Thursday, October 22, 2015

Tsaqafah Ilmiah vs Fikrah Harakiyah

Selalu anak-anak muda yang mula terjun dalam dunia tsaqafah ilmiah, mereka mula ragu-ragu dengan jalan dakwah dan tarbiyah ini kerana dilihat kurang dari aspek penekanan Ilmu dan diskusi Ilmiah. Tambah lagi apabila melihat ahli-ahli usrah dan jemaah ini asyik beraktivis dan buat program saja, kepekaan kepada membaca buku tidak ada, minat kepada perbincangan ilmiah pula kurang, seminar-seminar ilmiah jarang pergi, dan penekanan kepada tsaqafah ilmiah dalam sistem jemaah pun dilihat tidak menonjol.
"Asyik nak muhasabah, bina iman, sentuhan tarbawi saja, dan sibuk beraktivis."
"Tanpa ilmu yang kukuh dan pembacaan yang luas, gerak kerja kita tak ke mana sebenarnya."
Ada yang beranggapaan dan mula menumbuhkan keyakinan yang seperti ini. Hakikatnya sudah ramai ahli tsaqafah ilmiah yang berpendirian begitu. Malah ahli usrah atau jemaah yang mula berjinak dengan dunia ilmiah ini pun kadang-kadang bisikan-bisikan seperti ini selalu hadir dalam jiwa dan akal mereka. Maka dia sedang dalam keadaan keliru. 'Modal' tarbiyah dan dakwah mudah tenggelam dan dipandang sebagai hanya satu bentuk serpihan dan renjisan saja pada kaca mata orang-orang ilmuwan, ahli-ahli diskusi ilmiah dan geng-geng buku.

Yang 'maqam' lebih tinggi dia akan kata, "Ilmu nombor satu dalam apa jua pun, mesti perkukuhkan dan perkasakan, kemudian baru yang lain. Dakwah dan tarbiyah, kalau tanpa penekanan ilmu yang mendalam, hambar."

Kalau mahu berdebat dan berhujah mana yang lebih utama, confirm orang-orang tsaqafah akan menang insya Allah. Kerana banyak nas dan dalil yang cukup jelas dan banyak dalam Al-Quran dan Hadis yang terpapar direct bahawa apa-apa jua pun mestilah ilmu dulu.

Tarbiyah, haraki, aktivis, mana dalil yang disebut secara khas dan jelas?
Habis, terdiam seribu bahasa kerana tidak ada pun dalil yang sebut perkataan tarbiyah, harakiyah, dan lain-lain secara jelas seperti ilmu.

Justeru, bagaimana?


HAKIKAT FIKRAH HARAKIYAH

Pertama kita perlulah jelas, Islam sekarang berada dalam keadaan yang bagaimana? Penekanan kepada ilmu seperti ulamak salaf, para tabi'in, tabi' tabi'in, para alim ulama di zaman abbasiyah, uthmaniyah, memang kita tak nafikan memang penting dan hebatnya penekanan mereka dalam mendalami ilmu, dan itu sesuatu yang baik dan betul. Penekanan ilmu ini adalah asas fikrah seorang Muslim. Ia adalah tuntutan kepada kita sampai mati. Tapi kita perlu sedar bahawa zaman itu (zaman salaf, abbasiyah dan usmaniyah) Islam adalah sebuah daulah dan khilafah yang sedang berkuasa. Pemerintahan dan sistem-sistem Islam berjalan secara syumul dan kamil, walaupun ada beberapa kelemahan. Maka para ulamak dan para penuntut ilmu ketika itu hanya beraksi sebagai penuntut dan sibuk mentokohkan diri dengan ilmu dan buat kerja sebarkan ilmu.

Apa yang dimaksudkan dengan fikrah harakiyah?

Fikrah harakiyah ringkasnya ialah kita sedar bahawa waqi' hari ini Islam berada di bawah (tidak berkuasa tapi dihina) dan sistem jahiliyah berada di atas, malah pengaruh, fikrah, nilai, dan seluruh unsur jahiliyah telah menular dalam negara dan masyarakat Islam hingga berakar umbi dalam hati-hati mereka.

