شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ
"Bulan Ramadhan ialah bulan yang padanya diturunkan Al-Quran..." (Al-Baqarah, 2: 185)
Dengan jelas ayat berkenaan menyatakan bahawa kitab panduan ummat Islam diturunkan di dalam bulan Ramadhan, yang mana. Dari konteks dan kaca mata seorang muslim, Al-Quran adalah kitab suci yang wajib dipercayai kewujudannya di mana kandungannya tiada ragu dan menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa, manakala Ramadhan adalah salah satu bulan Islam yang mana padanya diwajibkan ibadah puasa bagi yang mampu.
Sekiranya dilihat dari perspektif sistem pengurusan kehidupan seharian, Al-Quran boleh dianggap sebagai piawaian yang harus dipatuhi oleh orang yang mempercayainya serta disokong oleh Sunnah Rasulullah s.a.w., dan Ramadhan pula adalah bulan audit dalam untuk mengesan ketakakuran diri dan melakukan tindakan pembetulan ke atas diri masing-masing.
Lantiklah diri sendiri untuk menjadi juruaudit dalam dan bukalah hati untuk dibantu oleh orang sekeliling kita melalui teguran berkaitan sebarang ketakakuran terhadap piawaian Al-Quran dan As-Sunnah. Ini bersesuaian dengan seruan Malaikat di dalam salah satu Hadith Rasulullah s.a.w.:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: “Apabila tiba malam pertama Ramadhan akan diikat/ dirantai segala Syaitan dan jin-jin yang sesat, ditutup segala pintu Neraka hingga tidak ada satu pintu pun yang dibuka, dibuka segala pintu Syurga hingga tidak ada satu pintu pun yang ditutup. Seorang penyeru (yakni Malaikat) akan berseru; “Wahai orang yang mengejar kebaikan! Tampillah kamu. Wahai orang yang ingin melakukan kejahatan! Undurlah kamu (yakni berhentilah dari melakukan kejahatan).” Akan terdapat orang-orang yang bakal dibebaskan Allah dari api Neraka. Hal demikian itu berlaku pada setiap malam (di sepanjang Ramadhan).” (Riwayat At-Tirmizi, Baihaqi dan Ibnu Hibban)
Semoga audit dalam di bulan Ramadhan kali ini dapat menjadi platform penambahbaikan diri, menjadikan kita lebih akur kepada piawaian Al-Quran dan As-Sunnah, dan menaikkan taraf kita dari seorang Muslim kepada seorang Mukmin. Diharapkan juga bulan Ramadhan ini lebih menyediakan diri kita untuk diaudit pihak ketiga, yang telah ditetapkan tugasnya kepada Malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur kelak.
Selalulah berdoa agar Allah redha dengan usaha kita untuk hidup sebagai hambanya yang berkualiti bukan hanya dari segi duniawi, malah juga memberi fokus kepada kehidupan ukhrawi. Hanya dengan redha Allah pengikitirafan untuk menjadi ahli syurga akan menjadi milik kita, Allahu musta'an.
* Artikel dipetik dari tulisan rakan sekerja Mohd Hafizzudin Ismail (QMD - NIOSH)
No comments:
Post a Comment