Khalifah Umar bin Abd al-Aziz, apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)
Begitulah kerisauan yang melanda Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila dilantik menjadi Khalifah. Amanah yang dipikul bukanlah sebarangan, iaitu menjadi khalifah atau pemimpin bagi seluruh umat Islam pada ketika itu.
Namun begitu, sekarang ini, amat sukar menjumpai golongan yang amat menjaga amanah. Paling malang, apabila pengkhianatan berleluasa dan tiada perasaan malu. Pangkat dan jawatan dijadikan perisai atau kebal dalam meratah amanah yang diberikan. Di Malaysia contohnya, rakyat hanya mampu melihat gelagat orang atasan yang rakus membaham duit rakyat tanpa segan silu.
Masih ingat tindakan Keluarga Perompak yang meragut RM 250 juta untuk projek National Feedlot Corporation (NFC)? Hingga sekarang masih bebas dan bergaya dengan hasil rompakannya tanpa sebarang hukuman. Pengkhianatan Ratusan Juta Ringgit!!
Terbaru, isu 1MDB yang menelan duit rakyat berbillion ringgit yang masih tiada pulangan hingga kini. Penubuhan yang pada asalnya untuk pembangunan dan kemajuan rakyat, lesap entah ke mana. Pengkhianatan Billion Ringgit!!
Belum lagi, kisah orang atasan dan kenamaan yang hidup mewah dan berkepentingan dalam syarikat korporat termasuk ahli keluarga. Rakyat seolah-olah dirasuk atau di 'Ghazwul Fikr' kan, seolah-olah menteri-menteri ini berhak hidup mewah dan sebagainya. Mustahil, bagi Pak Menteri yang gajinya puluhan ribu, untuk mempunyai kemewahan dan kepentingan yang bernilai jutaan ringgit. Sebaliknya, jawatan itu digunakan sebagai batu loncatan untuk semakin kaya dan untuk menyuburkan lagi budaya kronisme dan nepotisme.
Kekuasaan seseorang itu tidak akan kekal lama. Hatta, Firaun, si taghut paling hebat juga musnah akhirnya. Jika kekuasaan itu menyebabkan kau mengkhianati amanah yang diberikan, rakyat sama sekali tidak akan halalkan dunia dan akhirat. Maka, tunggulah saat kehancuran kau sebagai balasan di dunia ini kerana Allah Maha Adil.
No comments:
Post a Comment