Sunday, May 15, 2016

PRN Sarawak: Sedikit Coretan

PRN Sarawak akhirnya melabuh tirai dengan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan dan meningkatkan kekuasaan di Bumi Kenyalang itu. BN memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) hanya mampu memenangi 10 kerusi DUN dengan DAP - 7 dan PKR - 3. Prestasi PAS tidaklah membanggakan manakala Amanah boleh diagak prestasinya sebagai parti baru di dunia politik.

Ternyata Sarawak kekal sebagai Deposit Tetap bagi Barisan Nasional. 10 kerusi DUN yang mereka tewas adalah di kawasan Bandar yang majoritinya berbangsa Cina. Namun, ada sedikit perbezaan di antara politik Cina Semenanjung dan Cina Sarawak. Dilihat, orang Cina Sarawak lebih dekat dengan BN, di mana majoriti kerusi DAP menurun berbanding PRN yang lepas dan terdapat 5 kerusi DUN yang dahulunya milik DAP, telah beralih ke BN.

Maka, dalam keghairahan PH untuk menumbangkan BN dalam PRU-14, beberapa perkara perlu diambil kira:

1. Sabah dan Sarawak
Kedua-dua negeri ini boleh dianggap Deposit Tetap kepada BN. PH perlu melakukan sesuatu supaya rakyat  di Sabah dan Sarawak boleh menerima PH. Boleh dikatakan, kondisi kedua-dua negeri ini adalah seperti awal 90-an di Semenanjung, di mana sangat kuat bergantung pada BN. Isu Nasional tidak memberi impak yang besar. Sebaliknya, permuafakatan sesebuah pakatan dan isu tempatan banyak memberikan peranan dalam penerimaan mereka pada parti yang bertanding.

Senang cerita, dakwah dan penerangan akar umbi adalah perlu dilakukan dengan lebih kerap, sebelum menyentuh isu besar. Melihat keputusan PRN Sarawak, rakyat Sarawak seolah-olah tiada alternatif atau langsung tidak mengenali parti politik selain BN. Jangan pandang remeh dengan isu Sabah dan Sarawak ini kerana bilangan kerusi Parlimen di negeri inilah yang menyelamatkan nyawa BN pada PRU-13.

2. Rakyat Luar Bandar
Tidak dinafikan bahawa majoriti masyarakat Bandar telah beralih kepada PH. Faktornya ialah pendedahan kepada isu Nasional dan kesempitan kos hidup. Namun, ianya tidak berlaku pada masyarakat Luar Bandar, Kampung atau Pendalaman. Di Selangor sendiri, BN masih menang di DUN dan Parlimen di kawasan Luar Bandar meskipun diperintah oleh PH.

Realitinya, penduduk Luar Bandar sangat senang dengan kehidupan mereka sekarang. Tiada kesan ketara pada mereka seperti mana yang dirasai oleh penduduk Bandar.

Jadi, persoalan dari mereka, mahu berubah untuk apa?

3. Permuafakatan Pakatan Harapan
Pada PRU-13, Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) telah memenangi 89 kerusi Parlimen iaitu kurang 23 kerusi lagi untuk majoriti mudah. Kini tugas Pakatan Harapan (PKR-DAP-Amanah) mengambil cabaran ini untuk memerintah Malaysia.

Jika PAS menyertai PH, ianya lebih molek lagi untuk mengelak bertembung 3 penjuru yang semestinya memberi laluan mudah kepada BN. Berpijaklah di bumi yang nyata kerana tiada nilainya jika bersendirian atau berada di dalam Blok Ketiga kerana hanya BN dan PH saja yang berkemampuan untuk membentuk kerajaan.

Permufakatan perlu jelas. Tiada lagi pertembungan sesama sendiri seperti yang berlaku di Dun P.Pinang dan Terengganu pada PRU-13 dan PRN Sarawak. Tiada parti yang lebih berkuasa berbanding parti yang lain. Rendahkanlah ego dan fikirkanlah nasib rakyat.

Jika permuafakatan ini gagal, tiada apa lagi yang tinggal untuk memenangi PRU-14 dan harus tunggu 5 tahun lagi untuk perubahan.


Justeru itu, masih ada masa sekitar 2 tahun lagi sebelum PRU-14. Majoriti Rakyat Malaysia mahukan perubahan dan inilah masa yang sesuai untuk menterjemahkannya. Ibaratnya, di dalam perlawanan bola sepak, PH berada dalam keadaan menyerang dan BN berada dalam kucar-kacir dan hanya tinggal benteng pertahanan dan penjaga gol saja. Ini adalah serangan terakhir pada masa kecederaan dan kedudukannya seri. Jika PH berjaya menjaringkan gol, kemenangan diperolehi. Jika tidak, BN terselamat lagi buat kali ke-14 dan PH perlu menunggu 5 tahun lagi untuk PRU-15.