Minggu lepas adalah minggu yang meletihkan. Bukanlah disebabkan puasa ini meletihkan diri tetapi dengan kerja yang berderet-deret hendak diselesaikan. Sepanjang minggu lepas dipenuhi dengan meeting dengan orang atasan di mana majoriti bahasa perantaranya adalah Nihongo (Bahasa Jepun). Meskipun ada penterjemah, tetapi memang tertekan betul setiap kali meeting sebegini. Paling tertekan, apabila projek yang kita bentang, mereka bincang dengan lebih lanjut dalam Nihongo. Macam tunggul betul dibuatnya. Kebanyakan meeting yang dibuat pula bukanlah untuk menyelesaikan masalah sebaliknya mencari kesalahan-kesalahan kita dan bersiap sedialah menerima serangan bertalu-talu. Hampir 4 tahun bekerja dengan Jepun dan itulah caranya. Adakah sama caranya dengan syarikat-syarikat Jepun yang lain?
Jika disentuh soal kerja, keletihan itu adalah normal. Mana ada kerja yang tidak letih? Cuma, bagaimana kita bertahan dan mampu mengurus dengan baik. Adalah normal sebagai orang bawah bermati-matian dalam sesuatu pojek tetapi orang atasan yang mendapat nama dan dihambur pujian. Bila berlakunya sebegini, kita kembalilah niat kerana Allah. Meskipun orang atasan tidak menghargai kita, kita harus sedar Allah Taala tahu dan pasti akan menghargai usaha kita. Inilah Bos atau MD kita yang paling agung.
Apabila mengeluh tentang kerja ini, saya teringatkan ibu bapa saya. Ayah saya yang menguruskan perniagaan restoran, setiap hari bangun pergi ke pasar pukul 3am kecuali hari Ahad. Di saat saya masih nyenyak tidur, ayah saya yang berumur 64 tahun melakukan rutin yang alah bisa tegal biasa. Beberapa minggu lepas, beliau dimasukkan hospital akibat lemah jantung. Ketika saya menjaga beliau pada malam pertama di hospital, terasa sedih rasanya bila melihat orang yang membesarkan saya dalam kesakitan. Risau sangat dengan perniagaannya hinggakan pukul 4am ~ 5am, beliau minta saya tolong abang saya ke pasar dan sempat memesan kepada abang resepi masakan. Geleng kepala saya, kadang-kadang tindakan ayah ni membuat keluarga risau dan kadang-kadang nak tergelak juga melihat caranya. Sama juga dengan ibu dan abah saya (penjaga saya) yang bekerja keras membangunkan perniagaan runcit yang lebih 30 tahun.
Memang benar pesanan Hasan al-Banna dalam kewajipan akh Muslim di mana digalakkan membuat bisnes daripada makan gaji. Bisnes itu tidak hanya perniagaan kedai dan gerai sahaja sebaliknya perniagaan yang merangkumi aspek yang lebih besar seperti kilang, hotel, insuran, firma kejuruteraan dan syarikat perumahan yang dimajukan oleh orang Islam sendiri. Memang besar betul pahala orang yang menguruskan perniagaan.
Perniagaan apakah yang ku ingin ceburi???
No comments:
Post a Comment