“Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling. Kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (‘Abasa, 80: 1 – 6)
Lebih dari seorang ahli tafsir yang menyebutkan bahawa pada suatu hari, Rasulullah pernah berbicara dengan beberapa pembesar kaum Quraisy dan baginda berharap mereka mahu memeluk Islam. Ketika baginda sedang berbicara dan mengajak mereka, tiba-tiba muncul Ibnu Ummi Maktum, di mana dia merupakan salah seorang yang memeluk Islam lebih awal. Maka Ibnu Ummi Maktum bertanya kepada Rasulullah mengenai sesuatu seraya mendesak baginda. Dan Rasulullah sendiri berkeinginan andai saja waktu baginda itu cukup untuk berbicara dengan orang tersebut kerana baginda memang sangat berharap dan berkeinginan untuk memberi petunjuk kepadanya. Dan baginda bermuka masam kepada Ibnu Ummi Maktum seraya berpaling darinya dan menghadap orang lain.
Apabila saya membaca tafsir surah ‘Abasa ini, tersilap diri andai kita tidak menjaga jiwa atau hati masyarakat di sekeliling kita. Sudah pasti turunnya ayat ini, tidak langsung meragukan kita di atas kredibiliti Rasulullah tetapi menjadi pedoman untuk kita supaya berhati-hati dalam berdakwah terutama ketika menuturkan kata-kata. Bagaimana kalau kita lihat masyarakat kita, agak membelakangkan beberapa kelompok iaitu anak-anak yatim, warga emas dan saudara/i yang baru masuk Islam (mu'alaf). Kelompok-kelompok ini jarang sekali diraikan kecuali pada saat hendak menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Pada waktu-waktu lain seolah-olah mereka ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Menurut Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar, beliau kurang bersetuju dengan menempatkan anak-anak yatim yang masih kecil di rumah anak yatim. Alangkah baiknya, sekiranya mereka ini diambil oleh keluarga tertentu dengan melimpahkan kasih sayang sepenuhnya kepada mereka. Seolah-olah diasingkan dari masyarakat dan ini tidak langsung menyebabkan jiwa mereka sangat-sangat sensitif.
Saya tertarik dengan blog YB Zulkifli Noordin (http://zul4kulim.blogspot.com) yang bertajuk “Mu’alaf Hina?” Beliau menegur di manakah peranan Pusat Zakat dalam membantu golongan seperti ini. Kita tidak mahu berulang kembali kisah Allahyarham Mohd Moorthy Abdullah, pendaki gunung Everest Negara, yang terpaksa menyembunyikan pengislamannya dari keluarganya sendiri hingga ke akhir hayatnya. Bagi saya, ini menunjukkan seolah-olah tiada bantuan dari pihak berkuasa seperti Majlis Agama untuk membantu beliau apabila sudak memasuki Islam. Baru-baru ini, saya ditegur oleh seorang sahabat apabila penuturan kata-kata saya yang berbentuk sedikit gurauan kepada seorang saudara/i baru menyebabkan dia begitu marah kepada saya. Apabila mengingatkan kata-kata tersebut, mungkin boleh diterima oleh ramai orang tetapi tidak bagi mereka yang jiwanya terlalu sensitif. Bagi saya, inilah peluang saya untuk muhasabah diri apabila berjumpa dengan golongan seperti ini. Seharusnya, lebih berhati-hati jika berinteraksi dengan golongan seperti anak yatim, warga emas dan saudara/i baru.
Golongan sebegini harus lebih disayangi, dibantu dan diberikan perhatian yang sewajarnya, bukan disisihkan di sesuatu tempat. Ketika golongan seperti ini tiada tempat untuk berpaut, kita lah yang harus menjadi penaung utamanya seperti kaum Ansar menaungi kaum Muhajirin ketika Hijrah Rasulullah.
No comments:
Post a Comment