Firman Allah: "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah, 2: 183)
Kebanyakan kita tahu dan sedar akan hikmah-hikmah berpuasa. Di antara hikmah yang paling jelas ialah bagaimana kita dapat merasai kesusahan dan kepenatan ketika berpuasa. Pastinya, kita mengenang saudara-saudara kita di tempat lain yang mengalami kesusahan seperti di Palestin, Syria, Iraq, Libya, Indonesia, Myanmar dan lain-lain lagi. Ketika kita masih berupaya makan makanan yang enak-enak di rumah ataupun memenuhi jemputan berbuka puasa di hotel dan restoran, sedangkan saudara-saudara kita masih bertarung nyawa untuk mendapat sesuap nasi. Oh, dunia...
Dalam firman Allah di atas, sebenarnya, tujuan diwajibkan berpuasa adalah untuk menjadikan diri kita bertakwa. Bersungguh-sungguh dalam berpuasa dan mengenang nasib saudara-saudara kita juga adalah takwa. Dan itulah hikmahnya berpuasa. Sememangnya, kelaparan yang kita alami sebenarnya jika dilihat di sebalik firman Allah ini, begitu manis, semanis yang dialami orang yang bertahajud di waktu malam ketika yang lain sedang nyenyak tidur. Juga, kemanisan yang ditunjukkan oleh seorang ibu yang sanggup berlapar demi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan. Alangkah indah dan manisnnya berpuasa bagi orang yang betul-betul menghayati hikmah puasa itu dan alangkah ruginya bagi golongan yang tidak berpuasa kerana pada dirinya hanya memikirkan perut dan lapar diri sendiri sahaja.
Semoga Ramadhan kali ini menggamit diri kita menjadi orang yang bertakwa dan mengambil berat di atas nasib saudara-saudara kita di luar sana. Semoga kemanisan Ramadhan ini dipertemukan oleh Allah lagi pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment