“Assalamualaikum.
Dik, ni ada risalah sempena Hari Kekasih,” sapa seorang muslimat sambil
menghulurkan risalah kepada beberapa orang mat motor. Suaminya yang sedang
mendukung anak berada di belakangnya.
“Eh, saya mana
sambut Hari Kekasih,” balas seorang pemuda seperti dalam keadaan marah.
“Bukan, ini
artikel Hari Kekasih vs Maulidul Rasul,” balas muslimat tersebut.
“Hari Kekasih vs
Maulidul Rasul? Mengarut betul!” balas pemuda tersebut seperti nada marah.
Berlalu pergi dan duduk di bahagian tepi jalan. Mukanya masam mencuka.
“Oh, ni kira
artikel islamik la ye kak?” respon rakan-rakannya yang lain seperti tidak kisah
menerima artikel tersebut dan membacanya.
Muslimat dan
suaminya beredar setelah mengedarkan risalah tersebut. Tidak lama selepas itu,
mat-mat motor tersebut berlalu dengan motor mereka. Ternampak salah seorang
dari mereka membaca artikel tersebut dengan keadaan membonceng. Mungkin ada
yang menarik minat dia untuk tetap membaca walaupun dalam keadaan gelap dan
membonceng motor.
“Entah mengapa, marah sangat budak itu tadi? Mungkin tersinggung dengan cara
pendekatan atau dengan tajuk artikel tersebut,” cakap si suami.
“Mungkin juga.
Apa-apa pun, mereka ni seperti adik-adik kita. Perlu kita ajak mereka ke arah
kebaikan. Lebih-lebih lagi couple-couple yang kita jumpa tadi. Pasti ada
hikmah mengapa Allah pilih kita bertemu dengan mereka,” balas si isteri.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Begitulah
keadaan dakwah. Dakwah bukan hanya menghadiri usrah dan program semata-mata.
Malah, ada kalanya perlu turun ke masyarakat. Bila turun ke masyarakat, barulah seorang
dai'e itu tahu betapa sukarnya hendak menyapa mad'u-mad'u di luar sana apatah
lagi untuk memulakan topik dakwah. Kadang kala, masyarakat tidak berminat untuk
melayan, mungkin hanya melipat artikel terbut, mungkin membuangnya dan mungkin
juga membalas dengan kata-kata kasar. Itulah cabaran yang perlu dihadapi.
Mungkin inilah kekurangan yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan.
Imam Hasan Al-Banna mengatakan: "Kita ingin jelaskan objektif kita kepada seluruh manusia. Kita mahu bentangkan pendekatan kita di hadapan seluruh manusia. Kita ingin kemukakan dakwah kita kepada semua. Kita mahu kemukakan dakwah ini tanpa berselindung dan berlapik. Dakwah ini lebih cerah secerah mentari, seterang sinar fajar, sejelas siang hari."
Firman Allah: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, 'Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri).'" (Fushshilat, 41: 33)
P/S - Kisah di atas adalah kisah benar yang dikongsikan oleh sepasang suami isteri, berlaku pada malam 12 Februari 2012.
No comments:
Post a Comment