Permainan layang-layang ataupun wau mempunyai keunikan yang tersendiri. Dalam permainan ini, ketinggian sesebuah layang-layang ataupun tempoh masa layang-layang itu terbang adalah penunjuk aras gahnya sesebuah layang-layang itu dan semakin menariknya permainan tersebut. Permainan ini berfungsi jika mempunyai dua unsur iaitu kehadiran angin dan tali layang-layang itu sendiri. Fungsi angin adalah untuk menerbangkan layang-layang itu setinggi yang mungkin. Jika tiada angin, mana mungkin layang-layang dapat terbang gah di pangkuan langit. Tali layang-layang pula adalah sebagai 'guidance' atau pengawal layang-layang itu. Pemain layang-layang akan menggunakan tali tersebut untuk mengawal kedudukan layang-layang. Sekiranya tanpa tali, layang-layang akan hilang kawalan atau pedoman dan akan terbang merata-rata mengikut angin tanpa kawalan.
Begitulah diri kita sebagai seorang Muslim. Iman seseorang itu adalah umpama tali layang-layang. Dengan iman, kita akan bertindak atau melakukan sesuatu berdasarkan iman sebagai pedoman, bukan hanya mengikut akal semata-mata ataupun nafsu.
Firman Allah: "Dan bagaimana kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya (Muhammad) pun berada di tengah-tengah kamu? Barang siapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sungguh, dia diberi petunjuk kepada jalan yang lurus." (Ali-Imran, 3: 101)
Maka, beruntunglah kita menjadi seorang Muslim dan beruntunglah kerana kita masih mempunyai nikmat Iman dan Islam yang menjadi pedoman sepanjang hayat kita. Tanpa iman sebagai pedoman, hancur binasalah seseorang itu.
No comments:
Post a Comment