Dalam kita menyambut Tahun Baru Hijrah, sejauh mana kefahaman kita pada maksud Hijrah itu sendiri? Adakah sekadar azam atau perubahan pada diri sahaja? Bagaimana dengan sekeliling, keluarga dan jiran tetangga kita?
Justeru itu, dalam menyimpan cita - cita yang lebih besar untuk perubahan yang lebih baik, kita harus melakukan perubahan yang lebih menyeluruh terhadap keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara bagi mendapat manfaat yang lebih besar. Maka, perlulah kepada Hijrah Kepimpinan!
Apa yang kita faham berkaitan Hijrah Kepimpinan? Secara mudahnya, bererti menukar atau memperbaiki kepimpinan ke arah yang lebih baik disebabkan kebobrokan yang berlaku.
Mengapa Harus Melaksanakan Hijrah Kepimpinan?
1. Gagal melaksanakan Pembangunan Sahsiah Masyarakat seperti ramai yang meringankan solat, pusat hiburan dan maksiat seperti judi masih berleluasa, menyekat unsur - unsur dakwah di dalam masyarakat dan peranan institusi agama yang sangat minima.
2. Kegagalan meningkatkan Ekonomi Negara hingga menyebabkan pelaburan luar merundum, banyak syarikat tempatan dan asing gulung tikar, harga minyak tidak mampu distabilkan walaupun Malaysia adalah pengeksport minyak dan pengangguran meningkat.
3. Penindasan dengan lambakan cukai terutama GST yang menimpa pada semua lapisan masyarakat, seolah - olah ketidakmampuan menjana pendapatan lain selain daripada cukai. Cukai ini menyebabkan harga barang melambung naik dan semestinya meningkatkan kos hidup.
4. Penyalahgunaan kuasa di kalangan Pimpinan Tertinggi Negara yang memberi kesan kepada rakyat seperti skandal 1MDB dan pelaburan mengarut agensi dan aset negara seperti KWSP, Tabung Haji, Felda dan Proton.
5. Unsur rasuah dan korupsi berleluasa di kalangan penjawat awam, penguatkuasa dan orang politik
6. Sistem Pendidikan gagal membentuk nilai yang baik di kalangan para pelajar. Pelajar tidak lagi menghormati ibu bapa dan guru seperti dahulu, dan guru tidak lagi diamanahkan dalam mendidik sahsiah dan akhlak para pelajar.
7. Kemajuan dan pembangunan fizikal dan rohani yang tidak seimbang dan mengabaikan kawasan luar bandar dan Borneo hingga menyebabkan ramai rakyat yang ketinggalan.
8. Sentimen Perkauman yang menebal hingga membawa kepada kesangsian dan kebencian sesama sendiri. Meskipun agenda 1 Malaysia dibawa kononnya memperkukuhkan perpaduan ini, namun tangan yang sama meruntuhkan dan merosakkan.
9. Politik yang tidak maju dan berada di takuk lama dan membawa kepada sentimen perkauman dan kebencian. Tiada juga ruang yang bebas bagi masyarakat terutama anak muda dan mahasiswa untuk kritik atau debat terbuka, yang sebenarnya bertujuan bagi kemajuan ilmu dan percambahan idea.
10. Institusi Agama diperalatkan dan hanya menghukum dan melabel kelompok tertentu, sedangkan dakwah tidak bercambah. Instituti Zakat sangat gah dengan perolehan wang zakat tapi masih ramai orang Islam termasuk muallaf yang hidup sukar dan merempat. Dakwah hanya menunggu, bukan mengejar peluang.
Apa Yang Kita Mahu Dengan Hijrah Kepimpinan?
1. Sistem Urus Tadbir yang baik dan mengurangkan salah guna kuasa di semua peringkat.
2. Sistem Perundangan dan Kehakiman yang adil dan bebas tanpa mengira pangkat dan status.
3. Kemajuan dan Pembangunan di atas kemahuan dan keperluan rakyat dan seimbang tanpa perbezaan negeri dan geografi. Ini adalah hak rakyat yang perlu diutamakan dan secara asanya keperluan pada infrastruktur, pengangkutan awam dan kediaman yang baik.
4. Menjadikan Malaysia sebagai negara yang terbaik dan subur untuk pelaburan dan perniagaan. Memanfaatkan kepakaran dan sumber tenaga dalam negara dan mengurangkan kebergantungan sumber tenaga dari luar.
5. Agihan kekayaan yang setara dan seimbang, sekaligus merapatkan jurang perbezaan miskin kaya. Fokus semestinya lebih pada golongan yang miskin dan ketinggalan, tanpa mengira faktor geografi, bangsa dan agama.
6. Agensi Kerajaan dan GLC dimanfaatkan kekayaan, keuntungan dan kepakaran untuk semua rakyat dan perlu ditadbir oleh orang yang kompeten, dan bukannya ahli politik yang lapuk.
7. Pembangunan sistem pendidikan yang menyeluruh dari segi silibus, kewangan dan kepakaran sama ada di sekolah, kolej kemahiran dan IPT.
8. Cukai sedia ada diminimumkan dan pendapatan negara dijana dengan pelaburan, perniagaan dan sumber dalam negara bagi manfaat bersama.
9. Merapatkan jurang di antara kaum supaya menjadi Bangsa Malaysia.
10. Membawa dan menerajui Politik Nilai yang bermanfaat pada Rakyat dan Negara. Politik yang membuka ruang kepada masyarakat untuk terlibat sama dan mempromosi kritikan dan debat terbuka bagi menggalakkan percambahan idea. Juga, menolak politik kebencian dan perkauman yang menjelekkan.
11. Peranan Institusi Agama dalam memperluaskan dakwah dan mendidik masyarakat dengan nilai - nilai baik dan terpuji. Kutipan zakat perlu diagihkan seluas - luasnya bagi mengangkat martabat orang Islam dan juga bagi mereka yang memerlukan. Nilai eksklusif perlu dibuang jauh supaya ramai yang senang dan dekat dengan Islam.
12. Peka dan fokus pada keperluan semasa dan penyelesaian masalah seperti isu Perumahan, Pengangkutan Awam, Banjir, Kos Sara Hidup dan Kesesakan Jalan Raya yang tidak berkesudahan.
Sebenarnya, adalah sesuatu yang normal untuk melaksanakan Hijrah Kepimpinan, bahkan biasa dilakukan di negara - negara yang menjunjung amalan demokrasi. Adakah kita tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik? Atau kita masih mahu kekal dengan keadaan sedia ada dengan tiada jaminan untuk berubah lebih baik?
Firman Allah: "Demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali - kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada sesuatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui." (Al-Anfal, 8: 53)
Firman Allah: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan, apabila Allah menghendaki keburukan terdapa sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali - kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia." (Ar-Ra'd, 13: 11)
Kita membuka ruang untuk penambahbaikan seluas - luasnya untuk pembangunan dan kemajuan negara kita. Maka, Hijrah Kepimpinan ini sangat perlu tatkala negara begitu tenat dengan pelbagai masalah. Jika ada PILIHAN yang lebih baik, mengapa harus kita tidak memilihnya? Semestinya, Hijrah Kepimpinan yang dicanang - canang ini adalah bertujuan untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment