Saturday, February 25, 2012

Laskar Pelangi



Mimpi adalah kunci
Untuk kita menakhlukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya

Laskar pelangi
Tak kan terikat waktu
Bebaskan mimpimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia
Selamanya...

Cinta kepada hidup
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita

Laskar pelangi
Tak kan terikat waktu
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia
Selamanya...
Selamanya...

Wednesday, February 15, 2012

Ops Valentine Day


“Assalamualaikum. Dik, ni ada risalah sempena Hari Kekasih,” sapa seorang muslimat sambil menghulurkan risalah kepada beberapa orang mat motor. Suaminya yang sedang mendukung anak berada di belakangnya.

“Eh, saya mana sambut Hari Kekasih,” balas seorang pemuda seperti dalam keadaan marah.

“Bukan, ini artikel Hari Kekasih vs Maulidul Rasul,” balas muslimat tersebut.

“Hari Kekasih vs Maulidul Rasul? Mengarut betul!” balas pemuda tersebut seperti nada marah. Berlalu pergi dan duduk di bahagian tepi jalan. Mukanya masam mencuka.

“Oh, ni kira artikel islamik la ye kak?” respon rakan-rakannya yang lain seperti tidak kisah menerima artikel tersebut dan membacanya.

Muslimat dan suaminya beredar setelah mengedarkan risalah tersebut. Tidak lama selepas itu, mat-mat motor tersebut berlalu dengan motor mereka. Ternampak salah seorang dari mereka membaca artikel tersebut dengan keadaan membonceng. Mungkin ada yang menarik minat dia untuk tetap membaca walaupun dalam keadaan gelap dan membonceng motor.

“Entah mengapa, marah sangat budak itu tadi? Mungkin tersinggung dengan cara pendekatan atau dengan tajuk artikel tersebut,” cakap si suami.

“Mungkin juga. Apa-apa pun, mereka ni seperti adik-adik kita. Perlu kita ajak mereka ke arah kebaikan. Lebih-lebih lagi couple-couple yang kita jumpa tadi. Pasti ada hikmah mengapa Allah pilih kita bertemu dengan mereka,” balas si isteri.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Begitulah keadaan dakwah. Dakwah bukan hanya menghadiri usrah dan program semata-mata. Malah, ada kalanya perlu turun ke masyarakat. Bila turun ke masyarakat, barulah seorang dai'e itu tahu betapa sukarnya hendak menyapa mad'u-mad'u di luar sana apatah lagi untuk memulakan topik dakwah. Kadang kala, masyarakat tidak berminat untuk melayan, mungkin hanya melipat artikel terbut, mungkin membuangnya dan mungkin juga membalas dengan kata-kata kasar. Itulah cabaran yang perlu dihadapi. Mungkin inilah kekurangan yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan. 

Imam Hasan Al-Banna mengatakan: "Kita ingin jelaskan objektif kita kepada seluruh manusia. Kita mahu bentangkan pendekatan kita di hadapan seluruh manusia. Kita ingin kemukakan dakwah kita kepada semua. Kita mahu kemukakan dakwah ini tanpa berselindung dan berlapik. Dakwah ini lebih cerah secerah mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari."

Firman Allah: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah  dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri).'" (Fushshilat, 41: 33)


P/S - Kisah di atas adalah kisah benar yang dikongsikan oleh sepasang suami isteri, berlaku pada malam 12 Februari 2012.

Monday, February 6, 2012

Taujih Sebatang Pokok

Sebatang pohon kayu besar dan keras batangnya, bermula dari batang yang lembut dan beransur-ansur naik tinggi, kerana menurut hikmah yang dikehendaki Allah. Setiap kali ditiup angin kencang atau dipukul badai taufan, dia melentur lembut dan condong bersama angin, tetapi setelah angin ribut itu reda, ia akan tegak kembali. Dari hari ke hari ia beransur tumbuh dan membesar, akarnya terus menjalar ke setiap penjuru, batangnya beransur besar dan keras sedikit demi sedikit, dan condongnya pun berkurang bersama tiupan angin, sehingga kekuatan batangnya tumbuh dengan sempurna, kedalaman dan kejauhan jalaran akar tunggangnya mantap dan mampu menghadapi angin dan badai taufan. Ketika itulah pohon tersebut tidak mudah patah dan tidak dapat tercabut oleh angin ribut. Cubalah fikirkan, batang yang tinggi pada mulanya lembut dan lemah, maka tentunya mudah dipatahkan oleh angin ribut atau mudah tercabut. Sebaliknya, tidak benar kalau pokok kayu yang telah keras batangnya dipaksa agar tunduk dan condong, sebab yang demikian itu membahayakannya

Demikian juga dakwah Islamiyyah, ketika masa pertumbuhan dan perkembangannya, lemah dan sedikit bilangannya, pada tahap ini tentu tidak tepat menghadapi musuhnya dengan kekuatan dan kekerasan, tetapi mesti dihadapi dengan kesabaran, ketabahan, ketahanan, redha menerima segala derita hingga ia menjadi satu jama'ah yang kuat. Justeru itu, apabila posisi sudah menjadi kuat, maka sudah pasti sesebuah harakah Islamiyyah itu tidak akan redha menerima kedudukan yang lemah.

Firman Allah: "Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu." (Al-Hajj, 22: 39)

Ayuh kita imbas kembali peringkat dakwah Rasulullah di Mekah. Pada awal dakwah, Rasulullah sama sekali tidak menyuruh para sahabat meruntuhkan berhala-berhala yang berdiri di sekitar Kaabah dengan tujuan menghapuskan kemungkaran. Ini kerana, tindakan tersebut akan menambah kemarahan para pendukung syirik dan penyembah berhala yang memang telah marah kepada Rasulullah dan para sahabat. Mungkin, sebagai tindak balas, mereka akan bersungguh-sungguh mencari orang mukmin di mana saja untuk bertindak lebih keras lagi terhadap mereka dan terus membunuh mereka seluruhnya, sedangkan orang-orang mukmin pada waktu itu baru merupakan benih yang lemah dan lembut. Tetapi, Rasulullah menunggu waktu yang tepat dan hari yang sesuai, barulah segenap berhala itu diruntuhkan tanpa menerima tentangan dan akhirnya mereka tidak pernah bangun lagi sesudah itu. Kejadian itu terjadi pada saat tentera Mujahidin dari Madinah datang memasuki kota Mekah, pusat kaum kufur dan jahiliyah di tanah Arab itu. Setahun sebelum peristiwa besar itu terjadi, Rasulullah dan kaum Muslimin bertawaf di Baitullah, padahal berhala itu masih berada di sekitar Kaabah dan orang-orang Quraisy berada di luar Mekah. Namun demikian, Rasulullah belum lagi menyuruh para sahabat meruntuhkan berhala itu. Mengapa? Kerana belum tiba masanya yang tepat, tetapi akhirnya berhala-berhala itu dimusnahkan apabila tiba waktunya yang tepat.

Firman Allah: "Dan katakanlah: Yang benar telah datang dan yang bathil telah lenyap, sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap." (Al-Israa', 17: 81)

Saudara Saudari sekalian,
Alangkah moleknya jika kita dapat mengambil ibrah di atas kejadian sebatang pokok dalam kita menilai kemampuan kita dalam melaksanakan dakwah ini.

Wallahua'lam.


Sumber: Fiqh Dakwah, Syeikh Mushtafa Masyhur (Kata Pengantar: KH Rahmat Abdullah)

Monday, January 16, 2012

Hadith 40 Al-Aqsa: Hadith 3



English Version:

Hadith 3: Greater Virtue of Praying in Masjid Al-Aqsa
Abu Darda' (r.a.) relates that the Prophet (s.a.w.) said, "A prayer in Makkah (Ka'abah) is worth 100,000 times (reward), a prayer in my Masjid (Madinah) is worth 1,000 times and a prayer in Al-Aqsa Sanctuary is worth 500 times more reward than anywhere else." (Baihaqi, Tabrani and Suyuti)


Versi Melayu:

Hadith 3: Kelebihan Solat di Masjid Al-Aqsa
Abu Darda' (r.a.) meriwayatkan, Rasulullah (s.a.w.) bersabda, "Solat di Mekah (Kaabah) diganjarkan dengan 100,000 ganjaran pahala, solat di Masjid Nabawi diganjarkan dengan 1,000 ganjaran pahala dan solat di Masjid Al-Aqsa diganjarkan dengan 500 ganjaran pahala melebihi ganjaran solat di tempat lain." (Riwayat Baihaqi, Tabrani dan Suyuti)


* Versi Melayu diterjemah oleh penulis. Mohon pembaikan jika berlaku kesilapan

Sunday, January 8, 2012

Ombak Rindu, Ombak Jahat


Heboh betul sekarang ini dengan fenomena Ombak Rindu. Filem yang baru ditayangkan di pawagam hasil adaptasi dari sebuah novel. Dilaporkan dalam temph 14 hari sahaja, filem itu mendapat kutipan sebanyal RM 11.2 juta. Tak tahulah, apalah yang menarik sangat tentang filem ini? Adakah disebabkan ketampanan hero filem ini? Ataupun disebabkan kecantikan heroin filem ini? (Siapa heroinnya?) Ataupun disebabkan adegan percintaan dalam filem ini? Filem yang mengisahkan tentang seorang ustazah kampung yang dilacurkan orang bapa saudara, dianiaya dan diselamatkan oleh lelaki pujaan. Entah betul atau tidak, saya sendiri tidak menonton di pawagam dan hanya membaca sinopsisnya sahaja. Inilah yang dihidangkan kepada rakyat Malaysia ketika ini. Hinggakan ramai yang berpusu-pusu ke pawagam dan sanggup menghabiskan wang ringgit untuk menonton filem yang dramatis ini. 

Bila agaknya kita akan mengikuti jejak langkah negara jiran kita iaitu Indonesia. Mereka sudah menghasilkan filem-filem yang diadaptasi dari novel Islamik seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Sekurang-kurangnya mereka sudah melakukan banyak perubahan dalam industri hiburan sedangkan industri hiburan di negara kita masih di takuk lama. 

Barangkali sudah tidak ada lagi filem yang dapat mencetuskan fenomena di Malaysia ini selain yang berkaitan percintaan, gangster dan tahyul. "Filem Kita, Wajah Kita" - barangkali cukup tepat ungkapan tersebut jika ditujukan kepada rakyat Malaysia. Anak-anak kita akan dibesarkan dengan cerita-cerita seperti ini dan seterusnya akan memberi kesan pada masa hadapan. Bila agaknya novel-novel Islamik di Malaysia ini akan difilemkan dan sekaligus menjadi fenomena terbaru di negara ini? Marilah kita doakan agar  ombak yang baik akan muncul menyahkan ombak yang jahat.

P/S - Mula berfikir-fikir untuk mencari peluang menjadi penulis novel atau pengarah filem Islamik.. 

Saturday, December 31, 2011

Dakwah Non-Muslim: Perkongsian oleh Muslim Revert Association (MRA)

Perkongsian menarik dari Cikgu Abd Halim Abdullah, Pengerusi Muslim Revert Association (MRA) Negeri Sembilan pada 18 Disember 2011 yang lepas. Antara isi-isi penting dari perkongsian tersebut:

1) Kefahaman orang Cina adalah, kalau masuk Islam perlu tukar nama. Orang Cina tidak mahu dan tidak suka tukar nama kerana mementingkan hubungan keturunan. Contoh:- Keturunan Lee, Chong dsb. Oleh itu, sekiranya tukar nama, hubungan keluarga dan keturunan akan terputus.
2) Kebanyakan agama dan kepercayaan orang Cina adalah menyembah nenek moyang, bukannya Buddha.
3) Pemahaman orang Cina ialah Islam = Melayu / Melayu = Islam. Justeru itu, orang Cina tidak berminat masuk Islam sebab jika masuk Islam, kene jadi Melayu.
4) Terdapat banyak salah faham yang lain seperti:
    i)   Non-Muslim tidak boleh masuk masjid
    ii)  Hari Raya adalah perayaan untuk orang Melayu sahaja
    iii) Kalau hendak Solat Jumaat, tidak boleh pakai seluar, hanya berkain pelekat sahaja
5) Isu lain yang menjadi penghalang orang Cina masuk Islam ialah makanan (terutama ketika perayaan Tahun Baru Cina) dan puasa.
6) Antara sebab lain orang Cina tidak mahu memeluk agama Islam adalah disebabkan oleh kelakuan / contoh yang ditunjukkan oleh orang Islam sendiri.
7) Apabila seseorang memeluk agama Islam, jangan asingkan dia dan jangan pisahkan dia dari keluarganya terutama ibu bapa dan adik beradik. Banyak kes, ramai masuk Islam dan kemudian terbiar. Satu ruang usaha yang perlu kita hidupkan.
8) Kita perlu memberi pemahaman tentang perbezaan agama dan budaya. Bagi orang Cina, semua perayaan adalah budaya kecuali Hari Wesak.
9) Di Negara China, 1% adalah Muslim (lebih 20 juta orang) iaitu lebih ramai dari jumlah orang Islam di Malaysia. Masjid pun lebih banyak dari Malaysia. Fakta ini menunjukkan ramai orang Cina yang Muslim.
10) Kahwin Campur seperti Cina-Melayu - Dicadangkan agar diajar adat-adat Melayu untuk memudahkan hubungan dengan mertua atau komuniti Melayu.
11) Kita harus bersama-sama dengan orang yang hendak didakwahi. Jangan tunjukkan bahawa Islam itu susah.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat membantu kita sebagai seorang Muslim untuk terus mendakwahi non-Muslim dan terus berusaha menjelaskan atau memperbetulkan salah faham yang wujud di kalangan non-Muslim selama ini.

Wednesday, December 21, 2011

Tribute to Faizal Nizam Zakariya

Faizal Nizam Zakariya  (14 Jun 1978 - 21 Disember 2011)

Mula mengenali kau sebagai seorang sahabat dan pekerja yang baik dan di akhir hayat, kau juga dikenali sebagai seorang sahabat yang baik. Banyak sungguh jasa-jasa dan bantuan kau kepada aku dan aku masih mencari-cari sahabat seperti kau. Aku sangat rindu untuk bersilaturrahim, bersembang-sembang dan bergurau senda dengan kau. Apakan daya, Allah lebih menyayangi dirimu. Selamat tinggal sahabatku, semoga damai kamu di sana.

Al-Fatihah...