Thursday, February 5, 2015

Gagasan Politik Baru

Sudah lebih 57 tahun Malaysia Merdeka. Kepimpinan negara silih berganti, namun adakah negara kita makin maju atau mundur ke belakang? Kita sentiasa melihat gagasan politik yang dibawa oleh parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang, sama ada mampu menjadi anjakan dalam halatuju negara kita.
 
Kita harus mengerti hakikat politik yang hendak diperjuangkan dan perlulah berada di landasan yang tepat. Melaungkan slogan Negara Islam atau pelaksanaan Hukum Hudud tidak semudah yang disangka. Banyak ranjau-ranjau yang perlu diatasi dan disantuni. Bagaimana kita hendak mengharapkan penubuhan sebuah negara Islam dengan keadaan orang Islam sendiri jauh daripada Islam dan orang bukan Islam langsung tidak didekatkan dengan Islam? Dan dengan mudah kita mengharapkan perubahan itu berlaku hanya ketika pilihan raya. Berpeganglah pada realiti di mana ianya tidak akan berjaya. Allah Taala sendiri menurunkan perintah pengharaman arak dengan berperingkat dan Rasulullah sendiri membawa perlaksanaan hukuman Hudud dengan berperingkat. Penerimaan masyarakat terutama orang Islam dan waqi' pada ketika itu amat diambil kira sebelum sesuatu hukuman dilaksanakan.
 
Ijtihad Politik bagi ahli politik dan parti politik tidak akan sentiasa kekal. Ianya bergantung pada keadaan masyarakat dan waqi' pada masa itu. Ijtihad Politik pada waktu sekarang berbeza dengan pada 10 tahun akan datang. Ijtihad Politik di Terengganu juga berbeza dengan Selangor dan semestinya berbeza dengan Sabah. Juga tidak boleh disamakan waqi' di Malaysia dengan Mesir, mahupun Turki. Kerana ianya pasti berbeza. Maka, ianya bergantung pada kebijaksanaan dalam menghadapinya.
 
Gagasan Politik di Malaysia memerlukan nafas baru, sama ada di peringkat parti politik atau individu. Kita tidak mahu terus ditadbir dengan idea-idea lapok dan ketinggalan zaman. Pertembungan seteru-seteru politik lama tidak wajar diteruskan kerana tidak lagi dilihat memberi manfaat. Rakyat sudah muak dengan politik fitnah - menfitnah dan caci maki yang dibawa sebelum ini.
 
Berpolitik dari erti kata membawa dakwah kepada masyarakat dan terus membina keharmonian kaum. Bukan hanya mementingkan aspek pembangunan material semata-mata tetapi juga pembangunan sahsiah demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Binalah sesuatu kebaikan untuk diwarisi oleh generasi akan datang supaya kebaikan itu dapat memberi manfaat keseluruhannya.
 
Seperti yang dipelajari dalam sirah, Islam adalah rahmat kepada semua. Justeru itu, gagasan yang hendak dibawa perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti keadilan kepada semua makhluk Allah, ketelusan undang-undang, kebajikan rakyat, keharmonian kaum dan kegiatan dakwah dan tarbiyah yang berterusan supaya manusia ini mengenal siapa Allah. Banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan supaya Islam itu bertebaran di muka bumi ini dalam memastikan gagasan Islam terus gah dan memberikan rahmah kepada seluruh alam.

No comments:

Post a Comment