Wednesday, September 17, 2014

Hilangnya Sifat Amanah

Apabila ada sesi temuduga pekerja baru di sebuah syarikat, di antara kriteria calon yang selalu diambil kira ialah dari segi kelayakan akademik, pengalaman bekerja dan sebagainya. Jarang pula ditanya atau dinilai akhlak Islami seperti kewajipan solat, menutup aurat dan sebagainya dan pasti akan dilihat janggal sekiranya perkara tersebut yang dinilai.

Atas sebab itu, antara perkara yang menakutkan masyarakat sekarang ialah apabila gejala tidak solat dipandang biasa. Bukan saja tidak solat, bahkan tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, berjudi dan lain-lain lagi. Jika hak kepada Allah tidak ditunaikan, bagaimana pula hak sesama manusia? Tidak langsung menghormati hak orang lain dan mengkhianati amanah yang diberikan.

Justeru itu, tidak hairan dengan apa yang berlaku sekarang. Kes terbaru apabila kebocoran soalan UPSR yang akhirnya merosakkan institusi pendidikan negara dan yang menjadi mangsa, tentulah pelajar dan guru. Hilangnya sifat amanah yang mana mahu mengejar kejayaan sekelip mata. Sedar tak sedar, hasil perbuatan ini mungkin berjaya menghasilkan A dalam peperiksaan tetapi E dalam nilai intelektualisme.

Ramai orang sering menuding jari pada kesalahan orang lain. Menuduh golongan orang atasan tidak amanah dan mengamalkan rasuah, padahal diri sendiri juga tipu overtime, membocorkan maklumat tender, menerima rasuah dan sebagainya. Isunya bukan pada nilai, kerana tiada beza kecil atau besar nilainya jika sifat amanah itu tiada lagi.

Firman Allah: "Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, 'Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercaya.'" (Al-Qasas, 28: 26)

Berdasarkan firman Allah mengenai kisah Nabi Syuaib dan Nabi Musa, di antara elemen terpenting dalam kerjaya sekarang ialah kemampuan bekerja dan wujudnya sifat amanah dalam dirinya. Berdepan dengan segala cabaran dunia tanpa sempadan sekarang, sifat amanah merupakan nilai tambah yang wajib ada pada diri seseorang.

Sehubungan dengan itu, sebagai seorang Muslim, yang dikejar bukanlah dunia yang singkat ini sahaja. Tetapi, memerlukan agama yang memberikan panduan kehidupan yang menguntungkan dan selamat. Ayuh, kembalilah kepada agama fitrah iaitu Islam.

No comments:

Post a Comment