AZIZULHASNI Awang sudah lama ada ‘sifat pahlawan’ dalam dirinya - mahu menang dengan apa cara sekali pun - jika ada ruang memecut dan awal pagi semalam gelagat itu hampir membawa padah pada diri jaguh trek negara itu. Anak muda dari Terengganu itu terbabit dengan pelanggaran teruk membabitkan tiga pelumba lain dalam final acara keirin di Kejohanan Trek Siri Piala Dunia di Manchester yang berakhir dengan serpihan kayu tujuh inci daripada trek tertusuk di betis kirinya, semalam. Sekalipun terjatuh, dia tetap bangun mengayuh ke garisan penamat dan hanya sedar kesakitan itu selepas menamatkan perlumbaan sebelum dibawa ke hospital dan tidak dapat naik ke podium untuk menerima pingat gangsa.
Emas dimenangi juara Olimpik dan pencabar sengitnya dari Britain, Chris Hoy yang tidak terbabit dalam pelanggaran itu. Apapun, penawar duka adalah Azizulhasni muncul juara keseluruhan siri Piala Dunia acara berkenaan kali ini.
Semalam, jaguh pecut trek negara itu selamat menjalani pembedahan dan menurut Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) tiada kecederaan serius melanda ikon sukan negara itu.
“Dia bernasib baik kerana serpihan kayu itu tidak terkena salur darah utama, tisu dan otot betisnya,” katanya.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bila membaca akhbar tentang sifat pahlawan Azizulhasni Awang ini, terimbas kembali kisah-kisah dongeng atau cerita dalam komik. Meskipun berdepan dengan kesulitan atau kecederaan, masih mampu bangkit memecut untuk mendapatkan kemenangan atau kejayaan. Jika kisah ini sungguh membakar semangat, apatah lagi kisah-kisah para sahabat yang ternyata lagi hebat semangat pahlawannya.
Dalam sirah, dihidangkan kisah-kisah sahabat yang syahid dalam medan pertempuran. Terdapat sahabat yang yang dipenggal kedua-dua tangannya ketika membawa panji Islam. Ada yang dibunuh satu keluarga. Banyak lagi kisah yang biasa kita baca. Pokoknya, nyawa dan kaluarga menjadi taruhan. Apa matlamat itu semua? Jawapannya: Mardhatillah. Keredhaan Allah adalah segala-galanya, bukan hanya kejayaan yang bersifat sementara.
Semoga sang daie membuka mata bila membaca akhbar hari ini. Malulah jika sang daie tewas atau kalah dengan sifat pahlawan Azizulhasni Awang. Sepatutnya, tidak akan tewas sang daie itu jika kecekalan Rasulullah dan para sahabat menjadi ikutan.
No comments:
Post a Comment