Perbahasan:
Ketenteraman Quraisy Didahulukan
Ayat ini dalam konteks mewujudkan perpaduan dan kemesraan di kalangan Quraisy di tanah Suci Makkah dan di bumi yang padanya terdiri rumah Allah. Kaum Quraisy dan penduduk Makkah didahulukan dengan penganugrahan nikmat makanan dan keamanan kerana mereka memilih bumi Makkah sebagai tempat tinggal yang menjaminkan pemakanan dan keselamatan. Bumi ini juga menyaksikan kedatangan orang-orang dari luar Hijaz untuk menunaikan haji, di samping mengadakan kegitan ekonomi dan deklamasi kesusasteraan Arab di negeri yang aman ini. Kaum Quraisy seharusnya mengerti segala kegitan hanya boleh dilakukan apabila sesebuah negeri itu berada dalam keadaan aman, sumber pemakanannya cukup, hubungan dagang dengan dunia luar tidak terputus. Ditakdirkan negeri ini berada dalam kacau bilau atau rumah suci itu berjaya dirobohkan oleh Abrahah dan tenteranya, masakan mereka boleh merasai nikmat kemesraan, kasih sayang di bumi Makkah ini.
(106: 1) Kerana (mengenangkan nikmat) kebiasaan kaum Quraisy.
Perintah Allah sama ada takwini atau taklifi, larangan atau suruhan semuanya tersirat hikmat di sebaliknya. Kekalahan tentera bergajah Abrahah juga ada hikmatnya, pelaksanaan ibadat berterusan kepada Tuhan rumah Kaabah di bawah pentadbiran kaum Quraisy juga ada hikmahnya. Kedua-duanya bertemu pada satu `illat, iaitu supaya kaum Quraisy bersatu dan berkasih sayang. Kebiasaan kaum Quraisy ialah mengurus dagangan mereka ke Syam dan Yaman mengikut pusingan musim sejuk dan panas mempunya kesan yang sangat besar kepada ketenteraman penduduk Makkah. Justeru Allah menjadikan negeri itu aman dan selamat, pemakanan mereka cukup dan keselamatan mereka terjamin.
(106: 2) (Iaitu) kebiasaan mereka melakukan perjalanan pada musim sejuk dan panas,
Ketenteraman diperlukan dalam semua keadaan, tetapi lebih diperlukan lagi ketika dalam perjalanan membawa bekalan dan barang-barang untuk diniagakan. Negeri Makkah merupakan sebuah negeri yang kering, tanpa tanaman dan tidak banyak ternakan padanya. Bisanya angkatan dagang dari Makkah pada musim sejuk mereka pergi Ke Yaman kerana udaranya nyaman. Yaman adalah sebuah negeri yang bermusim panas, sejuk dan sederhana. Udara di negeri Makkah sejuk ketika udara sederhana di negeri Yaman. Negeri Syam pula sederhana udaranya, ketika negeri Makkah berada dalam musim panas. Orang Arab terutama pedagang-pedagang dari Makkah melancong ke Yaman dan Syam apabila negeri mereka mengalami cuaca sama ada panas atau sejuk. Sama ada pemergian keluar negeri itu kerana menikmati udara yang lebih nyaman atau kerana urusan perniagaan atau hanya untuk melancong dan bersuka-suka, semuanya membayangkan tahap pencapaian kehidupan penduduk Makkah yang tinggi. Ini kerana semakin moden kehidupan rakyat dalam sesebuah negara, semakin banyak pula pilihan untuk mencari keselesaan, sekalipun di luar negeri terutama dalam keadaan mendesak.
(106: 3) Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,
Kediaman dan tempat tinggal yang mereka perolehi serta keamanan dan kesejahteraan yang mereka nikmatinya pula lokasinya tidak jauh dari Baitullah. Mengapa ada pihak tergamak melakukan syirik di kawasan ini dan mengapa mereka menentang Rasulullah saw Bukankah sepatutnya ihsan di balas dengan ihsan juga? Apakah faktor yang mendorong mereka melakukan kekufuran dan penderhakaan itu? Keamanan yang biasa diperolehi dalam perjalanan pada musim sejuk dan musim panas itu mewajarkan mereka meningkatkan ibadat kepada Tuhan yang menguasai rumah Kaabah yang mulia ini kerana nikmat itu memungkinkan mereka mendapat kekayaan yang lebih banyak dan makanan yang lebih bermutu bagi menyelamatkan mereka dari kelaparan.
(106: 4) Tuhan yang telah mengurniakan mereka makanan yang menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.
Kerana nikmat keamanan, kaum Quraisy dapat hidup dengan baik dalam sebuah negeri yang kering kuntang. Tidak sudikah mereka beribadat kepada Allah kerana mensyukuri anugrah-Nya yang tidak terhingga. Kaum Quraisy lupa bahawa nikmat-nikmat yang mereka terima itu adalah berkat doa Nabi Ibrahim as sebagai pendakwah yang pernah bermohon agar dijadikan rantau itu aman dan makmur.
Firman Allah: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian.” (Al-Baqarah, 2: 126)
Mereka harus ingat bahawa negeri ini diberi keistimewaan khas oleh Allah, firman-Nya:
Firman Allah: “Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rompak-merompak.” (Al-Ankabut: 67)
Memang besar dan banyaknya nikmat Allah terhadap mereka sehingg tidak dapat dihitungkan lagi. Jika mereka tidak mampu bersyukur atas nikmat-nikmat itu, bersyukurlah atas nikmat mendapat makanan dan keamanan, itu pun sudah cukup untuk membuktikan kesyukuran kerana ibadat yang sebenar-benarnya ialah bersyukur. Kaum Quraisy banyak melakukan kesilapan pada mentafsirkan nikmat, menyebabkan Allah menariknya sedikit demi sedikit, dahulu mereka mempunyai kedudukan sebagai ketua yang berkuasa kini mereka bertukar menjadi ketua tanpa kuasa.
Kesimpulan:
1. Allah membinasakan angkatan tentera bergajah dan menahan mereka dari memasuki Makkah bagi mempastikan keamanan tetap berterusan di bumi yang banyak barakahnya ini.
2. Allah mengurniakan rezeki dan keamanan melalui perniagaan di luar negeri pada musim-musim sejuk dan panas, lalu mereka beroleh berbagai-bagai barangan yang baik dan selesa diguna.
3. Kaum Quraisy dipandang mulia dan dihargai kerana ada Kaabah di bumi mereka. Tanpa Kaabah, sudah pasti kedudukan mereka tidak lagi sebagai yang mereka perolehi.
4. Peringatan Allah yang menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan sepatutnya menimbulkan rasa malu kerana mereka tidak beribadat kepada Allah Tuhan yang memelihara rumah suci itu.
5. Menyediakan bekalan makanan yang secukupnya serta jaminan keselamatan merupakan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat. Negeri-negeri yang maju pada hari ini dan sebelum ini tidak mampu menyempurnakan dua nikmat ini kepada rakyatnya.
Rujukan:
1) Sayyid Qutb, “Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran (Juz 30),” Perniagaan Jahabersa, 2008
No comments:
Post a Comment