Saturday, June 2, 2012

Transformasi Artis


Melihat situasi terkini, perubahan para artis ataupun transformasi mereka ke arah kebaikan seharusnya memberikan harapan kepada kita bahawa akan ramai lagi golongan artis yang mahu berubah. Nama-nama seperti Sham Kamikaze, Bob Lokman, Wardina Safiyyah, Aishah, Catriona Ross, Abby Abadi, Irma Hasimie dan ramai lagi, sentiasa meniti di bibir para peminat seni sekarang ini berikutan perubahan yang berlaku dalam diri mereka.

Subhanallah. Memang benar, hidayah itu milik Allah. Allah jualah yang merancang segala-galanya. Tapi, saya yakin, ini juga hasil usaha mereka kepada ke arah kebaikan. Sudah pasti, apa yang berlaku, mungkin ada yang menyambutnya dengan reaksi yang sangat positif dan mungkin ada juga yang bereaksi negatif. Itulah harga yang perlu dibayar. Perubahan ke arah kebaikan semestinya bukan mudah, tetapi penuh dengan liku. Jika masyarakat dan orang sekelilingnya tidak menyokong mereka, dikhuatiri mereka akan kembali ke lembah asal. Nauzubillah.

Transformasi apa yang sebaik-baiknya? Jika dahulu, mereka ini golongan yang tidak menjaga aurat dan pergaulan lelaki dan perempuan, tapi sekarang ini, mereka berubah dengan menjaga aurat dan juga menjaga pergaulan. Jika dahulu, mereka ini berlakon, menyanyi dan melawak ke arah yang tidak sepatutnya, tapi sekarang ini, bagi saya, mereka perlu ke hadapan membantu dakwah Islam dalam bidang seni. Apakah seni dalam Islam yang sepatutnya dan bagaimana seni itu dijadikan sebagai medium dakwah kepada masyarakat. Jika dahulu, mereka ini hebat dalam menghasilkan karya atau lagu ke arah kecintaan kepada manusia, ayuh, inilah masanya untuk penghasilan karya ke arah mencintai Allah.

Itulah dakwah. Jika dahulu, seorang rockers di Barat bernama Cat Steven, yang menerima hidayah, dan memilih nama Yusuf Islam, berperanan dalam dakwah kepada masyarakat dan dakwah melalui seni. Dalam karya-karyanya, beliau menggunakan kanak-kanak sebagai medium dakwah untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Aduhai… Kalau dimanfaatkan golongan artis ini untuk dakwah, rasanya, makin rancaklah ataupun makin uniklah dakwah ini. Bagi saya, golongan dalam bidang sastera dan seni ini cukup-cukup kreatif jika dimanfaatkan sama ada dalam bidang dakwah, politik dan masyarakat.

Rasulullah bersabda: “Manusia umpama logam. Baiknya mereka dalam jahiliyah, akan baik juga mereka ketika Islam, sekiranya mereka memahami.” (Bukhori)

Hadith Rasulullah: “Siapa yang diinginkan oleh Allah akan kebaikan, akan difahami / fakih dalam agama.” (Bukhori dan Muslim)

Dakwah ini sebenarnya untuk semua. Semua manusia berkewajipan dalam melakukan dakwah. Sama ada, nak atau tak nak sahaja. Jika dahulu, mindset masyarakat adalah hanya ustaz dan ulama’ saja yang buat dakwah. Beberapa tahun kebelakangan ini, bukan hanya mereka sahaja, golongan professional yang lain juga seperti arkitek, pensyarah, jurutera, doktor, guru, ahli perniagaan, ahli politik dan lain-lain turut berperanan dalam dakwah ini. Kini, kita menantikan golongan artis atau ahli sukan turut bersama-sama dalam dakwah ini. Mereka inilah antara idola terbesar dalam masyarakat. Permulaannya sudah nampak dan kini menantikan penerusannya dalam dakwah. Pedulikanlah kerjaya dan latar belakang masing-masing, yang paling penting sekarang, kita semua adalah Hamba Allah. Itulah status kita yang kekal selama-lamanya. Wallahua’lam.