Sunday, October 13, 2013

Islam & Harapan

Firman Allah: "Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu (masuk syurga)." (Al-Waqiah, 56: 7 - 10)

Jika dibaca lanjutan dalam surah ini dan ditadabbur atau dikaji serba sedikit beberapa tafsir, kita akan lebih tertumpu terhadap perbezaan golongan kanan (Ash-haabul Yamin) dan orang yang paling dahulu (As-sabiquun). Lanjutan dari ayat di atas, diceritakan ciri-ciri ketiga-tiga golongan tersebut. Semestinya, golongan kanan (Ash-haabul Yamiin) adalah lawan kepada golongan kiri (Ash-haabus Syimal). Tetapi, apa pula kelebihan orang yang paling dahulu (As-sabiquun)? 

Menurut Tafsir Ibnu Kathir - 'Adapun golongan yang paling dulu sampai di hadapan Allah, mereka inilah yang paling khusus, lebih terhormat dan lebih dekat daripada orang-orang yang berada di sebelah kanan yang merupakan pemuka mereka semua, di antara mereka adalah para Rasul, para Nabi, orang-orang yang benar (asshiddiiquun), dan para Syuhada' yang jumlahnya lebih sedikit dari Ash-haabul Yamiin.'

Pernah dalam halaqah saya beberapa tahun lepas, apabila saya tadaburkan ayat-ayat ini dan ajukan persoalan kepada mutarobbi, kebanyakan mereka sepakat menjawab bahawa, wahyu Allah Taala ini memberikan kita motivasi dan harapan untuk menjadi golongan As-sabiquun dan menjadi pendamping para Nabi dan para Sahabat. Meskipun diukur dari segi amal dan segala-segalanya, ibarat langit dan bumi, namun tidak salah kita mengimpikan begitu, sesuai dengan Islam yang sentiasa memberikan harapan kepada umatnya.

Sahabat-sahabat sekalian,
Harapan yang diberikan kepada umat adalah ibarat air hujan yang turun ketika musim kemarau. Iaitu ketika tanam-tanaman kering dan amat memerlukan air untuk terus hidup. Maka, hujan yang turun membuang segala permasalahan dan memberi pengharapan kepada tanam-tanaman untuk terus hidup. Kita pernah mendengar hadith nabi mengenai kisah seorang pelacur yang memberikan makanan kepada anjing yang akhirnya ditempatkan ke dalam syurga. Harapan yang Islam berikan tidak terbatas kepada golongan tertentu seperti golongan agamawan dan elit sahaja, tetapi menyeluruh kepada seluruh manusia dan sekalian alam.



Islam itu hadir bukanlah untuk menghukum, membid'ahkan dan mensesatkan kaum tertentu akibat kesilapan mereka. Tetapi, Islam itu hadir dengan memberikan harapan kepada manusia agar mereka boleh berubah menjadi lebih baik, mereka boleh memperbaiki diri dan kembali ke landasan yang benar. Peluang dan ruang terbuka luas untuk kita kembali ke jalan Allah dan mengejar syurga Allah. Usah disia-siakan ruang yang terhidang, dan yakin dan optimislah bahawa masih ada harapan untuk kita menjadi golongan As-sabiquun.

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment