Firman Allah: “Bagaimana mereka dapat menerima peringatan, padahal (sebelumnya pun) seorang Rasul telah datang memberi penjelasan kepada mereka. Kemudian, mereka berpaling darinya dan berkata, ‘Dia itu orang yang menerima ajaran (dari orang lain) dan orang gila.’” (Ad-Dukhan, 44: 13 & 14).
Barangkali, kita pernah mendengar kisah Mush’ab bin Umair. Di mana, beliau cukup terkenal dengan seorang pemuda yang kaya dan kacak (ganteng). Tetapi, apabila beliau masuk Islam untuk mengikut Rasulullah, beliau telah dikurung oleh ibunya. Akhirnya, beliau keluar dari rumahnya, meninggalkan segala kemewahan semata-mata untuk bersama dengan Rasulullah. Di akhir kehidupannya, apabila kain menutupi tubuhnya, tidak cukup kain untuk menutup seluruh tubuhnya. Apabila ditarik menutupi kepalanya, kakinya kelihatan dan apabila ditarik menutupi kakinya, kepalanya pula kelihatan.
Sama juga kisahnya dengan seorang sahabat yang bernama Zulbijalain (tolong betulkan kalau saya salah mengeja). Beliau berasal dari keluarga yang susah dan ayah beliau telah lama meninggal dunia. Beliau dipelihara oleh bapa saudaranya kerana ibunya tidak mampu menjaganya. Suatu ketika, apabila dia menanyakan kepada bapa saudaranya, “Bilakah pakcik hendak mengikut jejak langkah orang lain memasuki Islam?” Lantas dijawab oleh bapa saudaranya, “Andai kau hendak masuk Islam, pergilah tetapi tinggalkanlah segala harta benda termasuk pakaian yang sedang kau pakai.” Lantas dia mengadukan hal ini kepada ibunya dan ibunya berkata dia hanya mampu memberinya dua helai kain alas meja. Lantas dia membaluti dua helai kain tersebut pada badannya dan meninggalkan segala harta pakciknya. Lalu dia pun bersama-sama dengan Rasulullah.
Melihat dua kisah tersebut, dari segi kaca mata manusia biasa, ini lah tindakan orang yang tidak waras, sanggup meninggalkan kekayaan semata-mata untuk mendapatkan sesuatu yang tidak pasti. Tetapi, bagi mereka yang yakin kepada Allah dan Rasulullah, inilah yang begitu diidam-idamkan. Andai kata, manusia biasa mahukan kekayaan dunia tetapi bagi orang mu’min, menantikan kebahagiaan di syurga kelak yang berganda-ganda nikmatnya. Mustahil, dua orang ini beria-ia meninggalkan kemewahan semata-mata mengikut orang gila. Sudah tentu keistimewaan Rasulullah dan apa yang dibawanya itu menyebabkan cinta yang amat sangat seseorang sahabat kepada diri baginda.
Justeru itu, adalah biasa wujudnya mehnah dan tribulasi dalam berdakwah ini. Inilah sunnatullah. Dihalang, ditangkap, diperli, diejek, difitnah dan sebagainya. Lebih-lebih lagi berada di lingkungan orang Melayu yang suka mengejek dan memerli orang. Saya teringat ketika di sekolah rendah dan sekolah menengah, nama kedua-dua orang tua menjadi mangsa ejekan rakan-rakan. Tidak terlepas seorang pun yang mengejek dan menjadi mangsa ejekan. Hmm, anak yang buat salah, nama kedua-dua ibu bapa yang menjadi sasaran.
Andai kata, Rasulullah sendiri pernah diejek sebagai orang gila, apatah lagi kita? Cuma, setakat mana kita bertahan menerimanya. Anggapkan saja, ejekan-ejekan seperti batu-batu kecil dalam kasut yang hanya perlu dibuka kasut itu dan dibuangkan batu itu. Cukup mudah! Tak perlulah kita nak berdendam atau mengambil serius hal-hal tersebut.
Cuba bayangkan, andai kata para sahabat masih hidup di zaman kita sekarang? Mungkin mereka tergelak atau menggelengkan kepala melihat pendakwah-pendakwah zaman sekarang gugur atau gagal bertahan hanya disebabkan hal-hal yang sepele. Disebabkan PNGK jatuh, terus tak nak datang halaqah. Disebabkan meeting program atau banyak assignment, terus tak datang halaqah. Disebabkan kerja, langsung tidak muncul dalam halaqah. Sungguh memalukan dan memilukan!
Moga-moga dengan membaca sirah Rasulullah dan para sahabat, dapat muhasabah iman dalam diri ini. Semoga iman yang diperolehi ini dapat dijaga dan ditingkatkan sebaik-baiknya.
No comments:
Post a Comment