Thursday, November 30, 2017

[Ibrah] Surah At-Tahrim: Harapan Seorang Hamba

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu kedalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengannya; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata, "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas Segala Sesuatu.'" (Surah At-Tahrim, 66: 8)

Dalam Tafsir Al Munir, ayat "mudah - mudahan Tuhan kamu" sebagaimana dinyatakan oleh al-Zamakhsyari, adalah suatu tawaran dan gesaan daripada Allah swt untuk membibitkan harapan kepada hamba - hambaNya. Setidak - tidaknya, ia menjadi pengajaran kepada hamba - hamba Allah agar sentiasa berada dalam keadaan yang seimbang antara rasa takut dan harap. Di sisi Allah juga, ayat ini di dalam konteks kemestian dan kepastian selaras dengan sifat Allah dalam memberikan kemaafan kepada hambaNya.




Harapan yang diberikan kepada umat adalah ibarat air hujan yang turun ketika musim kemarau iaitu ketika tanam-tanaman kering dan amat memerlukan air untuk terus hidup. Maka, hujan yang turun membuang segala permasalahan dan memberi pengharapan kepada tanam-tanaman untuk terus hidup. Kita pernah mendengar hadith Nabi berkaitan kisah seorang pelacur yang memberikan makanan kepada anjing yang akhirnya ditempatkan ke dalam syurga. Harapan yang Islam berikan tidak terbatas kepada golongan tertentu seperti golongan agamawan dan elit sahaja, tetapi menyeluruh kepada seluruh manusia dan sekalian alam, termasuklah golongan pendosa. Islam itu hadir bukanlah untuk menghukum, membid'ahkan dan mensesatkan golongan tertentu akibat kesilapan mereka. Tetapi, Islam itu hadir dengan memberikan harapan kepada manusia agar mereka boleh berubah menjadi lebih baik, boleh memperbaiki diri dan kembali ke landasan yang benar. 

Begitulah hidup kita sebagai seorang hamba Allah. Di saat kita berdepan dengan pelbagai mehnah atau dugaan, sekurang - kurangnya kita masih ada Allah sebagai tempat kita bergantung harap. Andai kita terlanjur atau melakukan dosa besar yang sukar dimaafkan oleh orang di sekeliling kita, pintu taubat masih terbuka kepada Allah. Begitulah akhlak Islam yang diajarkan kepada Nabi dan umatnya dalam tidak menghukum sesama manusia dan Islam semestinya sentiasa memberi pengharapan kepada semua orang, sama ada orang yang baik, orang yang berdosa ataupun yang belum Islam. Harapan ini lah yang menyebabkan kita perlu terus bekerja dan berdakwah supaya kebaikan dan harapan ini dapat disampaikan kepada semua orang termasuk kepada yang belum Islam. Peluang dan ruang terbuka luas untuk kita kembali ke jalan Allah dan mengejar syurga Allah. Usah disia-siakan ruang yang terhidang, dan yakin dan optimislah bahawa masih ada harapan untuk kita menjadi golongan as-sabiquun (yang paling dahulu membuat kebaikan).

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment