Terasa teringin pula nak bagi komentar tentang isu BERSIH 3.0 yang masih hangat diperkatakan. Dalam laman sosial, banyak sungguh komentar yang diberikan oleh rakan-rakan. Ada yang menyokong dan ada juga yang menentang. Ada juga yang ekstrem mengeluarkan pendapat sama ada menyokong atau menentang, dan ada juga yang bersifat berkecuali. Terpulanglah pendapat masing-masing. Cuma, cadangan saya, bukankah lebih baik kita meneliti elemen khabar (sama ada individu atau media massa) yang kita terima sebelum kita memberi komentar?
Janganlah disebabkan elemen khabar itu bertepatan dengan kehendak kita, lantas kita menyokong 100% dan terus menyebarkan khabar tersebut. Dan, janganlah pula, disebabkan elemen khabar itu tidak menepati citarasa kita, lantas ditolak mentah-mentah tanpa memeriksa. Janganlah sewenang-wenangnya mengambil sesuatu berita tanpa periksa, sedangkan insiden tersebut kita sendiri tidak melihatnya secara 'live'.
Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya seseorang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu." (Al-Hujurat: 6)
Memetik Puisi "Itulah Politik Namanya" (karya Dr. MAZA):
Jika kamu kesukaanku, semuanya baik belaka,
Jika kamu kebencianku, semuanya dinilai celaka,
Jika kamu pilihanku, semuanya akan setuju,
Jika kamu seteruku, semua tindakanmu aku palu.
Musuhku, semuanya haram,
Pilihanku, semuanya harum.
Ajaran Tuhan:
Jangan hukum ikut perasaan dan sangkaan,
Jangan hukum ikut kumpulan dan pasukan,
Hukumlah ikut firman dan alasan.
Ajaran Syaitan:
Hukumlah ikut perasaan dan kebencian,
Lihat dulu kawan atau lawan,
Bukan kata Tuhan atau sabda junjungan.