Pada 3 - 6 September 2016 (setahun yang lepas), Alhamdulillah berkesempatan bersama keluarga bercuti ke Medan, Indonesia. Apa yang menarik di Medan? Di sini saya kongsikan apa yang saya rasai dan nikmati:
1. Di antara aktiviti utama masyarakat di Medan ialah Pelancongan, Pertanian dan Perniagaan.
2. Tempat Pelancongan yang menarik seperti Danau Toba, Berastagi dan Air Terjun Sipisopiso. Danau Toba adalah kawasan tasik semula jadi ciptaan Allah yang sangat besar dan luas manakala Berastagi adalah kawasan tempat sejuk yang masih dara. Jika di Malaysia, keadaannya lebih kurang seperti di Kundasang, Sabah. Di Cameron Highland sudah kurang sejuknya akibat tangan manusia. Air Terjun Sipisopiso hanya dilihat dari kejauhan yang membelah keluar tinggi dari celahan gunung.
3. Dapat juga melihat letusan kecil lahar (asap atau abu) gunung berapi dari jauh. Tidak dibenarkan untuk hampir dan penduduk yang berdekatan juga diarahkan berpindah. Danau Toba juga terbentuk akibat daripada lahar gunung berapi.
4. Terdapat juga kawasan Pertanian yang luas yang diusahakan oleh petani kecil. Di antara tanamannya ialah jagung untuk ternakan seperti lembu. Kebanyakan kawasan pertaniannya hanya di tepi jalan dan kawasan terbuka; dan yang menariknya, menurut cerita, tiada sesiapa yang berani untuk mencuri hasil tanaman tersebut.
5. Di kawasan kampung, keadaannya sama seperti kampung di Malaysia. Kelihatan anak - anak kecil berjalan kaki (berkaki ayam) ke sekolah untuk menimba ilmu. Berkaki ayam kerana bimbang kasutnya rosak dan kotor apabila berjalan. Terharu apabila melihat gelagat anak - anak kecil ini, mungkin kerana umurnya sebaya dengan anak sulung saya. Tiba - tiba saya teringat momen di dalam filem Laskar Pelangi ;)
6. Saya tidak berkesempatan untuk ke Pulau Samosir yang ramai dihuni oleh Kaum Batak.
7. Saya bertanya pada pemandu pelancong yang membawa kami, "Presiden Indonesia, Jokowi sekarang bagus ke Mas?" Jawabnya, "Pak Jokowi bagus, dia selalu beri bantuan bulanan pada orang susah." Beliau kembali bertanya, "PM Malaysia, Pak Najib sekarang famous ya dengan skandal? (ketika itu heboh tentang skandal 1MDB)" Jawab saya terkejut, "Kamu juga tahu?" Balasnya, "Semestinya tahu! Satu Indonesia sudah tahu."
8. Secara keseluruhannya, Medan sangat menarik untuk dilawati dengan banyak kawasan tarikan pelancong dengan banyak restoran makanan yang halal dan cenderamata yang menarik dan murah. Saya masih ingat apabila dihadiahi oleh Arwah Nenek saya baju "Lake Toba" ketika saya masih kecil (sekolah rendah) dan setelah hampir 25 tahun, barulah saya dapat menjejakkan kaki ke sana.
Alhamdulillah
No comments:
Post a Comment