Firman Allah Taala: “Para malaikat dan jibril naik (menghadap) kepada Tuhan, dalam hari yang kadarnya lima puluh ribu tahun.” (Al-Ma’arij, 70: 4)
Para malaikat dan Jibril a.s. naik mengadap Allah s.w.t. melalui al-ma’arij (tangga-tangga tempat naik) dalam lingkungan masa sehari yang menyamai lima puluh ribu tahun dunia, seandainya manusia ingin naik ke sana. Tetapi para malaikat yang bercirikan unsur roh itu dapat naik ke sana hanya dalam masa yang sangat singkat. Penjelasan angka lima puluh ribu tahun di sini bukan untuk menentukan tempoh tertentu. Sebaliknya menerangkan tentang jangka masa yang agak lama dan pemergian para malaikat itu sebenarnya adalah ke satu tempat yang sangat jauh. Firman Allah: “naik (kepadaNya)...” (Al-Ma’arij, 70: 4), yakni naik ke atas ‘ArasyNya atau Dewan PemerintahanNya atau ke tempat di mana kemuliaanNya. Firman Allah: “dalam hari...” (Al-Ma’arij, 70: 4). Menurut pendapat kebanyakan ulama, perkataan tersebut merujuk kepada firman Allah: “para malaikat dan Jibril naik...” (Al-Ma’arij, 70: 4) yakni para malaikat naik pada hari seperti itu. Tujuan kenyataan ini adalah untuk memaparkan gambaran tempoh hari yang kadarnya mutlak panjang.
Menurut pendapat yang lain iaitu pendapat Ibnu Abbas dan Hasan al-Basri, hari yang dimaksudkan itu ialah hari kiamat. Ia bertujuan untuk menggerunkan dan menakutkan orang-orang kafir. Ertinya ialah saat-saat penantian orang-orang kafir untuk dihisab dan ditentukan agihan hukuman Allah kepada manusia adalah selama lima puluh ribu tahun mengikut perkiraan tahun dunia. Kemudian, penduduk neraka akan terus menetap di dasar neraka. Manakala sebab dikenakan azab dengan kenyataan mengenai para malaikat naik, dalam ayat di atas ialah untuk membandingkan perbezaan tempoh antara sehari pada perhitungan mereka dengan sehari pada sisi Allah. Pada tanggapan mereka, perhitungan masa di dunia ini sangat panjang, sedangkan di sisi Allah ia amatlah singkat.
Penyesuaian antara ayat tadi dengan ayat dari surah al-Sajdah iaitu firman Allah:
“Dia mengatur segala urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.” (As-Sajdah, 32: 5)
Iaitu hari kiamat itu mempunyai lima puluh sesi atau episod. Tiap sesi tempohnya ialah seribu tahun.
Hal ini terjadi kepada orang-orang kafir, sementara orang-orang mukmin tidak demikian. Ini berdasarkan firman Allah:
“Penghuni syurga pada hari itu lebih baik tempat tinggalnya dan lebih indah tempat istirehatnya.” (Al-Furqan, 25: 24)
Para ulama bersependapat bahawa tempat beristirehat dan tempat tinggal itu adalah syurga.
Kesimpulannya, ayat (Al-Ma’arij, 70: 4) dan (As-Sajdah, 32: 5) adalah contoh ayat mutasyabihaat yang terdapat perbezaan maksud di antara kedua-duanya. Justeru itu, boleh saja merujuk pendapat ulama’ mufassirin tentang perbahasannya. Andai kata, tidak memuaskan hati, teruskanlah beriman kepada ayat-ayat tersebut seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian para ulama’.
Rujukan:
1) Prof. Dr. Wahbah Mustaffa al-Zuhaily, “Tafsir al-Munir (Juz 29),” Persatuan Ulama Malaysia & Intel Multimedia and Publication, 2007.
No comments:
Post a Comment