"Malaysia tidak harus terus berharap kepada Lee Chong Wei untuk mendapat kejayaan dalam sukan badminton. Kita perlu mencari pemain-pemain muda sebagai pemain pelapis negara. Jika tiada, kita harus kembali ke peringkat akar umbi untuk membina pemain-pemain remaja seperti yang dilaksanakan oleh kuasa-kuasa badminton seperti China dan Indonesia. Kita memang tidak akan mendapat kejayaan dengan segera, tapi, pada masa akan datang, kita akan beroleh kejayaan dalam tempoh yang lama dan berterusan dengan munculnya jaguh-jaguh badminton muda yang ramai." ulas Misbun Sidek mengenai keadaan sukan badminton negara sekarang.
Agak unik pemikiran Misbun Sidek mengenai masa depan sukan badminton. Sebagai bekas jagoan dan jurulatih Kelab Nusa Mahsuri, beliau sendiri mempunyai perancangan masa depan yang sangat teliti untuk kejayaan sukan tersebut pada masa akan datang. Rumusannya, saya melihat, kita tidak harus terus mengharapkan kekuatan yang sedia ada, tapi kita harus terus memikirkan jangka masa panjang apa yang harus kita buat.
Begitu juga dalam dakwah. Kita jangan terlalu berpuas hati dan hanya mengharapkan beberapa individu untuk membawa risalah dakwah ini. Dakwah ni terlalu banyak medan dan kita akan terus berasa letih jika tidak cukup orang dan kekuatan menyantuni mad'u kita. Jadi, mengapa tidak kita berfikir seperti apa yang Misbun Sidek berfikir? Selain ketentuan Allah, seharusnya strategi dalam dakwah juga sangat-sangat penting.
Kita perlu kembali ke akar umbi untuk membina para rijal iaitu remaja. Kita perlu perkenalkan dan mematangkan mereka dengan dakwah dan membina mereka sebaik-baiknya menjadi generasi Rabbani yang bersedia untuk bergelumang dengan dakwah bersama-sama kita. Pembinaan rijal-rijal ini pastinya akan mengambil masa yang lama tapi bukankah itu sunnatullah? Pembinaan rijal ini akan memberi impak yang sangat besar apabila mereka memasuki alam belia suatu hari nanti.
Firman Allah: " .... Jadilah kamu pengabdi-pengabdi Allah, kerana kamu mengajarkan kitab dan kerana kamu mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)
Firman Allah: "Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. Dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami tidak menyeru tuhan selain Dia. Sungguh, kalau kami berbuat demikian, tentu kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh dari kebenaran.'" (Al-Kahfi, 18: 13 - 14)
Jika ada yang bertanya, adakah ia akan berhasil? Ya, saya amat-amat optimis seperti optimisnya Misbun Sidek. Mengapa kita selalu mengharapkan kejayaan yang cepat tapi sementara? Bukankah lebih baik kita bersabar demi mencapai kejayaan untuk tempoh yang lama dan berterusan?
Kuat atau lemah sesebuah masyarakat itu bergantung pada pemudanya. Jika hebat pemudanya, maka kuatlah masyarakat itu. Jika rosak pemudanya, maka lemahlah masyarakat itu. Kita harus membina para remaja dan pemuda di luar sana untuk membina kembali bangunan Islam yang hampir roboh. Usah biarkan potensi mereka dibiarkan tanpa dimanfaatkan langsung untuk dakwah ini. Kini, remaja, bukan lagi golongan yang disibukkan dengan aktiviti persekolahan, peperiksaan, kelas tambahan dan games sahaja, bahkan sudah tiba masanya disibukkan dengan usrah dan amal-amal dakwah. Kita harus membina mereka menjadi rijal-rijal idaman dakwah seperti terbinanya tokoh-tokoh remaja zaman Rasulullah dan para Sahabat.
"Andai diumpama Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tetapi aku ingin hati-hati yang IKHLAS untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah." - As-Syahid Hasan al-Banna.
Ikhwah & Akhwat sekalian,
Tidakkah antum teruja untuk membina dan melahirkan rijal-rijal idaman dakwah? Antum semestinya TAHU tetapi adakah antum MAHU???
No comments:
Post a Comment