Saturday, September 13, 2014

Rahmat Masyarakat Majmuk

Adakah kita masih ingat tentang bagaimana diri kita dibesarkan sejak kecil, menempuh alam kanak-kanak, seterusnya ke alam remaja dan belia dan akhirnya ke alam dewasa. Saya teringat memori ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan yang majoritinya pelajar berbangsa Melayu. Belajar, bermain dan berinteraksi rata-rata dengan pelajar berbangsa Melayu. Ditakdirkan memasuki Sekolah Menengah yang kesemua pelajarnya juga berbangsa Melayu. Suasana agak berubah apabila memasuki IPT yang mana agihan bangsanya boleh dikatakan sama banyak. Dari situ, baru saya jelas di mana saya sekarang dan apa peranan saya seterusnya.

Kita dibesarkan dengan suasana semangat perkauman menebal dan malang sekali, ianya dibawa hingga ke alam dewasa. Tidak dapat disatukan dengan 1 Bahasa Pertuturan seperti yang diamalkan di Indonesia. Masing-masing sibuk dan berbangga dengan bahasa dan kebudayaan masing-masing hingga tidak nampak amalan penyatuan di situ. Walaupun di kawasan kejiranan masih ada jiran yang pelbagai bangsa, masih juga kurang interaksi antara satu sama lain. Bahkan, di dalam dunia politik sendiri yang mencorakkan kepimpinan negara, gagal mengeluarkan masyarakat dari kepompong perkauman itu. Wujudnya parti yang berteraskan perkauman, hatta di kalangan agamawan sendiri, dan ini menyebabkan masyarakat kita terus menerus didorong dengan semangat perkauman ini. Cadangan mewujudkan Sekolah Wawasan lebih kurang 15 tahun dahulu yang bermatlamat menyatukan kaum turut gagal dilaksanakan akibat teras pada politik perkauman parti tertentu.

Sikap berpuak-puak atau asobiyah ini merenggangkan hubungan antara kaum dan menimbulkan sangsi di antara satu sama lain. Ada kaum yang merasakan mereka ditindas akibat polisi kerajaan, ada yang rasa ditindas akibat ketidakmampuan ekonomi dan ada juga yang ditindas akibat warna kulit. Paling menjelikkan apabila wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa mereka adalah pejuang bangsa, lantas tergamak melontarkan kata-kata berbau perkauman dan sering mengancam keharmonian antara kaum. Apa saja dilakukan oleh bangsa lain dilihat sebagai ancaman kepada negara dan bangsa mereka. Inilah realiti masyarakat di Malaysia kini. Masyarakat harmoni yang dicanangkan sebenarnya adalah lakonan semata-mata dan tidaklah menggambarkan situasi sebenar masyarakat kita.


Sampai bila situasi ini akan berlarutan?

Tidak salah mewujudkan suasana patriotik dalam diri kita, bahkan mencintai negara adalah kewajipan dalam diri seorang Muslim. Cuma, semangat ini tidaklah sampai menghina dan memperlekehkan kewujudan bangsa lain seolah-olah hanya bangsa kita saja yang diiktiraf di muka bumi ini.

Pada permulaan dakwah Rasulullah, Baginda berdepan dengan suasana ini dengan wujudnya pertembungan dan perseteruan di antara kabilah Arab. Semangat berpuak-puak dan asobiyah ini dapat dijinakkan dengan keadilan dan keharmonian Islam, di atas kebijaksanaan Rasulullah.

Para dai'e sering mengungkapkan tentang keindahan dan penyatuan Islam tetapi bagaimana pula praktikalnya? Bagaimana penyebaran Islam itu boleh dilakukan dengan bermatlamat mendamaikan semua kaum sehinggakan kesemuanya merasakan Islam adalah agama rahmat. Islam itu bukanlah ancaman bagi orang yang bukan beragama Islam, sebaliknya memberi jalan keharmonian dan jalan penyelesaian kepada semua masalah. Berusahalah agar diri kita dapat membawa Islam itu kepada seluruh manusia tanpa sebarang ragu-ragu. Buangkanlah sangsi kita di kalangan orang Islam dan bukan Islam dan bukannya terus menjadi batu api dalam menyemarakkan semangat perkauman ini.


"Islam For All"

Wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia ini merupakan satu rahmat kepada para dai'e. Jadikanlah ruang untuk kita terus beramal, berdakwah dan mempraktikkan Islam itu sebaik-baiknya. Gunakanlah kebijaksanaan dalam membuang rasa sangsi manusia pelbagai bangsa ini kepada Islam. Jadikanlah ianya sebagai satu medium penyatuan dan kesepakatan manusia pelbagai kaum ini ke arah kebaikan. Semoga slogan "Islam For All" terus relevan kepada semua dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.


Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment