Sedar tak sedar separuh dari Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, dan semakin hampir kita dengan hari bonus pada malam yang istimewa, Laila al-Qadr.
Lumrah manusia adalah berkehendak akan sesuatu, dan kebiasaannya tidak dapat memilikinya disebabkan kemampuan yang terhad lalu memerlukan bantuan dan pertolongan. Amat menyedihkan sekiranya manusia adalah yang pertama kita harapkan untuk mendapatkan bantuan dan pertolongan itu. Sedangkan telah Allah nyatakan kesediaan dan sifat pemurahNya untuk membantu, sekiranya hamba-Nya BERDOA .
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad SAW) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat, Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi perintahKu dan beriman kepada Ku agar mereka mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah, 2: 186)
Di dalam sebuah hadith juga menyatakan betapa pentingnya doa itu sehingga ia diibaratkan sebagai senjata mukmin. Bagaimanakah dapat seseorang menempuhi medan peperangan tanpa adanya senjata untuk mempertahankan dirinya?
Kebanyakan persepsi menganggap doa itu harus menadah tangan bersama dengan bacaan yang khusus dalam bahasa Arab dan dibaca selepas solat ataupun upacara tertentu. Namun jarang sekali disedari bahawa perkataan yang dituturkan seharian dalam bahasa apapun, malah lintasan hati juga boleh menjadi sebuah doa. Oleh kerana itulah kita digalakkan untuk mengucapkan salam dan membalasnya semula kerana itulah doa yang paling mudah.
Disebabkan itu juga diharuskan orang muslim untuk menutur perkataan yang baik dan juga berbaik sangka terhadap orang di sekeliling kita. Lebih-lebih lagi tidak ada ruginya untuk mendoakan sesuatu yang baik kepada orang lain, sepertimana yang telah diriwayatkan dalam sebuah hadith:
Daripada Abu Darda’ r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdoa) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu akan berkata: Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama." (Hadith Riwayat Muslim)
Agak malang sekiranya kita meninggalkan doa kerana merasakan tiada hasil daripada doa yang telah dititipkan. Ini kerana Allah lebih mengetahui bilakah waktu yang sesuai untuk kita dikurniakan dengan apa yang dipinta, atau sama ada diberi sesuatu yang lebih baik apa yang dipinta. Hendaklah kita sabar dan terus berusaha untuk tanpa putus asa memohon, seperti yang telah Allah firmankan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2: 153)
Namun tidak dinafikan adanya golongan yang istimewa yang ditetap Allah agar tiada hijab bagi doa dan pasti akan menerima apa yang diminta, maka bergembiralah sekiranya kita tergolong dalam salah satu kumpulan itu.
* Artikel dipetik dari tulisan rakan sekerja, Mohd Hafizzudin Ismail (QMD - NIOSH)
* Artikel dipetik dari tulisan rakan sekerja, Mohd Hafizzudin Ismail (QMD - NIOSH)
No comments:
Post a Comment