Friday, June 23, 2017

Ibadah dan Khidmat di Bulan Ramadhan

Ramadhan kali ini, anak sulung saya sudah menjangkau umur 7 tahun. Namun, saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk anak saya berpuasa, walaupun dia sendiri rasa 'malu - malu' untuk makan di sekolah (kononnya berpuasa). Bagi saya, umur 7 tahun adalah lebih sesuai untuk menekankan soal solat, kerana seorang Hamba Allah pasti akan ikut apa saja arahan tuannya jika dia seorang yang menjaga solatnya.

Jika seorang kanak - kanak ada rasa malu - malu untuk makan di bulan Ramadhan, apatah lagi bagi orang dewasa? Bagi seorang dewasa, ini bukanlah berkaitan lapar dan penat semata - mata, tetapi berkaitan dengan maruah diri sebagai seorang Hamba Allah. Pada pandangan peribadi saya, bulan Ramadhan ini ibarat suatu ruang atau lapangan dalam memperbaiki diri kita dalam beramal. Tidaklah bermaksud, berpuasa menjadikan kualiti amal kita sama ada ibadah, dakwah, belajar atau kerja menjadi rendah, namun sepatutnya konsisten atau lebih baik.

Nilai ibadah dan khidmat (amal dakwah) adalah seperti kembar dan tidak seharusnya terpisah. Jika hanya fokus pada ibadah diri semata - mata, di mana pula nilai dakwah di sisi masyarakat? Nilai dakwah juga tidak harus merundum walaupun pada sebahagian orang lebih memfokuskan ibadah peribadi seperti iktikaf, tilawah dan lain - lain sehingga mengurangkan aktiviti dakwah. 

Justeru itu, tidak pelik apabila kita masih dihidangkan persoalan dan perangai lama seperti persoalan rakaat solat tarawih, orang bukan Islam tidak boleh berbuka puasa bersama, orang berpuasa akan hilang pahala apabila beli barang dari orang fasiq, pertuduhan wahabi bagi yang tidak sependapat dan lain - lain. Isu - isu ini lah yang mengakibatkan pertelagahan para agamawan dan akan menyebabkan masyarakat terus keliru dan keliru. 

Meskipun dakwah - dakwah seperti memberi sumbangan kepada asnaf, edar bubur lambuk, memberi makan kepada anak yatim dan golongan gelandangan dan ziarah orang susah ibarat sebuah dakwah yang kecil, namun saya percaya, sedikit sebanyak akan membuka hati kepada mereka yang disantuni. Jangan disebabkan kefakiran itu, mereka menjadi kufur, dan dakwah seperti ini sedikit sebanyak sangat perlu dalam masyarakat kita. Apatah lagi, dakwah yang kecil ini perlu diperkukuhkan bagi menyantuni golongan yang tersasar jauh seperti penagih dadah, pekerja seks atau golongan LGBT. Sebagai muslim, kita harus akur bahawa kelompok ini perlu ada di dalam radar dakwah kita dan bukannya hanya kecaman saja yang dilemparkan.

Justeru itu, moga Ramadhan ini benar - benar menjadi lapangan ibadah dan khidmat dakwah yang subur bagi diri kita. Pastikan bahawa nilai dakwah yang kita beri ini tidak ekslusif pada diri kita atau golongan tertentu saja, tapi bagi semua manusia. Berdoalah agar kita terus istiqomah selepas Ramadhan ini dan agar kita bertemu dengan Ramadhan akan datang.


Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment