Wednesday, September 27, 2017

Wanita, Perubahan dan Politik

Dalam situasi negara kita yang masih hangat selepas Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik yang diadakan oleh wanita-wanita yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi di samping peduli dengan situasi negara kini, yang diadakan di Kuala Lumpur pada petang Ahad lalu, negara jiran kita Singapura mengiktiraf keupayaan wanita dalam memimpin. Tahniah Puan Presiden Halimah Yacob! Tahniah Rakyat Singapura.

Sejarah membuktikan wanita diletakkan di suatu tempat yang dimuliakan. Tentunya tidak terkecuali dalam hal politik yang menyentuh berkaitan hal ehwal kepimpinan. Namun sejauh mana negara kita ini akur dengan kenyataan itu?

Kita semua sedia maklum, himpunan Bantah Politik Toksik adalah satu inisiatif yang tentunya walau tidak sedikit, tetapi bergunung (insya'Allah) memberi impak positif terhadap perubahan negara. Tuntutan Himpunan Bantah Politik Toksik jelas sekali menyuarakan tentang;
1) Wanita Malaysia, menyuarakan bantahan kami terhadap politik toksik yang semakin berleluasa kini.
2) Wanita Malaysia, membantah pelakuan yang berunsur keganasan, perbuatan ancaman terhadap individu, sikap berunsur rasis dan seksis.
3) Wanita Malaysia, dengan sebulat suara, menolak calon dari mana-mana parti yang mengamalkan keganasan dan politik toksik.

Siapa yang tidak mahu semua ini menjadi realiti bukan?

Memang benar, sejarah negara ini, belum ada Perdana Menteri di kalangan wanita. Namun cukup sadis dalam banyak-banyak pemimpin penting dalam kerajaan, hanya terdapat 3 orang sahaja wanita dalam kabinet iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato' Sri Hajah Rohani Binti Haji Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Hajah Nancy Shukri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Sri Azalina Binti Othman Said.

Sangat jelas tiada keseimbangan dalam pembentukan kabinet negara. Sudah kurangkah wanita yang boleh diangkat dan diberi pengiktirafan dalam barisan wakil rakyat di Malaysia ke barisan kabinet jemaah Menteri? Sedangkan di peringkat pengajian tinggi, wanitalah yang menerajui. Hal ini perlu difikirkan oleh wanita bahkan kita semua. Ia perlu diteliti kembali dalam pembentukan sebuah negara bagi mengujudkan suasana politik yang baik, stabil dan melaju.

Peranan dan status wanita hari ini sudah jauh berubah berbanding dahulu. Tetapi, adakah ini memadai? Sejarah turut membuktikan apa yang sedang dilalui oleh wanita hari ini adalah satu proses evolusi, rentetan kisah permulaan entiti bernama Tanah Melayu lagi. Wanita bukan baru dalam dunia politik, namun kekangan peluang yang diberikan sebenarnya menggugat dan menyekat proses penstrukturan sosial kaum dalam susun atur masyarakat. Begitujuga penglibatan wanita bukan sesuatu yang baru dalam bidang ekonomi, sosial dan politik.

Mungkin sebahagian orang beranggapan, tiada masalah, tidak kisah. Akan tetapi dalam menuju Malaysia negara Rahmah (kasih sayang) sewajarnya di peringkat tertinggi dalam kabinet perlu ada lebih ramai wanita daripada yang ada kini.

Tentunya politik berkait rapat dengan penglibatan dalam membuat keputusan, berkongsi kuasa, tawar-menawar, berunding di semua peringkat dan atas semua isu yang membawa kesan kepada masyarakat. Hatta, apakah wanita diberikan penghormatan sewajarnya? Perkara 8 Perlembagaan menyatakan dengan jelas tidak ada perbezaan gender. Ada yang mempersoalkan sama ada ini akan membawa kepada penyertaan yang saksama dalam bidang politik.

Adakah ia realiti atau hanya sekadar retorik sahaja?

Ya, sejak 1955 sehingga kini, bilang­an wanita di Parlimen terdapat peningkatannya. Jika pada tahun 1955, hanya seorang yang dipilih ke Parlimen, dan hari ini kita dapat lihat ada 23 orang iaitu dalam lingkungan 10.4%. Hari ini, ada tiga menteri dan lima timbalan menteri wanita. Di Dewan Negara, 28.8% adalah senator wanita.

Di rantau ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan yang terke­belakang dengan peratusan 10.4 ini. Di Filipina contohnya, 27.3% di Parlimen adalah wanita; Singapura (25.3%), Laos (25%); Vietnam (24.3%); Cambodia (20.3%); Indonesia (16.8%). Kedudukan Malaysia hanya mengatasi Thailand (6.1%) dan Myan­mar (5.6%).

Manakala di peringkat seantero, Rwanda mempunyai 63.8% wanita di Parlimen diikuti dengan Andorra (50%); Cuba (48.9%); Sweden (40.8%); dan Afrika Selatan (43%).

Menelusuri sejarah lampau negara, banyak suara-suara gah seorang wanita mampu merubah corak politik negara. Ya, memang bukan mudah, namun tidaklah susah. Utamanya warga negara ini perlu diberikan pendedahan yang benar berkaitan politik. Bukan politik sampah, kotor dan busuk, sebagaimana yang berlaku kini. Setiap hari ada sahaja isu politik yang ‘jengkel’ di dengar.

Di samping itu, tidak perlulah mereka yang lelaki melabel wanita yang mampu kehadapan dan memimpin ini dengan bermacam. Akan tetapi pandang dan lihatlah kembali diri anda sendiri, tanpa seorang wanita, tentunya diri itu tidak akan lahir ke dunia. Muhasabahlah!

Wanita memang mempunyai peranan yang lebih besar dalam keluarga. Akan tetapi wanita juga mampu berperanan penting dalam landskap politik untuk perubahan dunia. Walaupun nilaiannya tidaklah banyak, tetapi keberadaan pemimpin wanita dalam politik tetap memberi kesan pada dunia.

Dalam akhbar Straits Times pada 20 Julai 1947, artikel pertama Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam kolum C.H.E Det adalah tentang ‘Malay Women Make Their Own Freedom’. Pada 1949, Dato’ Onn Jaafar, pre­siden pertama parti UMNO menyatakan suara wanita akan menjadi as powerful as that of the men - the voice of both will determine the shape of the administration of the country.

Sebagaimana wanita telah memainkan peranan yang penting dalam pilihanraya seperti Khadijah Sidek dan Rahimah Abdul Rahman serta isteri dan anak perempuan pemim­pin lainnya. Namun, tidak ada wanita yang turut serta dalam pro­ses rundingan kemerdekaan sehinggalah pemilihan Halimahton Abdul Majid, calon Ulu Selangor dalam pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955 dan seterusnya Tan Sri Aishah Ghani menjadi Senator pertama pada 1962 manakala anggota Kabinet pertama wanita ialah Tun Fatimah Hashim pada tahun 1969.

Sesekali kita bercermin kepada sosok pemimpin wanita di pelbagai negara yang berhasil membawa dunia ke peringkat yang jauh lebih baik daripada biasa, tentunya sungguh menginspirasikan. Mungkin sahaja, kepimpinan negara untuk sesi pilihanraya umum ke-14 akan datang, Malaysia dipimpin oleh wanita sebagaimana negara Republik Singapura? Paling tidak, Timbalan Perdana Menterinya wanita serta jemaah kabinetnya tidaklah sedikit di kalangan wanita sebagaimana barisan kabinet yang ada kini.

Di India, Indira Gandhi perdana menteri wanita pertama negara itu berjaya membawa perdamaian. Walaupun kontrofersional kepemimpinan Indira Gandhi banyak membawa perubahan, salah satunya adalah memerangi kelaparan di India. Kelaparan kronik yang terjadi ini diperangi dengan cara memperkenalkan bibit unggul kepada para petani. Menariknya, di masa pemerintahan beliau, India juga mula mengembangkan teknologi nuklier.

Pada masa kepimpinannya Indira Gandhi berjaya membawa perubahan besar dalam program pertanian sehingga mampu menurunkan angka kemiskinan negaranya. Beliau juga menandatangani Perjanjian Shimla untuk menyelesaikan sengketa Kashmir secara damai. Selain itu ia juga memimpin sebuah gerakan yang disebut Revolusi Hijau untuk mengatasi kekurangan pangan kronis di Punjab.

Wanita pertama yang memimpin sebuah negara Islam ialah Benazir Bhutto, pada masa pasca-kolonia. Beliau yang karismatik terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada tahun 1988 dan pernah dipaksa turun daripada jabatannya sebanyak dua kali. Disamping penolakan-penolakan yang terjadi, Benazhir Bhutto berjaya mencatat sejarah sebagai pemimpin wanita muslim yang sangat berpengaruh!

Apa yang menariknya, dalam kempen pilahanraya, beliau menyuarakan keprihatinan mengenai masalah-masalah sosial kaum wanita, masalah kesihatan dan diskriminasi terhadap wanita. Selain itu, beliau mengumumkan rancangan untuk membentuk pejabat polis wanita, pengadilan, dan bank-bank pembangunan khusus untuk wanita.

Sebenarnya, banyak lagi contoh lain yang boleh kita hamparkan, akan tetapi dengan dua kisah ini, tentunya negara ini wajar memberi ruang dan peluang khusus untuk wanita memimpin dan menyerlah ke hadapan.

Sungguh kita dapat lihat hari ini, telah ada wanita yang rasional, bijak, berkemampuan, berintegriti dan bersedia untuk mengemudi kepim­pinan baik di peringkat tempatan mahupun nasional. Akan tetapi kita perlulah berusaha untuk memberi pendedahan yang mudah tentang politik, agar masyarakat negara ini terbuka mindanya dalam membuat pilihan ketika pilihanraya nanti dalam membantu pro­ses pembangunan negara.

Jelas sekali, meng­abaikan kewibawaan wanita adalah kerugian besar kepada negara. Wanita mestilah dianggap sebagai aset penting dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara sebagaimana himpunan pada Ahad 10 September itu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kebaikan dan keharmonian, mengenepikan perbezaan daripada sudut apa pun, bersatu menolak pemimpin politik toksik yang jahat, politik rasuah, politik perkauman, politik ganas lagi biadap yang merendah dan melecehkan wanita.

Tujuannya adalah menuntut semua wanita agar celik dengan maklumat yang sebenar agar mereka dapat memilih pemimpin yang amanah, berakhlak, berintegiriti, menghormati dan memuliakan wanita di samping cerdik serta bijaksana menguruskan negara ini.

Paling tidak kepimpinan negara Malaysia yang ada kini wajib mengambil berat dan peduli terhadap apa yang diusahakan Wanita Malaysia yang menolak apa jua bentuk, gaya dan cara politik bankrap nilai, yang kini semakin parah dalam negara ini. Sebagaimana toksik adalah fenomena beracun yang sangat berbahaya kepada manusia dan hidupan lain di alam semesta. Maka ia juga boleh merebak ke setiap diri individu, masyarakat seterusnya tanahair yang kita cintai ini sekiranya tidak dibendung.

Malaysia selepas hampir 60 tahun merdeka masih merangkak untuk mencapai kedudukan sebagaimana dunia luar memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita dalam politiknya.

Sekalian wanita, teruslah celikkan mata dan minda anda mengetahui hal politik agar tiada pendustaan di dalamnya. Dan tunaikan kewajipan anda membuat perubahan yang lebih baik untuk merealisasikan Malaysia sebagai Negara Rahmah, Baldotun Thoyyibatun Warabbun Ghofur.

Selamat Hari Malaysia buat kita semua!


*Kredit Penulisan ini kepada Puan Atriza Umar dan telah disiarkan di Akhbar Sinar Harian, 25 September 2017

No comments:

Post a Comment