Dalam suatu pertandingan bola sepak, sudah pasti ada pemain yang akan bermain sebaik mungkin untuk membantu pasukannya mencapai kemenangan termasuklah pemain simpanan. Apabila wujudnya segelintir pemain yang sebegini, menjadikan mereka ini pemain tumpuan dalam setiap perlawanan hinggakan menjadikan diri mereka bintang dalam pasukan mereka. Untuk menjadi pemain bola sepak berstatus bintang adalah harapan bagi setiap pemain sama ada pemain utama ataupun pemain simpanan. Itu sebabnya, kebanyakan pemain-pemain yang hebat tidak suka apabila terlalu lama memanaskan bangku simpanan. Lihat saja apa yang terjadi kepada pemain-pemain utama Manchester City. Akibat terlalu banyak membeli pemain-pemain baru yang berstatus bintang, maka, pemain-pemain asal mereka yang juga berstatus bintang mengugut untuk mencari pasukan baru apabila terlalu lama berada di bangku simpanan. Dalam mindset mereka, apalah maknanya jika dibayar dengan gaji yang lumayan tetapi hanya berada di bangku simpanan. Jelas, mereka tidak dapat menyumbangkan kehandalan dan kehebatan mereka untuk pasukan mereka apabila hanya menjadi pemain simpanan.
Begitu juga kepada sesiapa yang pernah terjebak dalam permainan Football Manager. Dalam permainan ini, bagaimana tugas seorang pengurus untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak. Jika terlebih membeli pemain handalan, akan berlakunya ketidakpuasan hati di kalangan pemain dan permintaan untuk meninggalkan pasukan yang lebih memberi peluang untuk bermain. Itulah realiti yang berlaku dalam senario bola sepak. Tidak akan wujud pemain yang lebih suka memanaskan bangku simapan dan berpeluk tubuh sahaja berbanding mengerah keringat bertarung di pentas perlawanan.
Maka, bagaimana pula untuk menjadi dai'e yang berstatus bintang? Adakah cukup hanya dengan menghadiri halaqah, daurah dan program untuk dirinya sahaja? Atau adakah cukup dengan berpeluk tubuh dan hanya menunggu perintah dakwah tanpa mempunyai inisiatif sendiri? Sepatutnya, realiti ini tidak harus wujud di kalangan para dai'e di mana tidak hanya menunggu arahan ataupun hanya melihat rakan-rakan sehalaqah bekerja habis-habisan untuk berdakwah. Jika pemain bola sepak ditawarkan dengan pendapatan yang lumayan sehingga ada pendapatan yang mencecah 1 juta US Dollar seminggu, bahkan para dai'e ditawarkan dengan nikmat yang tiada tolok bandingnya jika mereka bersungguh-sungguh melakukan kerja dakwah ini seperti yang dilakukan oleh para Nabi dan para Sahabat.
Firman Allah: "Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga). Mereka itulah orang yang dekat (kepada Allah). Berada dalam syurga kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu. Dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian. Mereka berada di atas dipan-dipan yang bertakhtakan emas dan permata. Mereka bersandar di atasnya berhadap-hadapan. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda. Dengan membawa gelas, cerek dan dan sloki (piala) berisi minuman yang diambil dari air yang mengalir. Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk. Dan buah-buahan apa pun yang mereka pilih. Dan daging burung apa pun yang mereka inginkan. Dan ada bidadari-bidadari yang bermata indah. Laksana mutiara yang tersimpan baik. Sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan. Di sana, mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa. Tetapi, mereka mendengar ucapan salam." (Al-Waqi'ah, 56: 10 - 26)
Firman Allah: "Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan'." (At-Taubah, 9: 105)
Firman Allah: "Dan katakanlah, 'Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan'." (At-Taubah, 9: 105)
Sebagai golongan yang beriman kepada kitabullah, lihat sahajalah tawaran yang Allah beri dan jamin kepada golongan yang berdakwah. Jika seorang pemain bola sepak sangat boring dan menyampah hanya dengan memanaskan bangku simpanan, mengapa tidak kita sebagai dai'e menjadi begitu? Merasa boring dan menyampah apabila tidak melakukan kerja dakwah dan giat mencari medan-medan dan kader-kader baru untuk kita bina generasi baru yang dahagakan dakwah Islam ini. Ayuh para dai'e sekalian, tinggalkanlah bangku simpanan yang telah begitu lama kita panaskan dan marilah bersama-sama menjadi dai'e yang berstatus bintang yang menyinari alam ini dengan kerja-kerja dakwah para Nabi.
No comments:
Post a Comment