Fikrah harakiyah bermaksud satu pemikiran atau satu kefahaman bahawa manhaj untuk Islam bangkit semula ialah dengan pembinaan peribadi Islam sebenar dan persiapan saff rijal yang akan beramal atau buat kerja. Ikut proses tarbiyah kemudian bergerak buat kerja, ikut proses kemudian bergerak buat kerja, di mana ia berlaku di bawah naungan sistem Islam di dalam pentadbiran jemaah Islam. Inilah maksud harakiyah.

Kata Sir Nasir Salleh, kalau kita faham ilmu Islam tapi tak duduk dalam jemaah tandzim haraki ini maka kita tak akan faham atau nampak Islam yang sebenarnya. Kerana kita belajar ilmu Islam dalam keadaan kita duduk bawah sistem jahiliyah dan suasana kita adalah suasana Islam dan jahiliyah itu bercampur aduk. Maka kita tak boleh bayang wajah Islam sebenar itu bagaimana. Kita sentiasa dalam keadaan keliru.

Walaupun kita tahu kesyumulan Islam, tapi kita tak boleh nampak hakikat kesyumulan itu, tak boleh nak menjiwai yang sebenarnya dan kita akan nampak Islam dengan konsep yang sempit. Maka kita tidak akan nampak hakikat pengorbanan dalam Islam bagaimana, hakikat kepatuhan, hakikat ta'awun, hakikat ukhuwwah, hakikat keimanan, hakikat suasana Islam dan banyak lagi aspek lain yang luas dan pelbagai. Sebab itu bila "jama'atul muslimin" (yang disebut dalam hadis yang ditafsirkan sebagai khilafah) tidak ada, maka IHAB ijtihad bahawa perlu duduk bawah riba jemaah Islam (salah satu dari jemaah Islam) yang iltizam dengan prinsip syara' dan sistem Islam secara menyeluruh, yang berusaha untuk membina semula bangunan Islam yang telah hilang.

"Perlu duduk dalam jamaah", "manhaj tarbiyah", "manhaj dakwah", "uslub-uslub", "maratib amal", ini semua ijtihad IHAB berdasarkan kajian beliau dari Al-Quran, Hadis, Sirah Nabawiyah dan apa yang berlaku kepada Islam dalam waq'i hari ini (khilafah dan daulah tidak ada).

Sebab itu perkataan tarbiyah, haraki dan lain-lain tidak disebut di dalam nas secara jelas atau qat'i kerana ia adalah ijtihad. Tapi sifat atau intitpati "proses tarbiyah" dan "bergerak secara haraki" ini hakikatnya ada dalam intipati Al-Quran dan Hadis itu sendiri malah ia berlaku dalam perjalanan sirah Rasulallah s.a.w. Kata IHAB, manhaj ini (dakwah dan tarbiyah) adalah manhaj Rasul, kerana bermula dari Rasulallah terima wahyu, dengan dakwah dan tarbiyah lah ia terus bergerak hingga tertegaknya daulah dan khilafah di Madinah, lantas pada hajjatul wida' turunlah ayat 3 Sudah Al-Maedah, yang memberitahu bahawa Islam telah lengkap. Setelah itu Rasulalah pun wafat. Nak ceritanya bahawa Allah mengambil Rasulallah s.a.w (wafat) dan mengumumkan kelengkapan Islam, setelah Islam itu beraksi sebagai Khilafah, daulah dan seluruh syariatnya yang syumul. 

Maka kita sedar hari ini khilafah tidak ada, daulah tidak ada dan masyarakat Islam dengan ciri-ciri Islam sebenar juga tidak ada, maka bererti waqi' kita sama dengan waqi' di mana Rasulallah mulakan da'wah. Bagaimana Rasulullah mula dan apa yang baginda buat, maka itulah intipati manhaj haraki ini. Jadi ia bukan suatu bid'ah baru, malah ia adalah sunnah kabirah dan core business atau amal kubra kita saat ini dan seluruh umat Islam. Bukan kita menolak ilmu, atau tidak tekan pada aspek ilmu. Ilmu perlu didahulukan dan pendalaman ilmu perlu diusahakan, tapi perlu sedar, jika sekadar berhenti pada titik pengajian dan penyebaran ilmu semata-mata, maka qadhiyah al-akbar Islam hari ini (khilafah, daulah dan masyarakat Islam tidak ada) tidak akan terselesai.

Kerana ia tidak cukup dengan kekuatan ilmu yang beku di dalam akal dan terapung di majlis ilmu saja, tanpa ada satu proses penerusan selepas itu berupa tarbiyah (mendidik), takwin (membentuk), tau'iyah (memberi kesedaran) dan tadrib (melatih) dengan manhajnya, maratibnya, uslubnya,  di mana semua ini merangkumi aspek pembangunan ruh, akal dan jasad dalam rangka mempersiapkan saff-saff rijal yang multazim sepenuhnya dengan syara' dan bersiap sedia untuk melaksanakan kerja-kerja amal Islami (dakwah dan tarbiyah). 

Inilah yang dilaksanakan oleh baginda s.a.w. Para sahabat ramai yang bukan ahli ilmu, ada yang tidak sempat hafaz al-Quran, ramai yang tidak hafaz banyak hadis, tapi bila orang lihat mereka orang nampak "al-Quran yang berjalan" dan Islam yang bergerak secara syumul. Mereka adalah multazimin, mujahidin dan mereka juga sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk tingkatkan ilmu sekalipun ramai yang meninggal dalam keadaan tidak memiliki Ilmu yang menggunung, tapi masyarakat, daulah dan khilafah Islam tertegak dengan kerja-kerja mereka.

Tapi tidak dinafikan juga, dalam konteks Islam ghurbah kali kedua dengan versi baru hari ini, di mana Islam pernah lengkap sebelum ini (di zaman nabi), dengan ilmu Islam yang sudah berkembang luas, tasawwur Islam yang hilang, kefahaman Islam yang bercampur aduk, bid'ah yang berleluasa, jahiliyah yang mengetuai aspek kebendaan, kewangan, ilmu dunia dan ideologi-ideologi barat dan timur yang berkembang, maka adalah satu kea'iban dan kelemahan sebenarnya bagi para aktivis atau kader harakah, sekiranya mereka tidak ada kesedaran dan kesungguhan untuk memperkasakan tsaqafah ilmiah mereka, sama ada aspek agama atau dunia.


KESIMPULAN

Kita tak perlu takut, rasa rendah diri, terpengaruh dengan pandangan-pandangan, prinsip-prinsip, pendirian dan kritikan luar dari kalangan ahli tsaqafah yang tidak lalui manhaj atau metod ini. Mereka melihat dan menilai kita dari tingkap luar, bukan dari dalam rumah. Hakikatnya mereka tidak tahu intinya dan tidak pasti apa yang berlaku dalam diri kita dan kerja-kerja kita.

Mereka membaca, mengkaji, berdiskusi, berbincang dan berpendapat dalam keadaan sistem jahiliyah memayungi mereka, suasana jahiliyah berada di kiri, kanan, depan, belakang, atas, bawah dan segenap segi dan sisi kehidupan mereka. Mereka tidak kenal dan rasai konsep 'uzlah syu'uriyah tammah'. Mereka belum dapat lihat dan rasa hakikat hidup di bawah naungan Islam, melihat wajah Islam yang syumul dan mempraktikkan seluruhnya dalam kehidupan (melainkan sedikit saja).

Tetapi tidaklah beerti jemaah haraki ini maksum, manhaj haraki ini maksum, mereka yang lalui metod ini adalah maksum, dan tidaklah beerti mereka yang lain salah, ilmu mereka salah, pandangan dan kritikan mereka salah, TIDAK. Nilailah mana yang paling dekat dengan Al-Quran, Sunnah Rasulallah s.a.w dan pandangan ulamak yang muktabar. 

Mana yang manfaat untuk pembangunan Islam dan meruntuhkan jahiliyah, kita ambil. Mana yang menyebabkan pembangunan Islam tersekat dan kerja meruntuhkan jahiliyah tidak berlaku, maka kita jauhi. Di samping kita juga perlu berusaha mendalam dan luaskan tsaqafah ilmiah kita. Moga Allah redha kehidupan kita dan selamatkan kita dari neraka-Nya.

Wallahua'lam.


*Copy Paste dari Group WhatsApp

Saturday, October 10, 2015