Sunday, December 16, 2012

Muslim Soccer


Sebuah filem berunsur komedi bertajuk “Shaolin Soccer” yang ditayangkan pada tahun 2001 tiba-tiba menggamit ingatan saya. Filem yang mengisahkan bagaimana usaha watak utama lakonan Stephen Chow ini hendak menyebarkan fikrah kungfu shaolin ini kepada masyarakat, maka diusahakanlah pelbagai cara seperti membuat persembahan nyanyian dan sebagainya. Tidak berjaya lagi, maka diteruskan usaha sehinggalah ketemu idea untuk membentuk satu pasukan bola sepak untuk menyebarkan fikrah kungfu shaolin itu. Untuk merealisasikan usaha itu, maka dikumpulkan rakan-rakannya yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam kungfu seperti tangan besi, kepala besi dan sebagainya.




Meskipun tanpa pemain berstatus bintang yang ramai (seperti Barcelona), tidak mempunyai dana yang besar (seperti Manchester City dan Real Madrid) dan tidak mempunyai pengurus dan jurulatih yang hebat (seperti Manchester United), tetap saja mereka mampu membentuk satu pasukan mantap yang dikenali sebagai Shaolin Soccer. Dengan serba kekurangan pemain dan kelengkapan, pasukan ini mampu saja terus berusaha untuk membentuk sebuah pasukan yang baik dan disegani hingga bukan sahaja dapat menyebarkan fikrah kungfu shaolin, bahkan menjadi juara mengenepikan pasukan-pasukan yang lebih hebat. Apakah resepi mereka? Mereka istiqamah, kreatif dan berjuang habis-habisan untuk mencapai kejayaan itu.

Ikhwah & Akhwat sekalian,
Seorang Shaolin, boleh saja istiqamah, kreatif dan berjuang habis-habisan untuk menyebarkan fikrah kungfu shaolin itu. Mengapa tidak kita sebagai seorang Muslim? Bukanlah yang dikehendaki dalam dakwah ini, orang-orang yang hebat, dana yang banyak dan orang yang mempunyai pengaruh yang kuat, tapi cukup sekadar dai’e-dai’e yang ikhlas berjuang di jalan-Nya. Mudah sekali kita berasa down ketika tidak ramai yang bersama kita. Mudah sekali kita berasa down ketika ramai yang meninggalkan kita. Mudah juga kita berasa down ketika usaha-usaha kita dicantas dan tidak membuahkan hasil. Sentiasalah kita berdoa agar kita menjadi dai’e yang sentiasa istiqamah di jalan-Nya, kreatif untuk menyebarkan dakwah dan berjuang habis-habisan untuk mencapai matlamat kita.

Firman Allah: “Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.’” (At-Taubah, 9: 105)

Barangkali, kita perlu mewujudkan Muslim Soccer sebagai sarana untuk menyebarkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat dan mengajak masyarakat ke arah kebaikan seperti apa yang dibuktikan oleh Stephen Chow dan rakan-rakan.


p/s – Teringat akan ibrah filem Shaolin Soccer setelah mendengar cadangan seorang ikhwah untuk mewujudkan Team Futsal Remaja. Moga menjadi kenyataan, Amiin..

No comments:

Post a Comment