Tuesday, December 28, 2010

Nasionalisme Seorang Muslim

Nasionalisme dan Kegemilangan Silam
Jika nasionalisme yang dimaksudkan oleh mereka yang berbangga dengan semangat nasionalisme ialah generasi muktahir perlu menurut jejak generasi silam dalam membina hidup gemilang, dihormati, cemerlang, berkeyakinan tinggi dan menjadikan mereka sebagai contoh yang baik; Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kegemilangan seorang bapa menjadi kebanggaan seorang anak lantaran itu menjadi pembakar semangat dan perangsang. Jika kedua-dua ini yang dimaksudkan, ia adalah satu tujuan yang baik. Bukankah usaha kita membangkitkan hemah generasi masa kini bertujuan supaya mereka mencontohi kehebatan generasi silam.

Rasulullah bersabda: "Manusia ini seperti logam, orang yang terbaik di zaman jahiliyyah adalah orang yang terbaik di zaman Islam, jika mereka memahami."

Nasionalisme dan Ummah
Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah keluarga dan ummah adalah orang yang paling utama untuk menerima layanan baik dan orang yang paling utama dilimpahkan segala sumbangan dan jihad, maksud ini adalah benar. Siapakah yang tidak merasakan bahawa orang yang paling utama untuk menerima sumbangannya ialah bangsanya sendiri yang telah membesarkannya.

Jika nasionalisme yang dimaksudkan ialah kita semua dituntut supaya berusaha dan berjihad, maka menjadi kewajipan setiap pihak untuk berusaha mencapai matlamat ini sehingga dengan izin Allah masing-masing mencapai kejayaan. Inilah pengagihan tugas yang terbaik. Siapa lagi kalau bukan kita yang membekalkan kepada umat Timur dengan pelbagai pasukan dan ketumbukan jihad dalam setiap lapangan sehingga kita bertemu semuanya dalam kemerdekaan dan kebebasan.

Nasionalisme Jahiliyyah
Menghidupkan kembali budaya jahiliyyah yang telah pupus; Mewujudkan semula sejarah yang telah lenyap dengan mengenepikan tamadun baik yang telah bertapak kukuh; Membuang semua yang ada kaitan dengan Islam semata-mata kerana semangat nasionalisme dan semangat kebangsaan seperti mana yang dilakukan oleh sesetengah mereka yang fanatik sehingga tahap menghancurkan semua imej Islam termasuk mengubah nama, huruf dan istilah yang digunakan dan menghidupkan semula budaya jahiliyyah yang telah sekian lama pupus. Jika inilah nasionalisme yang dimaksudkan, maka nasionalisme seperti ini tidak betul dan membawa kesan yang sangat buruk. Ia hanya membawa kerugian teruk kepada negara tersebut. Selain kehilangan segala warisannya dan merendahkan kedudukannya, negara tersebut akan kehilangan segala keistimewaan dan kesuciannya yang paling berharga. Namun, ia tidak sedikit pun akan mencemar agama Allah.

Firman Allah: "Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma), Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Muhammad, 47: 38)

Nasionalisme dan Pencabulan
Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri seperti yang dilakukan oleh jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa lain, maka, maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan. Tindakan ini sebenarnya membawa maksud memanipulasi semua bangsa manusia demi mencapai suatu yang tidak pasti, suatu yang bukan hakiki dan tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa.

Dua Teras
Seseorang Muslim tidak perlu melaungkan semangat Firaun atau Phoenix atau Arab atau Syria atau ketuanan bangsa ataupun apa sahaja nama atau gelaran yang menjadi kebanggaan ramai manusia. Namun, kita patut menerima apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang merupakan seorang manusia yang sempurna  malah manusia terbaik yang mengajar perkara yang baik kepada manusia, sabda Baginda, maksudnya:

"Allah telah membersihkan kamu daripada nilai jahiliyyah dan budaya berbanggan dengan nenek moyang. Seluruh manusia berasal dari Adam dan Adam daripada tanah. Tiada kemuliaan bagi orang Arab berbanding bukan Arab kecuali dengan ketaqwaan"

Alangkah indah dan adilnya ungkapan ini. Semua manusia daripada Adam dan kerana itu mereka semua setaraf. Manusia hanya berbeza berdasarkan amalan mereka. jadi, sepatutnya mereka bersaing dalam melakukan kebaikan. Sekiranya dua teras ini menjadi landasan kepada bangsa manusia, sudah tentu martabat manusia akan meningkat hingga ke puncak langit.

Pertama: Semua manusia daripada Adam, jadi mereka semua adalah saudara. Oleh itu, mereka perlu saling bekerjasama, bahu membahu, berkasih sayang dan saling memimpin ke arah kebaikan.

Kedua: Perbezaan antara manusia hanyalah berdasarkan amalan mereka. Jadi, masing-masing perlu berusaha supaya dapat mengangkat martabat seluruh manusia.

Apakah ada perkara yang dapat mengangkat martabat seluruh manusia ke tahap ini? Apakah ada didikan yang lebih baik daripada didikan daripada Rasulullah s.a.w. ini?


*Dipetik dari Majmu' Rasa'il Imam Syahid Hasan al-Banna

2 comments:

  1. Assalamualaikum,
    Kebanyakan orang Melayu yang beragama Islam yang susah di tempat saya, selalu pergi ke rumah ibadah lain untuk minta duit dan makanan tiap-tiap minggu. Sedangkan di situ, ada masjid yang cantik dan besar.

    Agaknya ada tak orang Melayu Islam kita atau pihak masjid yang boleh dan sanggup buat macam ni selalu tiap tiap minggu?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam,
    Perkara ini sudah banyak kali kita dengar, dari dulu hingga sekarang. Setiap tahun, hasil perolehan zakat berjuta-juta tetapi masih ramai lagi orang Islam yang miskin.

    Perubahan dalam masyarakat Melayu Islam akan mengambil masa yang lama dan memerlukan pelbagai usaha dan kesabaran yang tinggi. Ia bermula dari pembentukan peribadi Muslim sehinggalah Islam menjadi 'World Order'.

    Insya Allah, akan saya huraikan dalam artikel yang mendatang.

    ReplyDelete