Thursday, January 24, 2013

Rakit Survival


Rakit Survival - Sesuai dengan nama aktivitinya, bagaimana kita survive untuk membina rakit dan memanfaatkannya. Semestinya aktiviti rakit sangat-sangat berbeza dengan kayak. Aktiviti berkayak mungkin dilihat kemampuan mengendalikannya dan keadaan air manakala bagi aktiviti rakit, perlu dilihat juga dari segi pembinaannya. Mungkin sebab itu dinamakan survival dengan melihat kepada keupayaan manusia menghasilkan rakit yang terbaik dan selamat untuk digunakan.

Dari segi teori, pembinaan sebuah rakit sangatlah mudah, tapi, dalam melaksanakannya, barulah tahu, pembinaan apa jua pun perlulah ketelitian yang sangat-sangat persis. Barulah tahu, ciri-ciri penting seperti bagaimana pengapungan rakit itu, rekabentuk yang sepatutnya, cara ikatan yang terbaik, bebanan yang mampu dipikul, kebolehupayaan rakit tersebut dan lain-lain lagi. Maka, tidak boleh sama sekali kita mengambil mudah soal tersebut kerana jika salah caranya, pasti akan tenggelam rakit itu bersama-sama pemain-pemainnya. Sepatutnya, bukan soal cepat atau lambat pembinaan rakit itu, tapi bagaimana kita nak menghasilkan produk yang terbaik.



Begitu juga dengan dakwah, kita tidak harus terburu-buru untuk melihat hasil dakwah kita. Kita harus bersabar dalam membina binaan dakwah dan mempersediakan dakwah kita untuk medan yang lebih besar. Dakwah itu secara normalnya bersifat sangat lama dan sangat panjang, maka seharusnya para dai'e memahami konsep itu. Maka, secara bertahap, perlu berhadapan segala ancaman dan tribulasi sepanjang dakwah itu. Bukanlah hasil, keutamaan yang diinginkan tapi pengisian sepanjang pembinaan dakwah itu demi mencapai matlamat. Hasil atau output yang terbaik adalah lanjutan daripada input yang terbaik dan masa yang tepat. Jika kita tergesa-gesa untuk melihat hasil dari waktu yang sepatutnya, maka pembinaan yang kita bina pasti akan musnah.

Kemusnahan rakit akibat kesilapan kita tidak seharusnya menggusarkan tetapi yang sangat menggusarkan adalah kemusnahan dakwah akibat tangan-tangan dai'e itu sendiri. Moga-moga Allah mengampunkan saya bersama ikhwah/akhwat seperjuangan.


p/s - Pengalaman bersama-sama ikhwah dalam menghasilkan rakit dalam Program Perkhemahan Remaja di D'Kok Eco Camp mencetuskan idea untuk artikel ini.

No comments:

Post a Comment