Friday, November 24, 2017

Surah At-Tahrim

Firman Allah: "Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda - kaffarah); dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: 'Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan?' Nabi menjawab: 'Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam Pengetahuan-Nya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi).' Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya. Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu; yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa (meliputi) yang janda dan yang anak dara." (At-Tahrim, 66 : 1 - 5)

Di dalam Tasir Ibnu Kathir dan Tafsir Al Munir, asbabun nuzul ayat 1 dan 2 adalah berkisar kepada "pakatan" Aisyah dan Hafsah yang mendakwa ada bau maghafir (sejenis buah yang manis tapi tidak enak baunya) pada Rasulullah setelah Baginda menjamah madu di rumah Zainab. Setelah tuduhan berikut, maka Rasulullah bersumpah untuk tidak mengulanginya atau memakannya lagi.

Apabila membaca dan mentadabbur Surah At-Tahrim, ayat 1 - 5 di atas, ianya boleh diceritakan sebuah konflik di dalam rumah tangga Rasulullah. Sebagai seorang Nabi yang maksum, kehidupan Nabi amat bertepatan menjadi contoh hingga sekarang. Bahkan, kehidupan Baginda yang digambarkan di dalam Al-Quran bukanlah kehidupan yang sangat ideal, tetapi sesuai dan bersifat manusiawi. Kehidupan Baginda sebagai suami yang berdepan dengan karenah isteri - isteri yang cemburu antara satu sama lain (apatah lagi apabila berpoligami) dan juga keadaan isteri Baginda, Ummahatul Mukminin, tetap juga ada sikap cemburu dan "berpakat" apabila kurang senang dengan madunya yang lain. Bahkan, pada ayat 5, Allah mengancam isteri - isteri Nabi bahawa Dia akan menggantikan mereka dengan isteri - isteri yang lebih baik jika mereka tidak taat pada perintah Rasulullah.

Teguran Allah pada Nabi seperti ini juga terdapat di dalam surah Abassa, apabila diturunkan ayat berkaitan Rasulullah bermasam muka kepada Abdullah Ibnu Maktum ketika Baginda sibuk berdakwah pada pembesar Quraisy.

Maka, kehidupan yang digambarkan ini lah yang sentiasa menjadi rujukan dan ikutan bagi umat Nabi Muhammad, bahawa Nabi dan isteri Baginda juga adalah manusia, dan teguran Allah kepada Nabi berkaitan hal ini semestinya menjadi panduan bagi kita terutama pasangan suami isteri dalam mendepani konflik rumah tangga seperti ini. Tidak timbul isu "hilang thiqah" pada Nabi kerana Allah akan menegur dan memperbetulkan kesilapan Nabi yang bersifat maksum ini.

Maka, ini adalah antara hikmah kenabian di kalangan manusia yang melakukan salah dan silap. Andai kata, segala kisah Rasulullah hanya berkisarkan kehidupan yang sangat ideal; tiada pergaduhan, tiada konflik dan tiada sifat cemburu seorang isteri, pasti sukar bagi kita untuk mengambil pengajaran darinya. Hakikatnya, ibrah dan pengajaran seperti ini amat berharga dan bernilai bagi diri kita untuk diikuti.


Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment