Firman Allah: "Dan kamu menjadi tiga golongan. Iaitu golongan kanan, alangkah mulianya golongan kanan itu. Dan golongan kiri, alangkah sengsaranya golongan kiri itu. Dan orang-orang yang paling dahulu (beriman), merekalah yang paling dahulu (masuk syurga)." (Al-Waqi'ah, 56: 7 - 10)
Ayat yang dibacakan menunjukkan bahawa terdapat tiga golongan di hari kiamat kelak iaitu golongan kanan (ashabul maimanah / yamin), golongan kiri (ashabus masy'amah / syimal) dan golongan paling dahulu (assabiqun assabiqun). Justeru itu, golongan kanan adalah golongan yang melakukan kebaikan dan golongan kiri pula adalah puak yang melakukan kejahatan. Manakala golongan paling dahulu adalah golongan yang lebih awal dan cepat melakukan kebaikan atau beriman. Siapakah golongan paling dahulu ini? Antaranya ialah para sahabat, para tabi'in dan para wali. Persoalannya, adakah kita umat akhir zaman ini mampu menjadi golongan ini? Saya pernah berbincang dengan seorang sahabat. Kesimpulannya agak menarik iaitu, ayat al-Quran ini menjadi motivasi kepada kita agar terus mendekatkan diri kepada Allah supaya mampu atau boleh menjadi golongan paling dahulu ini.
Apabila kita relatekan dengan kondisi sekarang di mana Ramadhan semakin ke penghujungnya dan Syawal hampir menjelma. Seharusnya, kita memanfaatkan segala ruang yang ada agar kita memperolehi ganjaran yang Allah tawarkan pada malam Lailatul Qadar supaya amalan yang kita lakukan dapat menjadikan kita golongan yang paling dahulu.
Dalam keadaan dunia sekarang, jika kita melihat pada kejohanan-kejohanan sukan yang dipertandingkan di mana pada setiap kejohanan, sudah pasti hanya akan mempunyai satu pemenang tidak kiralah pertandingan bola sepak, badminton dsb. Sebagai contoh, World Cup 2010 yang telah selesai di mana Sepanyol dimartabatkan sebagai juara dunia. Berbeza pula dengan kejohanan Lailatul Qadar di mana bukan hanya seorang muslim sahaja yang akan mendapat ganjaran dari Allah tetapi seramai mungkin umat Islam boleh mendapatkannya. Bahkan, bukan hanya umat Islam di Mekah dan Madinah sahaja yang berpeluang meraihnya tetapi juga mampu dimenangi atau diperolehi oleh umat Islam seluruh dunia termasuklah Malaysia. Itulah bezanya, ganjaran dari Allah dengan ganjaran dari manusia. Justeru itu, dalam waktu yang sesingkat ini, marilah sama-sama kita terus beramal untuk mendapat ganjaran dari Allah dan seterusnya menjadi golongan paling dahulu (assabiqun assabiqun).
Wallahua'lam...
*Tazkirah ini disampaikan ketika menjadi imam solat sunat tarawikh di Surau Darul Jannah, Accasia Park pada 4 September 2010 bersamaan malam 26 Ramadhan 1431.
No comments:
Post a Comment