Thursday, September 7, 2017

Sukan SEA, Hari Kemerdekaan dan Rohingya

Prestasi yang gilang - gemilang ketika Sukan SEA 2017 memberikan impak yang besar bagi Malaysia. Mana tidaknya, kejayaan sebagai penganjuran tuan rumah dan kejayaan merangkul Juara Keseluruhan dengan 145 Pingat Emas mengatasi rakan - rakan Asia Tenggara adalah capaian terbaik dalam sejarah Sukan SEA, bahkan tidak pernah dicapai oleh negara lain.

Justeru itu, menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60 selang sehari menjadi Juara Sukan SEA semestinya menggambarkan suatu yang hebat, seolah - olah kejayaan berganda bagi Malaysia. Kita menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan di samping kejayaan atlet negara dan kejayaan penganjuran tuan rumah Sukan SEA.

Namun, agak sedikit mendukacitakan apabila kegembiraan kita diraikan ketika jiran kita di Myanmar terus menerus melakukan pembantaian ke atas kaum minoriti, Rohingya di Wilayah Arakan, Myanmar.

Di saat penganjuran Sukan SEA membawa komitmen semangat kesukanan dan persahabatan di kalangan negara Asia Tenggara, ianya seolah - olah tidak berlaku apabila telah hilang perasaan manusiawi. Masih ingat lagi ketika Malaysia termasuk negara yang memboikot Sukan Olimpik di Moscow pada 1980 akibat membantah serangan terhadap Afghanistan? Juga berlaku pemboikotan Sukan Olimpik di Montreal pada tahun 1976 akibat membantah dasar Aparteid di Afrika Selatan. Di mana peranan Malaysia sebagai rakan diplomatik di Asia Tenggara dan tuan rumah Sukan SEA? Adakah fokus kita hanya pada populariti, keuntungan dan untuk menjadi juara kesuluruhan tanpa sekelumit belas bagi membantah atau mengecam tindakan Myanmar tersebut?

Pada masa yang sama, kita turut meraikan Hari Kemerdekaan yang secara zahirnya dilihat secara gilang gemilang. Adakah kita betul - betul merasai nikmat Merdeka atau mempunyai jiwa yang merdeka di saat - saat saudara seagama kita terus dibantai tanpa sebarang belas? Malah, ada di kalangan rakyat Malaysia yang berpendapat bahawa "isu Rohingya ini membuatkan Malaysia tersepit", "memang sepatutnya Rohingya diperlakukan begitu" dan "tindakan membantu Rohingya ibarat melepaskan anjing tersepit" dengan merujuk sikap golongan Rohingya ini terutama yang berada di Malaysia dengan tuduhan dan kecaman secara fizikal seperti berkulit hitam, pemalas, pengotor dan sebagainya.

Andai benar tuduhan tersebut sekalipun, adakah ianya wajar ketika golongan Rohingya berterusan dibantai, dibunuh, disembelih, wanita dirogol, rumah dibakar dan sebagainya? Jika hak kehidupan dinafikan di bumi sendiri, maka, kehidupan sebagai pelarian juga dinafikan segala haknya termasuklah pendidikan, apa lah kemampuan mereka hidup dengan tamadun yang tinggi?

Saya secara peribadi memang kurang bersetuju dengan lambakan warga asing di negara ini kerana memberikan impak pada ekonomi dan peluang pekerjaan untuk warga tempatan. Namun, dengan kehadiran mereka ini sama ada dari Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Rohingya dan lain - lain, tidaklah sepatutnya menjadikan mereka sebagai golongan kelas bawahan. Panggilan seperti "Indon", "Bangla" secara tidak sedar adalah penghinaan kepada mereka, apatah lagi yang seagama dengan kita. Sedangkan status seagama adalah sama kecuali iman kepada Allah.

Memetik kata - kata Hasan al-Banna berkaitan Nasionalisme dan Pencabulan, "Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri hingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri seperti yang dilakukan oleh Jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa lain, maka, maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan. Tindakan ini sebenarnya membawa maksud memanipulasi semua bangsa manusia demi mencapai suatu yang tidak pasti, suatu yang bukan hakiki dan tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa."

Setidak - tidaknya, di mana suara diplomatik negara Islam yang lain selain Turki? Dan, sebagai jiran, rasanya tidak salah jika Malaysia mewujudkan Pelan Pengurusan Pelarian untuk sementara waktu bagi membantu mangsa yang ditindas tersebut. Kita berbicara mengenai nyawa manusia yang jauh lebih berharga dari wang ringgit dan kemahsyuran. Apa erti semangat Nasionalisme dan Kemerdekaan yang kita laung - laungkan andai kefahaman ini tidak langsung wujud dalam diri kita.

Mendepani situasi penghapusan etnik Rohingya ini, sama keadaannya dengan apa yang berlaku di Palestin dan Syria. Kita tidak perlu menjadi seorang Muslim untuk bersimpati dengan mereka, cukup sekadar menjadi seorang Manusia. 

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment