Jika dahulu ketika di universiti, apabila sering memberi tazkirah ataupun kuliah di surau, kadang-kadang timbul persoalan, layakkah aku sedangkan aku di aliran Kejuruteran Mekanikal? Meskipun bersekolah menengah di sebuah sekolah SMKA, rasanya, orang akan melihat pencapaian yang tertinggi pada seseorang.
Mengimbau kembali sirah-sirah Nabawiyah dan para sahabat, di mana Rasulullah sendiri adalah usahawan yang berjaya. Begitu juga para sahabat yang rata-ratanya terlibat dengan perniagaan. Tidak perlu sijil, diploma, ijazah, master atau PhD, bahkan mereka menjadi golongan yang cukup hebat berdakwah dan golongan bertaqwa. Tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin juga ramai yang terdiri dari golongan professional seperti Fathi Yakan yang merupakan Jurutera Elektrik. Bukunya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” menjadi rujukan kepada penggiat-penggiat usrah di seluruh dunia. As-Syahid Dr. Abdul Aziz Rantisi yang merupakan tokoh HAMAS juga adalah seorang doktor perubatan. Justeru itu, tidak perlu kita mempertikaikan kemampuan seseorang itu hanya bersandarkan latar belakang pendidikan sahaja.
Tetapi situasi di Malaysia ini istimewa, bukan semua orang boleh sebarangan bercakap tentang agama. Barangkali tepat pada waktunya, saya dan beberapa sahabat mengambil Sijil Pengajian Syariah di Universiti Malaya. Sebelum ini, saya ada mengambil Sijil Perbandingan Agama di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Di samping memperdalam ilmu, ia boleh menjadi satu kelebihan apabila berdepan dengan masyarakat. Barangkali, apabila saya bercakap tentang Islam, mentadabbur Al-Quran dan berhujah dengan menggunakan hadith tidak menjadi masalah disebabkan saya mempunyai sijil dalam bidang syariah.
Cuma yang lucunya, setinggi mana pun ilmu atau pelajaran seseorang itu dalam bidang agama, tauliah perlu diperolehi dulu sebelum hendak menyampaikan kuliah. Justeru itu, bagaimana seorang bekas Mufti tidak dibenarkan menyampaikan ceramah disebabkan tiada tauliah dan berita ini terpampang di dada akhbar.
‘Cukup Memalukan!!’
‘Cukup Mengaibkan!!’
Kalau misalnya, saya ditahan atau dihalang dari menyampaikan ceramah, mungkin masih boleh diterima disebabkan hanya mempunyai sijil dalam bidang agama. Tetapi, orang yang mempunyai PhD, pernah menjadi Mufti dan mengangotai Majlis Fatwa Negeri masih tidak layak?? Agaknya, apakah tanda aras atau benchmark seseorang boleh memperolehi tauliah untuk menyampaikan kuliah?
Hmm...pedulikan kisah lucu yang berlaku di sekeliling ini. Andai dilayan, makin ramai Mr Bean atau badut sarkas dilahirkan. Bahkan masyarakat sekarang dahagakan ulama-ulama, cendekiawan Islam dan pendakwah yang berani melakukan perubahan untuk kebaikan Islam.
Mufti N.Sembilan yang pertama adalah arwah datuk saya. Mufti yang kedua dan ketiga adalah bapa saudara saya. Mufti yang keempat (sekarang) adalah bekas pengetua sekolah saya. Bangga melihat orang yang berkaitan dengan diri saya menjawat jawatan tersebut tetapi amanahnya cukup berat. Saya teringat ketika hendak memasuki Tingkatan 4, saya cakap dengan ayah saya yang saya hendak mengambil jurusan Agama Tulen dengan hasrat menyambung pelajaran di Timur Tengah. Ternyata ayah saya tidak bersetuju disebabkan terlalu banyak fitnah yang melanda golongan ulama pada ketika itu. Di antaranya, kisah ratu cantik menyaman bekas Mufti Selangor, Arwah Dato’ Ishak Baharom. Ayah saya lebih cenderung meramaikan golongan professional muslim di samping hebat dalam bidang agama. Alhamdulillah, harapannya sudah mula kelihatan dan akan lipat gandakan usaha ini untuk menyuburkan dakwah Islam. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment