Tuesday, March 6, 2018

Ip Man

Ketika zaman muda remaja, saya boleh dikatakan "Kaki TV" dan agak kerap melayan filem - filem khususnya filem aksi seperti filem aksi Bruce Lee, Jackie Chan dan Jet Li, yang saya anggap sebagai hiburan yang terbaik ketika itu, apatah lagi filem dan drama Melayu yang ditayangkan di televisyen, semakin lama, semakin hambar.

Namun, dalam 2 - 3 tahun kebelakangan ini, filem aksi kung fu yang saya minat lebih terarah kepada kisah Ip Man lakonan Donnie Yen! Setelah beberapa kali melayan 3 Siri Ip Man (yang terakhir Ip Man 3), sebenarnya yang ditayangkan bukan saja aksi kung fu itu, tetapi pengajaran yang boleh diambil oleh seorang manusia biasa. 

Ip Man adalah guru kepada Bruce Lee. Agak pelik sebenarnya, dengan watak Bruce Lee yang kasar, suka bergaduh dan suka mencabar musuh, ianya seolah - olah watak yang berlawanan pada Ip Man, walaupun Ip Man adalah gurunya. Dari sudut positifnya, ianya bagus kerana seorang anak murid mempunyai watak dan cara yang tersendiri.

Di dalam filem Ip Man 3, pada babak akhir pertarungan untuk menentukan Mahaguru Wing Chun, yang akhirnya dimenangi oleh Ip Man, Ip Man sempat meninggalkan pesan pada lawannya dengan kata - kata yang amat mendalam, "Menghargai orang yang kita sayang di sekeliling kita!"

Kata - kata ini keluar ketika lawannya terlalu kemaruk untuk mengejar kemahsyuran sebagai Mahaguru Wing Chun, sedangkan pada masa yang sama, Ip Man perlu mengalihkan perhatiannya menjaga isterinya yang menderita sakit barah dan tidak akan hidup lama.





Maka, begitulah dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia. Sesibuk mana pun kita di alam pekerjaan, usah dilupa dan hargailah orang yang kita sayang. Sebagai seorang dai'e juga, jangan diabaikan tanggungjawab kita pada keluarga, meskipun kita merasakan diri kita ini adalah untuk ummah!

Ayuh, mari kita semak balik bagaimana peranan kita kepada pasangan kita? Ibu bapa kita? Anak - anak kita? Saudara mara kita? Adakah kita cukup berfungsi dan berperanan kepada mereka? Dan, adakah kita amat menghargai mereka di dalam kehidupan kita? Justeru itu, siapa pun kita, sesibuk mana pekerjaan kita, mulia dan besarnya pangkat dan tanggungjawab kita, usah kita lupa dan menghargai orang yang kita sayang. Ketika diri kita giat mengungkapkan kata - kata bermanfaat untuk memperbaiki ummah, juga jangan dilupa peranan ini. Ini kerana, orang yang kita sayang ini lah yang berperanan membangunkan diri kita dan selalu mendoakan kejayaan kita. 

Jika seorang Ip Man, mampu saja memberikan contoh yang baik pada kawan dan lawannya sendiri, mengapa tidak kita?

No comments:

Post a Comment