Tuesday, August 8, 2017

Sebuah Catatan: "Najibnomics: Rahmat atau Malapetaka?"


Saya memberanikan diri membaca buku ini, iaitu sebuah buku yang sebenarnya amat jauh dari citarasa dan bidang saya. "Najibnomics : Rahmat atau Malapetaka?" adalah sebuah buku yang memahatkan realiti agenda ekonomi Malaysia di bawah pemerintahan PM Ke-6, Dato' Sri Najib Razak.

Banyak istilah dan penerangan berkaitan ekonomi yang sukar difahami, menyebabkan saya berulang kali membaca topik berkaitan bagi memberi kefahaman pada diri saya. Semestinya, banyak aspek yang harus kita faham dalam membuktikan agenda ekonomi sesebuah negara dalam keadaan baik atau sebaliknya.

Sebagai rakyat Malaysia yang lahir sekitar tahun 80-an, tidak salah bagi saya untuk membandingkan hasil agenda ekonomi sekarang dengan yang terdahulu. Secara jujurnya, majoriti rakyat Malaysia sedar akan kemajuan dan juga penyelewengan ekonomi yang berlaku sejak dari zaman "Mahathirnomics" iaitu ketika Tun Dr Mahathir menjadi PM Ke-4. Semestinya, kita menantikan perubahan dan kemajuan yang lebih baik pada penggantinya yang terkemudian.

Berdasarkan bacaan saya, boleh dihuraikan kepada beberapa rumusan penting:


1. Kebolehupayaan Ekonomi Negara
Adakah agenda Najibnomics ini mampu meningkatkan keupayaan eknonomi negara berbanding agenda terdahulu dari sudut peluang pekerjaan, perbandingan hasil import dan eksport negara dan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat negara?

Dengan jangkaan pada 2040, warga asing yang membanjiri Malaysia akan mengatasi bilangan kaum India, menunjukkan tiada surut dalam kebanjiran warga asing di dalam industri, di samping kadar pengangguran lepasan Menara Gading sama ada Universiti atau Kolej Kemahiran, tidak langsung menunjukkan penurunan. Bahkan kadar pengangguran di Malaysia semakin meningkat ke paras 3.4% pada tahun 2016.

Meskipun banyak Transformasi Program yang dilancarkan seperti Model Ekonomi Baru (NEM), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Kerajaan (GTP), namun masih dalam kekaburan sama ada ia benar - benar membawa manfaat kepada rakyat atau sebaliknya. Usah hanya gah pada nama atau di atas kertas, tetapi pada hakikatnya jauh pada sasaran yang diletakkan.

Harus diingat, Korea Selatan yang dahulunya pendapatan per kapita rakyatnya hanya separuh dari rakyat Malaysia pada tahun 1970-an, kini telah mengatasi Malaysia 3 kali ganda! Meskipun model pembangunan mereka tidak memperagakan pelbagai flagshipk-economy dan sebagainya, namun dapat melahirkan produk gergasi seperti Samsung dan Hyundai ke seluruh dunia.


2. Skandal dan Penyelewengan Ekonomi 
Skandal atau penyelewengan ekonomi yang berlaku menyebabkan rosaknya pembangunan ekonomi negara dan sukar untuk dibaikpulih dengan segera. Penyelewengan terbesar pada badan pelaburan negara iaitu 1MDB menghilangkan matlamat sebenar ianya ditubuhkan dan sekaligus menambahkan keraguan di mata masyarakat itu sendiri.

Semestinya, tujuan penubuhan 1MDB sebagai badan pelaburan terbesar seperti wujudnya Khazanah Nasional, adalah memacu pendapatan dan pelaburan di Malaysia, namun akhirnya tersungkur dek skandal ini. Isu ini bukanlah hal remeh yang boleh dibiarkan atau dipandang sebelah mata, tapi boleh diibaratkan sebagai "Mother of Scandal" yang perlu dibaiki, dipulihkan serta dihukum bagi yang terlibat.

Ini belum lagi skandal atau penyelewengan yang berlaku pada GLC atau badan korporat seperti FELDA, MARA, MAS, Tabung Haji dan lain - lain, yang secara tidak langsung membunuh kepercayaan pada agenda ekonomi muktahir ini.

Skandal yang didedahkan ini adalah rentetan akibat daripada ketirisan, pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan amalan kronisme. Kita sama sekali tidak boleh menerima sebarang isu ketirisan yang bernilai jutaan ringgit, apatah lagi billion ringgit. Tidak masuk akal bagi orang yang menerimanya.


3. Hutang Negara dan Belanjawan Defisit
Tahun 2015 menunjukkan hutang Kerajaan Persekutuan membengkak melebihi RM 600 billion, di mana trend hutang ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Manakala, mengikut rekod, YAB PM merangkap Menteri Kewangan tidak pernah gagal memohon Perbekalan Tambahan atau mudahnya Bajet Tambahan setiap tahun sejak 2009 iaitu hampir RM 20 billion setiap tahun. Belanjawan defisit ini memberi makna perbelanjaan yang dirancang mengatasi anggaran pendapatan yang bakal diperolehi.

Sebenarnya, Negara memerlukan berbelanja secara suntikan fiskal atau fiscal stimulus untuk mengepam ekonomi dalam keadaan ekonomi yang tenat sesuai dengan konsep ekonomi counter-cyclical. Mudah cerita, fiscal stimulus ini merujuk pada peningkatan penggunaan kerajaan atau mengurangkan cukai dengan bertujuan meningkatkan kadar pertumbuhan hutang awam. Rangsangan ini akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang mencukupi untuk mengisi jurang itu secara separa atau sepenuhnya.


4. Bebanan Cukai
Dengan hilangnya fungsi badan pelaburan dan badan korporat akibat skandal, maka cukai adalah cara paling mudah bagi sesebuah kerajaan untuk mendapatkan sumber dari rakyat. Cukai GST sebanyak 6% yang diperkenalkan sejak April 2015 terus menerus menjerut rakyat yang mengakibatkan kos barangan terus meningkat naik.

Cukai GST (Goods and Service Tax) ini menggantikan Cukai SST (Sales and Service Tax), di samping kepelbagaian cukai lain seperti Cukai Pendapatan, Cukai Perniagaan dan lain - lain yang diletak bebannya pada rakyat.

Seolah - olah tiada inisiatif lain dalam meningkatkan hasil negara setelah menjunamnya sektor perindustrian dan juga sektor pertanian, pengenalan GST ini antara pilihan untuk menyelamatkan ekonomi negara dan juga kerajaan barangkali.

Adakah harga barang semakin turun dan stabil seperti janji Pak Menteri?
Apa kesannya pada pemborong, peniaga dan pengguna itu sendiri?

Sudahlah kos hidup itu sendiri merosot, ditambah pula dengan cukai yang bermacam - macam dan berlapis - lapis. Kononnya mengikut langkah negara maju dalam memperkenalkan Cukai GST, tapi malangnya tidak diikuti pula pada taraf kos hidup, gaji minimum dan sebagainya. Di atas polisi ini, ianya bukan sahaja menekan dan menindas rakyat, tapi turut menjadikan Malaysia bukan lagi lokasi sasaran pelabur luar untuk bertapak.


5. Peningkatan Kos Sara Hidup
Ini belum lagi kegagalan mengawal harga minyak dan tindakan menghapuskan subsidi yang semestinya membebankan pengguna jalan raya dan meningkatkan harga barang harian. Jika harga minyak petrol dan diesel pun gagal dikawal, usahlah diharap inisiatif kawalan harga rumah yang meningkat secara mendadak.

Dengan beranggapan harga rumah bernilai RM300K, anggaran bayaran bulanan sebanyak RM 1500 ~ RM 1800, adakah logik setiap rakyat mampu memiliki rumah? Belum ditambah lagi bayaran hutang kenderaan, hutang pinjaman pendidikan, minyak petrol, tol, yuran sekolah, belanja sekolah anak, nurseri, takaful keluarga dan belanja harian, ianya semakin sukar membayangkan kehidupan seseorang terutama di bandar besar. Dengan mengambil pendapatan seisi rumah sekitar RM 6000, bagi saya masih tidak mencukupi. Justeru itu, rakyat terpaksa membuat kerja tambahan atau overtime ataupun kerja part time pada waktu malam atau hujung minggu demi menampung kekurangan ini. Jadi, bagaimana pula dengan keluarga? Bertungkus lumus dan bersusah payah demi menyara keluarga, namun keluarga dan anak - anak terabai dek tindakan ini. Berbaloikah?


Kesimpulan
Apabila serba sedikit memahami agenda Najibnomics ini, saya terfikir, "Adakah sesuai atau logik seorang Perdana Menteri turut memegang tugas Menteri Kewangan yang mula dipraktikkan selepas pemecatan Dato' Sri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 lagi?" Semestinya tidak sihat dan mengundang lebih banyak masalah seperti yang dinyatakan sebelum ini sekiranya polisi ini diteruskan.

Kesimpulannya, agenda ekonomi sesebuah negara sangat penting terutama pada rakyat dan juga pada masa hadapan sesebuah negara. Jika ekonomi hancur dek ketirisan, amalan kronisme, pembaziran dan penyelewengan pembesar, apa lagi yang tinggal untuk rakyat? Amat malang sekali apabila kekayaan sesebuah negara dengan sumber minyak asli dan kepelbagaian badan korporat dan GLC, sedangkan hanya mengenyangkan sebahagian kecil watak tertentu dan sama sekali tidak dimanfaatkan untuk rakyat keseluruhan.

Wallahua'lam...