“Di manakah letaknya kekuatan Hang Tuah? Di tenaganya ka? Atau di kerisnya ka?” soal ahli nujum negeri Masai kepada Nujum Pak Belalang dalam satu pertandingan menguji akal dengan negeri menjadi taruhan. “Kekuatan Hang Tuah tidak terletak pada tenaga atau keris. Kekuatannya terletak pada huruf ‘Ta’.” jawab Nujum Pak Belalang.
Dialog di atas adalah petikan dari filem Nujum Pak Belalang. Kekuatan lagenda Hang Tuah sendiri banyak ciri-ciri yang boleh dirungkaikan.
Itu sebab dalam sukan sendiri, kita banyak melihat begitu banyak upset yang berlaku di mana pasukan yang kurang ternama atau bukan pilihan berjaya menumpaskan pesukan-pasukan pilihan. Contoh, Kejohanan Euro 2000 di mana Greece menjadi juara meskipun tiada seorang pun pemain berstatus bintang tetapi berjaya mengenepikan pasukan-pasukan pilihan seperti Jerman, England, Perancis, Sepanyol dan lain-lain. Di manakah letaknya kekuatan Greece pada ketika itu? Itulah semangat kepasukan dan kerjasama yang berjaya menutup kelemahan individu pemain-pemainnya.
Sama juga dalam sukan badminton, seseorang pemain sudah pasti menggunakan kelebihannya untuk memenangi sesuatu perlawanan. Ada yang percaya kepada kepada latihan yang bersungguh-sungguh yang dapat menjelmakan skill-skill tertentu seperti jumping smash dan drop shot. Bahkan, ada juga yang percaya kepada jenis racket yang digunakan; tidak kisahlah berapa harganya sekalipun, asalkan serasi dengannya atau lebih ringan.
Sama juga dengan ustaz-ustaz atau pendakwah yang mempunyai aura yang tersendiri yang mampu menarik minat masyarakat. Mungkin kefasihannya berkata-kata, ketajaman pemikiran menghafal ayat-ayat al-Quran dan Hadith dan kemampuan mengolah isi-isi ceramah dengan baik. Persoalannya sekarang, bagaimana pula dengan kita yang setahun jagung ilmunya hendak menjebakkan diri dalam dakwah ini? Dengan perasaan yang terlalu merendah diri, kita seperti tidak berani hendak berdepan dengan masyarakat. Seharusnya, apabila peluang terhidang di depan mata, kita sepatutnya melakukan apa cara sekali pun untuk mendapatkan hasilnya. Usah terlalu difikirkan kelemahan diri tetapi bagaimana mempergunakan sebaik-baiknya kelebihan yang ada untuk menutup kelemahan yang ada seperti yang dilakukan olah Nabi Musa yang dirakamkan dalam al-Quran.
Firman Allah: “Dia (Musa) berkata, ‘Ya Tuhanku, sungguh aku telah membunuh seorang dari golongan mereka sehingga aku takut mereka akan membunuhku. Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripada aku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan)ku; sungguh, aku takut mereka akan mendustakanku.’” (Al-Qasas, 28: 33-34)
Barangkali, kita cukup bimbang tentang evaluasi atau komen peserta seusai kita menyampaikan ceramah. Kita cukup suka sekiranya komen-komen yang baik mengenai kita tetapi cukup bimbang dengan komen-komen yang melunturkan semangat. Bagi seseorang yang hendak memberi, usah difikirkan sangat komen-komen tersebut. Mana mungkin kita dapat memuaskan hati keseluruhan orang dalam sesuatu program. Melainkan komen-komen yang boleh kita perbaiki dan sekaligus kita dapat menutup kelemahan dan memanfaatkan segala potensi yang ada pada diri kita.
Firman Allah: “Dia (Nuh) berkata, ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) mereka, justeru mereka lari (dari kebenaran).’” (Nuh, 71: 5 - 6).
Seharusnya, kita menjadikan rasul-rasul seperti Nabi Nuh, Nabi Musa dan Nabi Muhammad sebagai idola kita sepanjang zaman dengan menggunakan segala potensi yang ada dalam diri untuk menyelamatkan dan mentarbiyah ummat. Tidak kiralah sama ada seruan kita diterima atau ditentang, yang penting kita telah melaksanakan amanah yang diberikan sebaik-baiknya.
Saya teringat ketika seorang kawan (ketika di kampus) mencadangkan kepada saya untuk berhenti sementara dari aktiviti usrah untuk lebih menumpukan kepada pelajaran. Jawab saya, “Kalau bukan aku yang aktif dengan aktiviti ini, siapa lagi yang nak buat? Mustahil kau yang akan perbuat!”
Dalam dakwah ini, kita harus sentiasa mencari jalan, bukan sentiasa memberi alasan....
No comments:
Post a Comment