Tuesday, January 26, 2010

Di Manakah Letaknya Kekuatan Kita?

“Di manakah letaknya kekuatan Hang Tuah? Di tenaganya ka? Atau di kerisnya ka?” soal ahli nujum negeri Masai kepada Nujum Pak Belalang dalam satu pertandingan menguji akal dengan negeri menjadi taruhan. “Kekuatan Hang Tuah tidak terletak pada tenaga atau keris. Kekuatannya terletak pada huruf ‘Ta’.” jawab Nujum Pak Belalang.

Dialog di atas adalah petikan dari filem Nujum Pak Belalang. Kekuatan lagenda Hang Tuah sendiri banyak ciri-ciri yang boleh dirungkaikan.

Itu sebab dalam sukan sendiri, kita banyak melihat begitu banyak upset yang berlaku di mana pasukan yang kurang ternama atau bukan pilihan berjaya menumpaskan pesukan-pasukan pilihan. Contoh, Kejohanan Euro 2000 di mana Greece menjadi juara meskipun tiada seorang pun pemain berstatus bintang tetapi berjaya mengenepikan pasukan-pasukan pilihan seperti Jerman, England, Perancis, Sepanyol dan lain-lain. Di manakah letaknya kekuatan Greece pada ketika itu? Itulah semangat kepasukan dan kerjasama yang berjaya menutup kelemahan individu pemain-pemainnya.

Sama juga dalam sukan badminton, seseorang pemain sudah pasti menggunakan kelebihannya untuk memenangi sesuatu perlawanan. Ada yang percaya kepada kepada latihan yang bersungguh-sungguh yang dapat menjelmakan skill-skill tertentu seperti jumping smash dan drop shot. Bahkan, ada juga yang percaya kepada jenis racket yang digunakan; tidak kisahlah berapa harganya sekalipun, asalkan serasi dengannya atau lebih ringan.

Sama juga dengan ustaz-ustaz atau pendakwah yang mempunyai aura yang tersendiri yang mampu menarik minat masyarakat. Mungkin kefasihannya berkata-kata, ketajaman pemikiran menghafal ayat-ayat al-Quran dan Hadith dan kemampuan mengolah isi-isi ceramah dengan baik. Persoalannya sekarang, bagaimana pula dengan kita yang setahun jagung ilmunya hendak menjebakkan diri dalam dakwah ini? Dengan perasaan yang terlalu merendah diri, kita seperti tidak berani hendak berdepan dengan masyarakat. Seharusnya, apabila peluang terhidang di depan mata, kita sepatutnya melakukan apa cara sekali pun untuk mendapatkan hasilnya. Usah terlalu difikirkan kelemahan diri tetapi bagaimana mempergunakan sebaik-baiknya kelebihan yang ada untuk menutup kelemahan yang ada seperti yang dilakukan olah Nabi Musa yang dirakamkan dalam al-Quran.

Firman Allah: “Dia (Musa) berkata, ‘Ya Tuhanku, sungguh aku telah membunuh seorang dari golongan mereka sehingga aku takut mereka akan membunuhku. Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripada aku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan)ku; sungguh, aku takut mereka akan mendustakanku.’” (Al-Qasas, 28: 33-34)

Barangkali, kita cukup bimbang tentang evaluasi atau komen peserta seusai kita menyampaikan ceramah. Kita cukup suka sekiranya komen-komen yang baik mengenai kita tetapi cukup bimbang dengan komen-komen yang melunturkan semangat. Bagi seseorang yang hendak memberi, usah difikirkan sangat komen-komen tersebut. Mana mungkin kita dapat memuaskan hati keseluruhan orang dalam sesuatu program. Melainkan komen-komen yang boleh kita perbaiki dan sekaligus kita dapat menutup kelemahan dan memanfaatkan segala potensi yang ada pada diri kita.

Firman Allah: “Dia (Nuh) berkata, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) mereka, justeru mereka lari (dari kebenaran).’” (Nuh, 71: 5 - 6).

Seharusnya, kita menjadikan rasul-rasul seperti Nabi Nuh, Nabi Musa dan Nabi Muhammad sebagai idola kita sepanjang zaman dengan menggunakan segala potensi yang ada dalam diri untuk menyelamatkan dan mentarbiyah ummat. Tidak kiralah sama ada seruan kita diterima atau ditentang, yang penting kita telah melaksanakan amanah yang diberikan sebaik-baiknya.

Saya teringat ketika seorang kawan (ketika di kampus) mencadangkan kepada saya untuk berhenti sementara dari aktiviti usrah untuk lebih menumpukan kepada pelajaran. Jawab saya, “Kalau bukan aku yang aktif dengan aktiviti ini, siapa lagi yang nak buat? Mustahil kau yang akan perbuat!”

Dalam dakwah ini, kita harus sentiasa mencari jalan, bukan sentiasa memberi alasan....

Monday, January 25, 2010

Inilah Saya, Anda Pula Siapa?

Seorang wartawan bertanya kepada Imam as-Syahid Hasan Al-Banna tentang dirinya dan meminta beliau memperkenalkan dirinya sendiri kepada orang ramai.

Beliau berkata: “Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah Negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.

Inilah saya, anda pula siapa?”

Monday, January 11, 2010

Isu Palestin = Isu Global

Pada tahun 2005, semasa saya menjadi Exco Biro Kerohanian untuk Minggu Aluan Desasiswa untuk menyambut kehadiran pelajar-pelajar baru, saya telah berpakat dengan beberapa orang sahabat untuk mebuat tayangan Palestin dalam slot muhasabah diri. Sayang seribu kali sayang, ketika tayangan di separuh jalan, diarahkan berhenti oleh orang atasan atas alasan 'Tidak Global.'

Kadang-kadang, keberadaan kita di menara gading, tidak menjamin pemahaman semua ahlinya setaraf pemikiran orang yang cerdik pandai sama ada pengajarnya ataupun pelajarnya. Harap-harap setelah universiti semakin meningkat statusnya , tiada lagi orang seperti itu.

Lebih kurang 7 atau 8 tahun lepas, ketika Palestin teruk diserang Israel, dua pemimpin poitik utama tanah air iaitu Dato' Seri Dr Mahathir Mohammad dan Allahyarham Dato' Fadzil Noor boleh naik ke atas pentas bersama untuk berpidato mengenai isu Palestin dan pidato tersebut ditayangkan dikaca televisyen seluruh negara. Nah, andai kata isu Palestin bukanlah isu global, bagaimana mungkin dua pemimpin ini boleh berpidato tentang isu ini. Mungkin ketika program saya diberhentikan adalah kerana bimbang membangkitkan kemarahan orang bukan Islam, bagaimana pula pidato dua tokoh ini boleh ditayangkan di kaca televisyen?

Sebenarnya, golongan yang suka menghalang ini mempunyai jiwa yang tidak merdeka, masih takut dengan aura penjajah yang telah lama meninggalkan negara ini. Jiwa merekalah sebenarnya yang tidak global!

Sekarang, isu Palestin terus menghantui orang Islam dan di manakah peranan kita? Kondisi kita yang terlalu selesa menyebabkan kita hanya memikirkan diri kita tanpa sedikit mempedulikan kebajikan ikhwah-ikhwah kita di Palestin. Apabila ada orang yang ingin memberi peringatan, lantas terus diberikan tegahan atau ancaman dengan alasan yang cukup kelakar.

Wahai sahabat-sahabat sekalian, isu Palestin adalah isu kita dan sekaigus adalah isu global. marilah sama-sama kita mengambil perhatian dan sumbangan semampu yang mungkin untuk mejaga kebajikan mereka.

Wednesday, January 6, 2010

Sifat Malu Puteri Nabi Syu'aib

Mengulas lebih lanjut tentang artikel saya sebelum ini: Menjelang tahun baru, masyarakat terutama muda mudi rosak dengan anak teruna hilang teruna dan anak dara hilang mahkota daranya dengan cara yang cukup menjijikkan.

Betapa sedihnya kita mengenangkan nasib masyarakat kita sekarang terutama muda mudi yang semakin terhakis sifat malunya. Tiada apa yang dikisahkan tentang aurat, pergaulan berlainan jantina dan maruah diri sendiri. Peribadi sebagai masyarakat Timur semakin hari semakin pudar.

Firman Allah: “Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan dengan malu-malu, ia berkata: ‘Sesungguhnya bapakku memanggilmu agar ia memberi balasan terhadap (kebaikan)mu member minum (ternak) kami.’ Maka tatkala Musa mendatangi bapaknya (Syu’aib) dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya), Syu’aib berkata: ‘Janganlah engkau takut. Engkau telah selamat dari orang-orang yang zalim itu.’” (Al-Qashash, 28: 25)

Ulasan Tafsir Ibnu Kathir: Ketika kedua wanita itu kembali lebih cepat dengan membawa kambing-kambing ke rumah ayahnya, sang ayah pun tidak percaya dengan kepulangan keduanya yang begitu cepat. Dia menanyakan tentang kondisi kedua puterinya itu. Lalu keduanya menceritakan peristiwa tentang yang dilakukan Musa. Maka sang ayah mengutus salah seorang dari kedua puterinya itu untuk mengajak Musa menemui dirinya.

Allah berfirman: “Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari wanita itu berjalan dengan malu-malu....” iaitu jalannya wanita-wanita yang terhormat (bukan budak).

Sebagaimana diriwayatkan dari Amirul Mukminin, Umar berkata: “Dia datang dengan menutupkan dengan pakaiannya ke wajahnya.” Ibnu Abi Hatim berkata bahawa ‘Amr bin Maimun berkata, Umar berkata: “Dia datang berjalan dengan malu-malu dengan menutupkan pakaian ke wajahnya, bukan wanita yang amat berani dan yang sering keluar rumah.” Isnadnya Sahih.

Huraian yang serba ringkas mengenai peribadi puteri Nabi Syu’aib sedikit sebanyak boleh diambil pengajaran. Inilah sifat (malu-malu) yang patut ada pada seorang anak gadis apabila berhadapan dengan bukan mahramnya. Cuma cara ‘menutupkan wajah itu’ perlu dibahaskan dengan lebih lanjut lagi. Tetapi, perkara yang utama di sini adalah untuk mengembalikan sifat malu pada diri kita yang kian lama kian runtuh.

Monday, January 4, 2010

Selamat Tahun Baru 1431H & 2010

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Taala masih diberikan nikmat Iman dan Islam ketika melangkah ke tahun baru 1431H dan 2010. Selalunya, bila melangkah saja ke tahun baru, perkara yang sering dibincangkan ialah azam tahun baru dan prestasi pada tahun lepas.

Ketika melangkah ke tahun baru Awal Muharam 1431H iaitu pada 18 Disember 2009 yang lepas, kebiasaannya di Malaysia, menyambutnya dengan membaca Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun dan sambutan Maal Hijrah pada keesokan harinya. Lantas di peringkat negeri atau kebangsaan, pasti akan ditabalkan Tokoh Maal Hijrah mengambil kira sumbangan mereka untuk Islam.

Berbeza pula suasana masyarakat menyambut Tahun Baru 2010, suasana yang cukup merisaukan bagi umat Islam. Puluhan ribu membanjiri Kuala Lumpur terutama di kawasan Bukit Bintang dan KLCC. Meskipun tak pernah meraikan sambutan tahun baru tetapi umum mengetahui konsert, countdown dan pergaulan sosial adalah menu utama sambutan tersebut. Adalah lebih malang jika dirosakkan dengan seks bebas ibarat haiwan ternak. Menjelang tahun baru, masyarakat terutama muda mudi rosak dengan anak teruna hilang teruna dan anak dara hilang mahkota daranya dengan cara yang cukup menjijikkan. Lihat sahaja di dada akhbar, berapa banyak aktiviti maksiat dibongkar pada malam tahun baru. Persoalannya, bagaimana pula dengan aktiviti maksiat yang tidak dapat dibongkar? Bahkan, ini bukan sahaja berlaku pada tahun ini, tetapi istiqamah pada setiap tahun.

Pada pendapat saya, sambutan Awal Muharam jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sambutan Tahun Baru Masihi. Sekurang-kurangnya, kita dapat mengimbas kembali Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para Sahabat dan kesan kepada diri kita. Cuma, banyak pertikaian dan persoalan tentang Doa Awal dan Akhir Tahun serta kaifiatnya. Kita sedia maklum bahawa Kalendar Islam Hijrah dicetuskan oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab. Justeru itu, tidak timbul Doa Awal dan Akhir Tahun adalah dari Rasulullah dan terdapat pelbagai kaifiatnya. Cuma, saya lebih suka menganggap doa itu adalah dari ulama-ulama sebagai disiplin kepada masyarakat Islam apabila bermulanya tahun baru. Sudah tentu, kita sentiasa berdoa untuk segala kebaikan sama ada untuk diri, keluarga dan lain-lain.

Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 153)

Justeru itu, saya melihat, seharusnya kita memilih cara mana yang terbaik dalam menyambut sesuatu sambutan. Ternyata, situasi negara kita ini banyak yang perlu diperbetulkan untuk memastikan masyarakat kita terpelihara dari anasir-anasir jahat. Bagaimana negara dan masyarakat hendak terus membangun pada tahun 2010 ini sekiranya pada awal tahun lagi atau pada hari yang pertama sudah dirosakkan sahsiah masyarakat. Begitu juga, bagaimana sebuah kerajaan hendak ditadbir dengan cemerlang andai kata perlantikan ketuanya dilakukan dengan cara yang terkutuk. Mungkin kerosakan yang dilakukan di awal-awal tahun ini, menyebabkan pelbagai masalah di negara kita seperti kecelakaan jalan raya yang semakin meningkat, kes ragut dan bunuh, pembuangan bayi, kegiatan seks bebas dan penagihan dadah yang gagal dibendung dan lain-lain lagi. Meskipun pelbagai cara dilakukan ternyata gagal untuk menyelesaikan.

Sebagai khalifah di muka bumi, harus diingat betapa pentingnya hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Andai hubungan dengan Allah gagal kita jaga atau awal-awal lagi kita rosakkan, usah bermimpi untuk mendapat hubungan yang baik sesama manusia.