Saturday, February 14, 2015

Ke Arah Masyarakat Berilmu

Dalam usrah baru-baru ini, wujud satu persoalan di kalangan ahli usrah iaitu apakah kesan isu ISIS ini kepada Islam keseluruhannya? Adakah ianya memberi kesan buruk dan merosakkan Islam atau sebaliknya?

Apabila berlakunya kisah WTC pada 2001, wujudnya Islamphobia dan Islam dilemparkan dengan tuduhan keganasan dan militan. Tetapi, hikmahnya apabila masyarakat non-Muslim mula mengkaji Islam. Meskipun akibat kisah WTC ini menyebabkan terkorbannya negara Islam seperti Afghanistan dan Iraq di tangan musuh-musuh Islam, tetapi di negara Barat pula berlaku sebaliknya. Hasil kajian mereka terhadap Islam, berbondong-bondong masyarakat Barat mula mendekati dan memeluk agama Islam.

Saya melihat perkara yang sama akan berlaku dengan isu ISIS ini terutama di negara Barat. Isu ini akan terus digunakan untuk menfitnah dan mengaitkan Islam dengan keganasan. Bagi masyarakat yang pintar dan berilmu, pasti mereka akan mengkaji sedalam-dalamnya tentang Islam dan membuka ruang kepada dakwah itu sendiri.

Ini yang membezakan di antara penerimaan sesuatu isu oleh masyarakat negara kita dan negara Barat. Apabila sesebuah masyarakat kurang membaca dan kurang membuat kajian, masyarakat itu akan terus ketinggalan dan terus berada dalam arus kebodohan. Lihat saja masyarakat kita, banyak ajaran sesat yang berkembang biak dan yang paling melucukan, ada saja pengikut yang mendokongnya. Sedangkan mengikut logik akal, tiada sebarang istimewa atau kehebatan yang ada pada ajaran sesat tersebut. Maka, tidak hairan juga apabila masih ramai di kalangan masyarakat yang masih mempercayai kisah seorang warga emas meliwat seorang pemuda tanpa sebarang bukti yang kukuh. Ia sepatutnya tidak berlaku jika masyarakat kita adalah generasi membaca, berfikir dan sentiasa membuat kajian.

Berbalik pada isu ISIS ini, saya masih yakin bahawa masih ramai masyarakat di negara kita yang tidak tahu atau tidak ambil kisah berkaitan isu ini. Jadi, tiada ruang yang digunakan untuk dakwah dan sebaliknya mempercayai bulat-bulat apa yang disampaikan berkaitan Islamphobia. Jika ini berlarutan, semestinya tiada manfaat pada dakwah dan Islam itu akan terus difitnah dan dicerca oleh musuh Islam.

Berdasarkan kajiselidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2005, secara purata, rakyat Malaysia hanya membaca 2 buah buku dalam setahun. Manakala rakyat Jepun dan Perancis membaca 10 buah buku dalam setahun dan rakyat Amerika dan Kanada lebih ke hadapan dengan membaca 17 buah buku dalam setahun.

Maka, itulah yang membezakan penerimaan di antara masyarakat yang berilmu dan tidak berilmu. Jika masyarakat masih tidak berubah dari segi keilmuan dengan hanya menerima apa yang diajarkan saja atau hanya berharap pada media arus perdana saja, masyarakat itu tidak akan bergerak jauh ke hadapan. Masyarakat akan terus dikongkong kerana kurang ilmunya. Justeru itu, tidak hairan apabila berpuluh tahun negara kita merdeka, pembangunan dan perubahan masyarakat tidak meningkat pada tahap yang sepatutnya. Kita harus sedar bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah adalah berkaitan dengan keilmuan sebagai permulaan dalam memantapkan dakwah dan tarbiyah.

Firman Allah: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq, 96: 1 - 5)

Kesimpulannya, dalam ruang lingkup dakwah, kita bukan saja hendak mengajak masyarakat untuk beramal tetapi juga memartabatkan keilmuan masyarakat. Tamadun hanya dapat dibina dengan keilmuan yang tinggi dan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Keilmuan ini jugalah yang akan memberi kesan yang besar kepada dakwah dan seterusnya dapat disebarkan kepada seluruh manusia. 

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment