baginda sampaikan.
Apa guna kita menyambutnya jika pada hakikatnya kita menentang perjuangan Rasulullah s.a.w. dan menolak sistem-sistem Islam yang lain.

Justeru itu, marilah bersama-sama menghayati perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. dan bersama-sama melaksanakannya. Usahlah kita menjadi agen Abu Jahal pada masa kini yang kononnya mencintai Rasulullah di luaran namun pada hakikatnya sangat memusuhi baginda.

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment