Saturday, October 5, 2013

Sensor

Apabila kita memasuki sebuah lif di dalam sebuah bangunan, sedar atau tidak, setiap lif dilengkapi dengan 'sensor' pada pintu masuk sebagai langkah keselamatan bagi mengelak penumpang tersepit pada pintu. Maknanya, sekiranya kita mahu melangkah ke dalam lif dan pada waktu yang sama pintu lif hendak ditutup, maka sensor itu akan memberi isyarat supaya pintu dibuka semula. Maka, sekiranya sensor itu rosak, maka peranannya untuk langkah keselamatan tidak dapat dilaksanakan. Justeru itu, dalam sebuah komponen, setiap komponen kecil itu ada peranannya meskipun ianya kecil. Jika hilang komponen tersebut, maka keseluruhan sistem akan terganggu.

Maka, dalam kehidupan seharian kita, adakah masih wujud sensor dalam diri kita? Sensor itulah yang dinamakan hati. Sensor dalam diri manusia ini lah yang akan mengesan sama ada jasad atau ruh kita baik atau tidak. Maka, apabila ditanya khabar diri atau khabar iman diri kita, sepatutnya sensor atau hati kita mampu respon sama ada iman kita baik atau tidak. Itulah pentingnya peranan sensor dalam diri kita. Kita sedar sama ada diri kita sangat sihat imannya atau lemah imannya. Justeru itu, cepat-cepatlah bertindak untuk refreshkan iman kita supaya tidak terus down. Bahkan, Rasulullah sendiri mengajarkan kepada kita bagaimana Baginda sentiasa bermuhasabah dan memeriksa mutabaah amal para Sahabat setiap kali bertemu.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. ketahuilah bahawa ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga peranan sensor dalam mencetuskan sensitiviti diri kita kepada keadaan sekeliling. Apa reaksi kita melihat suasana umat Islam ketika ni? Sensor inilah yang menguji sejauh mana ukhwah kita dengan umat Islam yang lain. Andainya apa yang berlaku di Palestin, Syria, Mesir, Rohingya dan lain-lain tidak langsung menggugat hati kita, adakah sensor dalam diri kita masih baik ataupun sudah rosak?

Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidaklah beriman salah seorang di antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, sensor atau hati itulah yang menjadi penanda aras iman kita. Ayuh, kita ukur balik kesensitivan sensor kita agar sentiasa terjaga iman diri kita. Bangkitlah jiwa-jiwa agar sentiasa hidup, bukan saja untuk diri sendiri bahkan juga untuk umat Islam yang lain.

No comments:

Post a Comment