Sunday, September 7, 2014

Selamatkan Organisasi Itu

Nasib yang menimpa Malaysian Airline System (MAS) baru-baru ini amat mendukacitakan kita sebagai rakyat Malaysia. MAS sebelum ini merupakan lambang kemegahan negara di mata dunia, tetapi sejak kebelakangan ini, malang bertimpa-timpa.

Dengan kemunculan syarikat penerbangan murah seperti Air Asia, Fire Fly dan Malindo Air sedikit sebanyak menghilangkan monopoli oleh MAS itu sendiri. Ditambah pula dengan musibah kehilangan pesawat MH370 dan terhempasnya pesawat MH17 menambah lagi derita sedia ada. Kerugian makin meningkat, ditambah pula hilang kepercayaan dari dalaman dan luaran membuatkan MAS perlu melalui perubahan atau pemulihan demi membaikpulih imej syarikat tersebut. Agak pelik apabila sebuah GLC seperti MAS boleh kerugian berjuta-juta ringgit dalam beberapa tahun kebelakangan ini seolah-olah tiada kemampuan lagi untuk berdaya saing.

Saya bukanlah orang yang mahir dalam selok belok perniagaan, tetapi hasil diskusi dengan seorang sahabat, pemulihan yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia kepada MAS adalah wajar demi kebaikan syarikat tersebut pada masa akan datang. Sepatutnya, syarikat GLC lain yang mengalami kemerosotan harus melalui perkara yang sama. MAS boleh dikatakan sebagai anak emas kepada negara, maka perlunya dijaga dan dipulihkan agar dapat memberi impak yang baik pada negara dan masyarakat. Bukannya dibiarkan saja tanpa mampu bersaing secara kompetitif dengan syarikat lain.

Justeru itu, tiada perkara yang sebaik-baiknya dapat dilakukan dalam memperbaiki sesuatu keadaan melainkan dengan melaksanakan 'Big Overhaul' atau muhasabah pada sesebuah organisasi. Proses muhasabah ini adalah hasil dari kesedaran untuk berubah dari semua segi termasuklah penambahbaikan perkhidmatan, pengoptimuman kakitangan dan yang paling penting ialah kembali ke jalan Allah. Di antara cadangan:- Memakai pakaian yang menutup aurat, menghentikan penjualan arak dan menghapuskan amalan kroni dan khianat oleh 'hantu-hantu' yang merosakkan kualitinya. Sedangkan kesilapan kecil boleh saja menarik keberkatan, inikan pula melibatkan perkara yang Allah larang.

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling darinya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya? Sungguh, Kami telah menjadikan hati mereka tertutup, (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka. Kendatipun engkau (Muhammad) menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat pentunjuk untuk selama-lamanya." (Al-Kahfi, 18 : 57)

Barangkali, kita selalu melihat suatu perkara yang besar tapi jarang untuk kita terokai perkara yang Allah larang. Selalu dikaitkan kerugian dengan persaingan dan musibah tetapi tidak pula melihat aspek keberkatan di sisi Allah. Alangkah indahnya jika dalam bekerja dan berniaga, wujud unsur-unsur tarbiyah supaya lebih halus jiwa-jiwanya.


Wallahua'lam...

1 comment:

  1. Setuju! baru-baru ni terasa sedih bila melihat pramugari (beragama Islam) menuangkan arak ke dalam gelas untuk penumpang... Salahkah kalau mereka memakai tudung dan melonggarkan sedikit pakaian mereka?

    ReplyDelete