Sunday, September 30, 2012

Cinta Sejati

Secara nalurinya, terbukti kasih sayang seorang Ibu yang mengandungkan seorang anak selama 9 bulan, menyusukannya selama 2 tahun, menjaga dan mendidik anaknya bagai menatang minyak yang penuh. Dibesarkan anak itu dengan penuh kasih sayang dan sanggup bersusah dan sanggup berlapar, asalkan anaknya membesar dengan baik. Apa jua yang berlaku pada anaknya, sama ada menjadi seorang yang baik ataupun sebaliknya, itulah anaknya. Jika hebat anaknya dalam pelajaran ataupun kerjaya, begitu ibunya berbangga dan berkongsi kegembiraan. Namun, jika sebaliknya, tidak melunturkan kasih sayang kepada anaknya, kerana anaknya itulah yang menjadi permata dalam hidupnya selama ini.

Buruk atau baik seorang anak, seorang ibu tetap menyayanginya. Itulah kasih sayang seorang ibu yang tiada tolok bandingnya. Jika kita bercakap soal kasih sayang sejati, kasih sayang ibu kepada anak adalah yang terbaik contohnya. Hinggakan, bagaimana Allah merakamkan perbuatan baik atau menghormati ibu bapa di dalam Al-Quran.

Firman Allah: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah engkau membentak keduanya dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil." (Al-Isra', 17: 23-24)

Atas dasar inilah, Allah mengangkat martabat ibu bapa atas dasar kasih sayangnya dan didikannya terhadap anak. Jika begitulah kasih sayang yang tiada bandingan ibu bapa kepada anaknya, bagaimana pula cinta kita kepada Rasulullah, Kekasih Allah? Adakah cinta kita kepada Allah betul-betul ikhlas ataupun hanya berupa sentimen ataupun mengikut keadaan? Adakah hanya apabila Rasulullah dihina di mata dunia, barulah kita menunjukkan kecintaan kita kepada Rasulullah? Kita marah apabila Rasulullah dihina dan dicaci, tetapi adakah selama ini, kita betul-betul mencintai Rasulullah dan mengamalkan sunnah baginda? Adakah ini cinta sejati yang kita berikan kepada Rasulullah?

Firman Allah: "Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari Kiamat dan yang banyak mengingati Allah." (Al-Ahzab, 33: 21)

Saya cukup berbangga dan terharu apabila masyarakat Islam terutama di Malaysia yang menunjukkan kemarahan apabila Rasulullah dihina oleh dunia Barat. Harapan saya juga, agar kemarahan yang dipamerkan itu adalah betul-betul ikhlas dan tidak berbentuk sentimen semata-mata. Cuma, bagi saya, insiden ini boleh membuka mata kita semua agar tidak leka dibuai mimpi pada saat-saat musuh Islam tidak habis-habis memerangi kita. Ayuh, marilah sama-sama kita memperbaiki diri dan menghampiri sunnah Rasulullah. Itulah cinta sejati seorang Muslim.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment