Scaffolding atau Perancah merupakan
sebuah struktur sementara yang direkabentuk dan dibina bagi kegunaan tertentu.
Ianya amat berguna terutama apabila melibatkan kerja-kerja pembinaan (construction)
dan melaksanakan kerja-kerja di tempat tinggi. Dari sudut kejuruteraan, scaffolding
ini merupakan ilmu yang cukup bermanfaat bagi kehidupan kita. Tanpa scaffolding,
sudah pasti bangunan-bangunan sukar untuk dibangunkan dan kerja-kerja di tempat
tinggi juga tidak dapat dilakukan. Mujurlah ketika bekerja, peluang untuk terus
belajar dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau OSH (Occupational
Safety and Health) mudah diperolehi. Kalau tiada isu keselamatan di dalam
bidang pekerjaan, sudah pasti industri pekerjaan menjadi mundur dan menjadi ancaman
kepada negara kita.
Memasang scaffolding
dan berjalan di atas platform semestinya mendatangkan perasaan gayat pada diri
saya. Meskipun baru sahaja mencapai ketinggian beberapa meter, namun memang
tidak dinafikan perasaan gayat itu memang wujud. Apatah lagi apabila ramai yang
berada bersama di atas platform dan sudah pasti akan bergoyang apabila
masing-masing bergerak. Mujur adanya safety harness yang
sekurang-kurangnya dapat menjaga diri kita dari sebarang kecelakaan.
Sekurang-kurangnya, orang yang cepat gayat macam saya ini, masih lagi
berpeluang bekerja di tempat tinggi. Merasa jugalah, susah payah, perasaan gayat
dan panas terik yang dialami oleh scaffolder (pemasang scaffolding)
dan orang yang bekerja dalam sektor pembinaan untuk membina bangunan dan
bekerja di tempat tinggi. Bagaimana pula rasanya jika pemasangan scaffolding
untuk pembinaan bangunan yang berpuluh-puluh tingkat?
Barangkali,
inilah hikmahnya ilmu kejuruteraan yang Allah berikan pada manusia. Ilmu yang
sebenarnya cukup besar sumbangannya dalam kehidupan kita. Meskipun scaffolding
hanya merupakan struktur sementara untuk kerja-kerja yang dilakukan, tetapi
hasilnya adalah bangunan-banguan yang siap kekal.
Begitu jugalah
kehidupan di dunia ini. Andai kata umur kita di dunia ialah 60 tahun,
sebenarnya hanya beberapa jam sahaja umur kita di akhirat. Begitulah singkatnya
masa kita di dunia. Bermula ketika bayi; menjadi seorang budak kecil dan
remaja; menjadi golongan pemuda dan terus menjadi golongan dewasa. Akhir
sekali, kita meniti usia manjadi warga emas. Jika sepanjang waktu itu, hanya
beberapa jam saja di akhirat... apalah yang hendak kita kejarkan di dunia ini?
Kehidupan di dunia ini ibarat scaffolding yang hanya merupakan struktur
sementara atau platform untuk membina bangunan yang kekal. Jika scaffolding
atau kehidupan di dunia ini runtuh atau goyang, sudah pasti bangunan yang kekal
atau akhirat tidak tercapai untuk dibangunkan.
Firman Allah: “Dijadikan
terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa
perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas
dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan
hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. Katakanlah, ‘Maukah
aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?’ Bagi
orang-orang yang bertakwa di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di
bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan pasangan-pasangan yang
suci serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hamba-Nya.” (Ali-Imran, 3:
14-15)
Ayuh
sahabat-sahabat, mari kita jadikan kehidupan kita yang sementara di dunia ini
sebagai medan untuk membina kehidupan yang kekal di akhirat.
* Artikel
ditulis hasil perasaan teruja penulis apabila mengikuti kursus Basic
Scaffolding (Frame / Tubular / Modular)
salam.saya nak tanya.institusi mana yang mnawarkan kos ni?macam mana nak apply?
ReplyDeletewsalam,yppb(yayasan peneraju) ada menawarkan kos ini
ReplyDeletesalam,,nak tanya perempuan ada tak yang jadi scaffolding
ReplyDeleteKursus ini terbuka pada Lelaki dan Perempuan. Di antara Institusi yang menawarkan Kursus ini ialah NIOSH dan MKRS
ReplyDelete