Sudah tiba masanya orang Islam di Malaysia harus menilai sama ada tindakan dalam beragama ini terlalu berhati-hati atau bersifat melampau apabila berinteraksi dengan Non Muslim. Muktahir, kisah di Taman Medan, di mana segelintir penduduk berdemonstrasi menggesa salib di sebuah gereja diturunkan atas alasan menghormati kawasan majoriti Islam.
Isu ini bukanlah baru. Bahkan, sebelum ini pun banyak kes seperti ini berlaku, di mana tindak tanduk segelintir orang Melayu yang menyebabkan Islam ini dilihat sebagai sebuah agama yang kolot dan tidak terbuka.
"Orang bukan Islam tak boleh masuk Masjid."
"Tidak boleh mendoakan kebaikan / hidayah untuk orang bukan Islam."
"Kalimah Allah adalah hak mutlak orang Islam."
Kita membawa isu yang tidak sepatutnya dan menggambarkan inilah Islam! Pendekatan yang dibawa tidak mesra kepada masyarakat bahkan menyempitkan pandangan umum kepada Islam. Kita bukannya tunduk atau mengalah kepada orang bukan Islam. Tetapi, apabila berada di dalam sebuah masyarakat majmuk, nak tak nak, kita mesti belajar Fiqh Interaksi dengan Non Muslim seperti dalam artikel sebelum ini - http://imam-abuhanifah.blogspot.com/2013/11/fekah-interaksi-dengan-non-muslim.html. Sebab matlamat utama kita adalah Dakwah. Setidak-tidaknya ialah dengan menyantuni mereka dengan akhlak Islam.
Bagaimana akhlak Nabi dengan kaum musyrikin pada zaman Baginda?
Bagaimana pula santunan para Khalifah Ar-Rasyidin dan Khalifah selepas itu terhadap masyarakat Non Muslim ketika itu?
Bagaimana pula akhlak Tentera Islam apabila menawan dan mengalahkan Tentera Kafir? Bukankah ada akhlak yang dianjurkan oleh Islam?
Ketepikanlah politik murahan di Malaysia ini kerana ianya tidak membawa sebarang erti. Politik berasaskan perkauman dan permusuhan hanya untuk golongan yang tidak bertamadun. Ayuh, kita bina masyarakat baru dengan ajaran yang Islam anjurkan. Hidup beragama adalah bersandarkan pada Al-Quran dan Sunnah, dan bukannya pada akal dan emosi semata-mata. Sangat cantik apabila membawa slogan "Islam Untuk Semua", tetapi lebih cantik apabila dipraktikkan supaya Islam ini sampai ke seluruh masyarakat dengan menggerakkan dakwah.
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment