Tuesday, August 3, 2010

Menjadi Pahlawan Yang Pahalawan

Adakah aku seorang pahlawan?
Adakah aku mempunyai ciri-ciri seorang pahlawan?
Apakah ciri-ciri supaya aku menjadi seorang pahlawan?

Semasa sekolah rendah dahulu, masih ingat lagi apabila Hari Pahlawan diraikan. Meskipun tidak bercuti, tetapi setiap Hari Pahlawan, pasti akan dibuat kutipan derma untuk perajurit dan bekas-bekas perajurit negara. Jika dahulu, bila disebut tentang Hari Pahlawan, hanya terbayang askar-askar dan angggota beruniform yang memegang senjata. Tetapi, rupa-rupanya, definisi pahlawan cukup besar. Apabila bergelumang dengan dunia tarbiyah, bahkan skopnya turut meluas. Dan seharusnya, daie perlu menjadi seorang pahlawan dan memberi impak yang besar kepada masyarakat.

Setiap negara dan masyarakat sudah pasti ada pahlawan dan tokoh mereka sendiri. Nelson Mandela adalah pahlawan masyarakat Afrika yang menentang dasar arphateid. Mahatma Gandhi pula adalah pahlawan bagi orang India di mana seluruh kaum India di seluruh dunia menyanjungi perjuangan beliau. Tidak ketinggalan pula bagi Tanah Melayu atau Malaysia. Cukup dikenali nama-nama seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbung, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Leftenan Adnan, Dr Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain yang merupakan pencetus titik tolak kebangkitan bangsa untuk menuntut kemerdekaan. Perjuangan yang ikhlas yang tidak menggadaikan agama, bangsa dan negara sebaliknya menggadaikan nyawa mereka sendiri.

Justeru, apabila terjerumus ke lembah tarbiyah ini, sudah pasti lebih banyak pahlawan yang kita temui. Nabi Muhammad s.a.w. adalah pahlawan ulung dalam sejarah Islam dan kerana bagindalah kita berada di atas landasan Islam. Kehebatan baginda mentarbiyah para sahabat menjadi titik tolak Islam pernah menguasai dunia. Di atas kehebatan dan kecekalan pahlawan ulung ini, melahirkan ramai pahlawan dari golongan sahabat, tabi'in dan seterusnya hingga ke saat ini. Nama-nama seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, Hasan Hudaibi, Syeikh Ahmad Yasin, Abd Aziz Rantisi, Yusuf Qardhawi dan lain-lain sering meniti di bibir penggiat-penggiat dakwah di serata dunia. Mereka berdakwah merentasi negara dan benua, mereka berperang lalu membunuh dan terbunuh dan mereka korbankan segala apa yang ada di sisi sama ada jiwa, harta, masa dan keluarga.


Sudah pastinya, kemunculan pahlawan-pahlawan Islam hingga sekarang bermula dari perjuang Rasulullah s.a.w. dan itulah idola utama mereka. Bagaimana pula kita? Adakah kita hanya mampu menyebut-nyebut nama mereka sedangkan usaha kita tidak seberapa? Malulah kita seandainya gagal kita untuk menjadi pahlawan Islam sedangkan masyarakat sekarang menantikan hero-hero atau pahlawan-pahlawan yang akan menyelamatkan mereka dari sebarang gangguan puak kuffar. Jiwa patriotik dalam diri ini bukan hanya untuk negara sahaja bahkan yang lebih penting untuk agama dan Rabb-ku.

Ku ingin menjadi "Pahlawan Yang Pahalawan" yang bercita-cita ingin mentarbiyyah keluarga, masyarakat dan mutarabi yang sentiasa mendambakan diri untuk menjadi pahlawan Islam. Biarlah usrah dan halaqah yang dibentuk dapat menyemai semangat perwira dan pahlawan dalam setiap jiwa yang menghadirinya. Tidak ada lagi sikap main-main yang boleh membantutkan jiwa ini untuk menjadi "Pahlawan Yang Pahalawan".

No comments:

Post a Comment