Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Taala masih diberikan nikmat Iman dan Islam ketika melangkah ke tahun baru 1431H dan 2010. Selalunya, bila melangkah saja ke tahun baru, perkara yang sering dibincangkan ialah azam tahun baru dan prestasi pada tahun lepas.
Ketika melangkah ke tahun baru Awal Muharam 1431H iaitu pada 18 Disember 2009 yang lepas, kebiasaannya di Malaysia, menyambutnya dengan membaca Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun dan sambutan Maal Hijrah pada keesokan harinya. Lantas di peringkat negeri atau kebangsaan, pasti akan ditabalkan Tokoh Maal Hijrah mengambil kira sumbangan mereka untuk Islam.
Berbeza pula suasana masyarakat menyambut Tahun Baru 2010, suasana yang cukup merisaukan bagi umat Islam. Puluhan ribu membanjiri Kuala Lumpur terutama di kawasan Bukit Bintang dan KLCC. Meskipun tak pernah meraikan sambutan tahun baru tetapi umum mengetahui konsert, countdown dan pergaulan sosial adalah menu utama sambutan tersebut. Adalah lebih malang jika dirosakkan dengan seks bebas ibarat haiwan ternak. Menjelang tahun baru, masyarakat terutama muda mudi rosak dengan anak teruna hilang teruna dan anak dara hilang mahkota daranya dengan cara yang cukup menjijikkan. Lihat sahaja di dada akhbar, berapa banyak aktiviti maksiat dibongkar pada malam tahun baru. Persoalannya, bagaimana pula dengan aktiviti maksiat yang tidak dapat dibongkar? Bahkan, ini bukan sahaja berlaku pada tahun ini, tetapi istiqamah pada setiap tahun.
Pada pendapat saya, sambutan Awal Muharam jauh lebih baik jika dibandingkan dengan sambutan Tahun Baru Masihi. Sekurang-kurangnya, kita dapat mengimbas kembali Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para Sahabat dan kesan kepada diri kita. Cuma, banyak pertikaian dan persoalan tentang Doa Awal dan Akhir Tahun serta kaifiatnya. Kita sedia maklum bahawa Kalendar Islam Hijrah dicetuskan oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab. Justeru itu, tidak timbul Doa Awal dan Akhir Tahun adalah dari Rasulullah dan terdapat pelbagai kaifiatnya. Cuma, saya lebih suka menganggap doa itu adalah dari ulama-ulama sebagai disiplin kepada masyarakat Islam apabila bermulanya tahun baru. Sudah tentu, kita sentiasa berdoa untuk segala kebaikan sama ada untuk diri, keluarga dan lain-lain.
Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 153)
Justeru itu, saya melihat, seharusnya kita memilih cara mana yang terbaik dalam menyambut sesuatu sambutan. Ternyata, situasi negara kita ini banyak yang perlu diperbetulkan untuk memastikan masyarakat kita terpelihara dari anasir-anasir jahat. Bagaimana negara dan masyarakat hendak terus membangun pada tahun 2010 ini sekiranya pada awal tahun lagi atau pada hari yang pertama sudah dirosakkan sahsiah masyarakat. Begitu juga, bagaimana sebuah kerajaan hendak ditadbir dengan cemerlang andai kata perlantikan ketuanya dilakukan dengan cara yang terkutuk. Mungkin kerosakan yang dilakukan di awal-awal tahun ini, menyebabkan pelbagai masalah di negara kita seperti kecelakaan jalan raya yang semakin meningkat, kes ragut dan bunuh, pembuangan bayi, kegiatan seks bebas dan penagihan dadah yang gagal dibendung dan lain-lain lagi. Meskipun pelbagai cara dilakukan ternyata gagal untuk menyelesaikan.
Sebagai khalifah di muka bumi, harus diingat betapa pentingnya hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Andai hubungan dengan Allah gagal kita jaga atau awal-awal lagi kita rosakkan, usah bermimpi untuk mendapat hubungan yang baik sesama manusia.
No comments:
Post a Comment